Jumaat, 16 Julai 2010

ANALISIS RINGKAS SURAH AL ISRA’ AYAT PERTAMA

Ayat pertama dari surah Isra’ berlegar-legar di dalam pemikiran saya yang kerdil: Firman Allah surah al Isra' ayat 1 maksudnya:
1. Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya[847] agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
[847] Maksudnya: Al Masjidil Aqsha dan daerah-daerah sekitarnya dapat berkat dari Allah dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya.


Maha Suci Allah: Ketahuilah oleh kita, bahawa Allah SWT memulakan ayat ini dengan memuji diri-Nya sendiri menyatakan serta menyedarkan kepada kita bahawa Dialah Khaliq dan kitalah makhluknya. Maka sudah menjadi tangunggawajab makhluk untuk mensucikan Allah dengan segala puji-pujian. Segala ciptaan Allah termasuk diri manusia adalah makhluk (yang kena cipta).

Seringkali kita melihat sebuah rumah atau istana yang besar indah tersergam lalu dengan pantas kita memuji akan keindahan binaann tersebut. Namun kita sering lupa kepada tukang rumah atau pembina istana itu jauh langsung untuk memuji mereka. Begitu jugalah dengan ciptaan-ciptaan Allah SWT . Kadang-kadang kita terjumpa pokok kelapa bercabang 2, cicak ekor bercabang, ikan tertulis kalimah Allah, Kura-kura tertulis nombor 8 di cengkerangnya dan bermacam kita kategorikan ajaib dan misteri. Sedar atau tidak kita memuji dan mengkagumi makhluk (yang kena cipta) bukan Khaliq ( Allah SWT).

Maka ayat ini mengajak kita manusia untuk memuji dan mensucikan Allah SWT. Sebab itu ada banyak tempat Allah memulakan dengan “Subhana” seolah-olah berkata ”Wahai hamba Ku janganlah kamu sucikan makhluk ciptaan Ku. Sucikanlah Aku yang menjadikan semua ini”.

Jesteru kalimah ini menjadi tunjang dan akar kekuatan kepada keseluruhan ayat terutama tentang peristiwa isra’ dan mikraj yang mana manusia telah berpecah kepada beberapa kumpulan dek kerana peristiwa besar ini. Merekka terpecah kepada beberapa golongan dan mereka menyatakannya sebagai:

1-Tidak masuk akal (kerana perjalanan Mekah-Palastine memakan masa hampir sebulan waktu itu hanya dilalui Nabi semalaman)

2-Gila (perjalanan Mekah-Madinah-(ada yang menyatakan Baginda kemudiannya ke Bukit Tursina)-Masjidil Aqsa-Langit ke 7-Sidratul Muntaha-Mekah. Perjalanan RETURN ini tidak mungkin berlaku dan diceritakan hanya oleh orang yang hilang ingatan sahaja.

3-Pembohongan yang besar (ceritanya semacam hikayat dongengan orang dahulukala)

4-Ada juga yang memujanya (mereka memuja peristiwa ini secara berlebihan dan ada yang menggambarkan Buraq itu sebagai haiwan seperti kuda yang bersayap manakala kepalanya bermuka perempuan)

5-Golongan murtad

6-Golongan as Saadiqul musaddaq. Golongan ini terus membenarkan peristiwa apa yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW tanpa banyak soal. Golongan inilah yang mensucikan Allah SWT ekoran peristiwa yang menggemparkan semenanjung Tanah Arab ketika itu.

Yang telah memperjalankan pada malam hari: Allah SWT telah memberikan sebuah hadiah kegembiraan yang hebat kepada Kekasih-Nya Rasulullah SAW hasil dari ujian kesabaran kesedihan (kematian Isteri baginda Siti Khadijah dan Abi Talib bapa saudaranya hingga tahun itu dikenali sebagai ‘Am al Huzun” atau Tahun Kesedihan. Hadiah itu ialah satu “tiket perjalanan malam” yang percuma hanya untuk Baginda SAW. Tiket tersebut adalah untuk menaiki sebuah kenderaan yang bernama Buraq (bermakna kenderaan yang kelajuaan sepantas cahaya). Sedikit maklumat tentang cahaya iaitu Cahaya merupakan tenaga berbentuk gelombang dan membantu kita melihat. Cahaya juga merupakan asas kepada ukuran meter dimana 1 meter bersamaan dengan jarak dilalui cahaya melalui vakum pada 1/299,792,458 saat. Kelajuan cahaya ditakrifkan pada kelajuan 299,792,458 meter sesaat.

Teori kurun ke-10

Saintis Abu Ali Hasan Ibn Al-Haitham (965-c.1040), juga dikenali sebagai Alhazen, mengasaskan teori umum yang menjelaskan tentang penglihatan, menggunakan geometri dan anatomi, yang menyatakan bahawa setiap titik pada kawasan yang disinari atau objek, memancarkan sinaran cahaya ke semua arah, tetapi hanya satu sinaran dari setiap titik, yang mengenai mata pada sudut tepat, dapat dilihat. Sinaran-sinaran lain yang mengenai mata pada sudut yang berbeza tidak dapat dilihat. Dia menggunakan contoh daripada kamera lubang jarum, yang menghasilkan imej songsang, untuk menyokong hujahnya. Alhazen menganggap bahawa sinaran cahaya ialah arus zarah-zarah seni yang bergerak pada kelajuan terhad. Dia memperbaiki teori Ptolemy berkenaan pembiasan cahaya. Hasil kerja Alhazen tidak diketahui di Eropah sehingga lewat kurun ke-16.

Sebenarnya berjalan malam merupakan satu bentuk tarbiah yang ramai tidak mengetahui rahsianya. Allah SWT versumpah dengan satu surah yang bernama surah Malam “al-Lail”. Allah memuliakan malam dengan solat tahajud dan qiyamu lail (bangun malam). Malam yang disebut pada banyak tempat dalam al-Quran. Malam diumpakan sebagi sebuah selimut yang menutupi manusia. Malam sebagai masa untuk beristirehat dari kepenatan siang.Malam yang lebih baik dari 1000 bulan namanya Lailatul Qadar (Malam al Qadar), Malam turunnya al-Quran. Dan 1001 kesah tentang misteri malam yang manusia jarang singkapkan.



Hamba-Nya: Sudah semesti Kekasih-Nya Muhammad b Abdullah, Nabi dan Rasul akhir zaman penutup utusan Allah di atas muka bumi. Berbagai pendapat menyatakan keadaan Nabi ketika di Isra’ dan Mikrajkan. Namun yang masyhurnya adalah dengan roh dan tubuh badan Baginda. Mana mungkin hanya dengan roh (pernahkah kita mendengar roh memandu kereta?) atau hanya dengan tubuh kasar tanpa roh(jika begini keadaannya beerti seseorang itu sudah meninggal dunia kerana roh sudah berpisah dari jasad).Wallahua’lam. Hamba-Nya ini dibawa dalam satu perjalanan bertemu dengan-Nya sendiri di Sidratul Muntaha bertemu untuk menerima tugasan yang cukup istimewa kepada orang yang istimewa iaitu SOLAT.

Pada suatu malam: Lailan ini tanpa huruf alif lam dihadapannya menunjukkan masa malam itu yang sangat singkat. Ulamak menyatakan bahawa masa berlaku isra’ dan mikraj itu adalah waktunya antara Isya’ dan sebelum subuh. Sebelum perjalanan itu Jibril membedah Nabi SAW dan menyuci hati Baginda SAW dengan air Zam-Zam lalu menambah hikmat yang Allah aturkan ke dada baginda. Soal hati amat dititik beratkan hinggakan Imam Ghazali menulis sabuah buku bagi tujuan penawar penyakit hati.

Daripada: Menunjukkan ada tempat permulaan dan destinasi perhentian serta tempat tujuan. Ia juga boleh dirujuk kepada masa yang menunjukkan hanya satu malam daripada seluruh malam-malam lain semasa hayat Rasulullah SAW yang Allah pilih untuk perjalanan ini.

Masjidil Haram: Sebuah tempat yang mempunyai sejarahnya yang panjang dan diberkahi Allah SWT. Menurut keimanan umat Islam, Haram sheriff telah dibangunkan oleh malaikat sebelum kejadian manusia oleh Allah S.W.T. dan Allah mentasbihkan satu tempat sembahyang untuk mencerminkan al-Baytu l-Makmur, tempat para malaikat mengerjakan solat mereka. Umat Islam mempercayai bahawa Kaabah berada betul-betul di bawah "Arasy" atau Singgahsana Allah.

Kaabah pertama sekali dibina oleh Nabi Adam dengan bantuan para malaikat. Kaabah sudah beberapa kali rosak ditimpa bencana dan pelbagai punca lain. Nabi Ibrahim dengan bantuan anaknya, Nabi Ismail , telah memperbaiki Kaabah, setelah diperintah oleh Allah S.W.T. untuk memperbaiki Kaabah dan membina masjid di sekitar Kaabah.

Ke: Menunjukkan perjalanan tersebut adalah dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Bukan hanya di bumi Mekah sahaja seperti ada pendapat sebahagian orang yang jahil.

Masjidil Aqsa: Nama "Masjid Al-Aqsa" bermaksud "masjid paling jauh", dan ia mungkin diambil daripada Isra and Mi'raj, satu tradisi Muslim tentang perjalanan lebih kurang pada 621 Nabi Muhammad s.a.w.(570-632). Berdasarkan pada ayat al-Quran, Nabi Muhammad s.a.w. melalui perjalanan dengan menaiki Buraq daripada "masjid al-haram" ( di Mekah di selatan Arab Saudi ) hingga ke "masjid paling jauh" (Masjid al-Aqsa), dan daripada satu batu di sana, Nabi Muhammed menaiki Buraq dan kemudiannya naik ke langit, ditemankan oleh malaikat Jibril, dan menghabiskan masa menjelajah langit dan menerima wahyu mewajibkan solat sebelum kembali ke bumi dan berkomunikasi dengan orang-orang yang beriman. Lokasi "masjid paling jauh" tidak dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, tetapi ia berkait rapat dengan Baitulmuqaddis, walaupun Baitulmuqaddis tidak dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran

Yang telah kami berkahi sekelilingnya: Ada pendapat menyatakan tempat sekeliling itu ialah Palastin sendiri, Jordan, Syiria dan Lubnan. Ianya mempunyai kesuburan tanah untuk tanaman gandum, sayuran dan segala macam buah-buah beriklim 4 musim. Bumi ini diberkahi kerana merupakan gelanggang nabi-nabi dan rasul-rasul yang di utuskan Allah SWT

Agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda(kebesaran)Kami: Apabila kita ke kawasan ini sudah jelas kepada kita kebesaran Allah SWT menjadikan ala mini dengan bentuk muka buminya. Dan mukjizat-mukjizat Nabi terdahulu yang menjadi saksi kepada kawasan ini.

Maha Mendengar: Allah mendengar setiap doa dan harapan kita untuk saudara kita di bumi Palastin terutama di Gaza. Janganlah ada sikap berputus asa dan mudah mengalah dengan apa yang terjadi. Teruskan usaha dan jangan ditinggalkan memohon pertolongan kepada Allah. Mungkin doa anda akan Allah pilih untuk dimakbulkan, InsyaAllah.

Maha Melihat: Apa yang berlaku di Bumi Mikraj iaitu Palastin bukan Allah tidak tahu dan melihat apa yang terjadi. Kadang-kadang kita menyalahkan satu pihak tanpa kita menyalahkan diri sendiri atas apa yang terjadi. Jesteru manusia perlu melihat ke dalam diri sendiri kenapa umat Islam ditindas dan dihina di Palastin. Lihatlah dengan pandangan mata hati.

Ini pula tambahan dari sahabat saya Us Ainol Kusyairi dalam Face Book beliau tentang "malam":

Bismillahirrahmanirrahim
Bahagian 2: MALAM
Tuan dan Puan yang dirahmati Allah swt, terima kasih kerana terus sudi membaca artikel-artikel saya. Kali ini, saya menyentuh sedikit mengenai analisis malam Israk dan Mikraj. Peristiwa ini dijelaskan pada surah al Israk, bil.1. Sepertimana yang kita ketahui bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, tahun 620 M, iaitu 11 tahun selepas Nabi saw menerima wahyu pertama di Gua Hirak.
Secara ringkasnya, Nabi Muhammad saw diperjalankan dari Masjid al Haram, Makkah ke Masjid Aqsa, Palestin dalam tempoh satu malam yang teramat singkat. Nabi Muhammad saw menaiki Buraq dan dibawa ke setiap lapisan langit hingga ke Sidrat al Muntaha, iaitu tempat yang lebih tinggi dari kawasan langit. Begitu pantasnya perjalanan Israk dan Mikraj ini, hinggakan tempat duduk Nabi saw masih lagi panas ketika pulang ke Makkah. Dari peristiwa ini, Nabi Muhammad saw menerima perintah sembahyang lima waktu fardu daripada Allah swt. Pada asalnya 50 waktu, tetapi dikurangi hingga 5 waktu sahaja. Namun pahalanya sama dengan mengerjakan 50 waktu itu.
Dalam surah al Israk, bil. 1 itu, disebut satu malam yang sangat singkat. Perkataan malam di situ ialah Lailan (ليلا) yang terdiri dari empat huruf iaitu lam, ya, lam dan alif. Dari analisis fonetik Arab, huruf-huruf ini mempunyai makna sifat tertentu. Mari kita lihat di bawah:
Perkataan LAILAN ( ليلا): Lam Ya Lam Alif
1) Huruf LAM:

Sifatnya ialah al Izlaq yang bermakna senang, laju dan lancar.

Sifat huruf LAM ini mengisyaratkan kepantasan perjalanan Israk dan Mikraj dengan terlalu senang dan lancar dalam tempoh satu malam yang teramat singkat.
2) Huruf YA:

Sifatnya ialah al Ismaat yang bermakna senyap dan sunyi.

Sifat YA ini mengisyaratkan suasana malam yang senyap dan sunyi. Perjalanan Israk dan Mikraj ini juga senyap dan tidak diketahui orang ramai. Selepas Nabi saw pulang, barulah diberitahu kepada umum.


3) Huruf LAM:

Sifatnya ialah al Izlaq yang bermakna senang, laju dan lancar.

Sifat huruf LAM ini mengisyaratkan kepantasan perjalanan Israk dan Mikraj dengan terlalu senang dan lancar dalam tempoh satu malam yang teramat singkat.



4) Huruf Alif:

Sifatnya ialah al Ismaat yang bermakna senyap dan sunyi

Sifat ALIF ini mengisyaratkan suasana malam yang senyap dan sunyi. Perjalanan Israk dan Mikraj ini juga senyap dan tidak diketahui umum. Selepas Nabi saw pulang, barulah diberitahu kepada umum

Apabila kita lihat sifat fonetik huruf ‘LAILAN’ (satu malam) itu, ternyata huruf-huruf itu menunjukkan sifat waktu malam dan perjalanan Israk dan Mikraj secara tidak langsung.
Perkataan ‘LAILAN’ (satu malam) juga disebut sebanyak lima (5) kali dalam al Quran. Jumlah ini bertepatan dengan perintah lima (5) waktu sembahyang fardu yang diterima Nabi saw pada malam Israk Mikraj.
Sesungguhnya Allah swt jua yang lebih maha mengetahui lagi bijaksana atas segala sesuatu yang tersurat dan tersirat. Semoga artikel yang ringkas ini memberi kebaikan ibadah kepada Tuan dan Puan dan diri saya. Amin.
-Ainol Kusyairi-


Wallahua’alam. Allah jua yang Maha Mengatahui maksudnya.

Hj Muhammad Imran b Ibrahim
Muslim College
16 Juli 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan