Selasa, 15 Jun 2010

JUALAN PASAR CAR BOOT YANG HEBAT

12 Jun 2010



Catatan perjalanan di London


Car Boot Sale !

Jika anda meminati barangan lusuh dan terpakai seperti Pasar Karat Memory Lane Ipoh, Perak dan Lorong Kulit di Pulau Pinang. Saya akan menceritakan satu tempat yang amat menarik untuk anda.

Hari ini kami berempat ingin menjejaki satu tempat yang menjadi perbualan bagi siapa yang meminati barangan terpakai dan antik serta yang paling utama adalah harganya murah! Car Boot sale atau jualan Car Boot menjadi tempat pertemuan masyarakat di London terutama yang mendiami Uxbridge dan Southwheal dan kawasan berhampiran. Namun tidak terperanjat ada yang datang dari jauh untuk merasai pengalaman indah membeli barangan di sini.


Kereta-kereta yang memenuhi kasawan parkir jualan Car Boot


Letih melintasi kawasan parkir sahaja sudah 15 minit


Satu padang sahaja untuk parkir kenderaan


Perlu diingatkan bahawa untuk memasuki kawasan Car Boot anda terpaksa melalui pintu utama dan bayaran di kenakan sebanyak $ 2.00 pound jika memasukinya. Namun jika anda sampai dan masuk ke dalam kawasan jualan selepas jam 9.30 pagi, bayaran yang dikenakan hanya $ 1.00 pound sahaja. Tujuannya adalah untuk menjaga kebersihan kawasan tersebut dari sampah sarap, kecantikan tempat, kerteaturan peniaga dan tandas adalah percuma.

Keluasan kawasan Car Boot di sini adalah seluas 2 kali padang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Anda perlu menyusuri satu lorong ke satu lorong bagi mencari barangan yang dikehendaki. Dan pastikan setiap lorong diselusuri kerana barangan yang dijual memang berbeza dari satu peniaga ke peniaga yang lain.


Memasuki kawasan jualan Car Boot yang bermakna bonet kereta dimana pada mulanya cara peniaga menjual jualan adalah dengan membuka bonet kereta masing-masing


Kasut terpakai yang masih baik dari pelbagai jenama yang terkenal yang boleh didapati dengan harga murah

Dari permainan kanak-kanak yang sungguh berkualiti, set golf dan bolanya, pakaian laki-laki dan perempuan tidak ketinggalan kanak-kanak, kasut pelbagai jenis dan peringkat umur, buku-buku lama juga baru dan yang menarik ialah buku kanak-kanak, perkakasan dapur yang hebat, beg pakaian dan wanita, set pengembaraan dan bermacam-macam lagi yang anda boleh dapati dengan tawaran harga yang menarik. Sudah tentu ianya amat berbeza dengan harga jualan di kedai. Sekiranya anda bernasib baik anda akan dapat barangan baru tetapi dijual dengan harga yang amat murah. Seperti contohnya kasut Clark yang berharga $ 45.00 pound di kedai anda boleh dapat hanya dengan harga $ 8.00 pound sahaja.

Bukan itu sahaja, benih tanam-tanaman, bunga, strawberi dan sayuran dijual di sini laksana pasar tani di Malaysia. Buah-buahan dan sayuran segar dari ladang dijual terus kepada pelanggan dengan harga yang murah. Berbagai buahan 4 musim dijual dan anda boleh merasai buah-buahan yang hebat itu dengan gembira.


VCD dan juga permainan kanak-kanak


Penjual sayuran juga menjual hasil dari ladang


Buah-buahan segar dan terbaik dengan harga yang murah


Pelbagai jenis pokok dan tanaman 4 musim

Peminat bungan tidak akan melepaskan peluang ini



Apa yang menarik minat saya ialah kebanyakan peniaganya adalah terdiri dari keturunan Pakistan, India, Sikh dan Arab. Hanya segelintir sahaja dari mereka yang berbangsa Inggeris. Tambahan bila melalui kawasan Southwheal anda seperti melalui Little India. Bas yang dinaiki dipenuhi oleh mereka yang berkulit hitam manis. Hampir keseluruhan Bandar di diami oleh mereka yang berasal dari negara ini dan mereka mengusai keseluruhan perniagaan baik yang Islam atau pun bukan Islam. Inilah realiti yang terpaksa diterima oleh Britain bahawa mereka telah sebenarnya sedang diserang oleh bekas kaloni mereka sendiri. Dahulu merekalah kolonial yang menjajah kaloni-kaloni ini dan memerah hasil bumi untuk dibawa pulang ke
England .


Suasana sekitar tempat jualan


Antara lorong-lorong jualan

Pelbagai bangsa datang ke sini untuk mencari keperluan masing-masing


Barangan antik. Anda perlu pandai menawarkan dengan harga istimewa.

Hakikatnya kedatangan imigran ini yang akhirnya mendapat hak kerakyatan atau penduduk tetap telah member kesan yang sangat mendalam kepada warganegara asalnya sendiri. Imigran yang datang dari seluruh dunia bukan sekadar dari asia sahaja; sama ada untuk memperbaiki taraf hidup, mencari kekayaan atau pelarian politik yang ingin mendapatkan suaka menyebabkan rakyat Britain yang asal berasa tidak selesa dan terpaksa memisahkan penempatan mereka dengan imigran ini. Imigran dari India dan sewaktu dengannya(Bangladesh, Pakistan, Nepal, Sri Lanka dan lain-lain) serta berbangsa Cina telah menguasai hampir keseluruhan perniagaan di Britain. Kedai-kedai makan, keperluan dapur, daging ayam dan kambing, buah-buahan, sayur-sayuran dan lain-lain begitu maju. Kerana mereka mampu membuka kedai mereka hingga larut malam.

Saya telah terjumpa satu peniaga suami isteri yang sebuk menjual barang-barangan terpakai dengan ramah dan penuh senyuman. Harganya pula amat menarik dan kata pak cik yang menjual barangan itu “anda boleh tawar”!. Sambil membelek dan bertanya harga barang perhiasan dan buku kanak-kanak, beliau memberitahu kepada saya bahawa hasil jualan itu akan didermakan kepada gereja dan untuk diberikan kepada kanak-kanak yang memerlukan bantuan. Saya berasa amat terharu kerana pak cik suami isteri yang sudah berumur ini sanggup berpanas untuk mencari dana bagi gareja mereka dengan sukarela. Mereka tidak minta derma secara percuma. Tetapi dengan menjual barangan tersebut dana dapat dikumpulkan.


Pak cik ini katanya menjual barangan yang hasilnya akan diserahkan sebagai dana gereja


Dengan muka yang manis dan mulut yang ramah beliau bekerja dengan sukarela

Amat malang bagi kita di Malaysia yang kadang-kadang menggunakan nama agama untuk kepentingan diri sendiri jauh sekali untuk membantu orang yang memerlukan. Ada yang minta derma (bukan semua) untuk membina sekolah agama atau tahfiz di pasar pagi atau malam. Yang peliknya sudah empat tahun muka itulah yang minta derma di pasar itu dan tabung pembinaan tersebut tidak pernah penuh-penuh! Dimana integriti sebagai umat Islam dan mereka sebenarnya tidak malu meminta yang hasilnya itu hakikatnya bukan untuk menolong sesiapa atau agama bahkan untuk perut mereka sendiri.

Terdapat sebahagian saudara kita dari Bangladesh dan Pakistan yang menggunakan nama pembinaan sekolah Tahfiz dan Rumah Anak yatim meminta derma dengan cara dan saluran yang tidak sepatutnya. Marilah kita sebagai umat Islam memikirkan cara untuk meminta bantuan atau derma di Malaysia dengan tidak menjatuhkan maruah Islam di mata agama dan masyarakat lain.

Tiada makanan yang halal disini. Ada disebelah gerai ini kedai bertanda halal, namun pada masa yang sama menjual bacon(daging babi salai)


Berbalik kepada jualan Car Boot ini, anda dinasihati membawa bekalan makanan dan minuman seperti roti dan air mineral bersama. Masalah utama di sini ialah tiada dijual makanan yang halal untuk pengunjung Muslim (jika ada pun amat diragui akan halalnya). Saya kira jika anda ingin memperuntukan masa 2 jam mengunjungi pasar Car Boot ini anda hanya boleh sampai separuh sahaja dari keluasannya. Pasar ini akan ditutup secara berperingkat menjelang tengah hari iaitu 12.00 tengah hari. Dan yang utama kalau boleh bawa kereta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan