Rabu, 14 April 2010

Di Mana kan Ku Cari Ganti

Hendak ku nangis
Tiada berair mata
Hendak ku senyum
Tiada siapa nak teman
Kalaulah nasib
Sudah tersurat
Begini hebat
Apa nak buat

Di mana kan ku cari ganti
Serupa dengan mu
Tak sanggup ku berpisah
Dan berhati patah, hidup gelisah

Alangkah pedih rasa hati
Selama kau pergi
Tinggalku sendirian
Tiada berteman dalam kesepian

c/o
Dunia terang menjadi gelita
Cahaya indah tiada bergema
Keluhan hatiku membawa derita
Kini kau jua tak kunjung jelma

Di mana kan ku cari ganti
Mungkinkah di syurga
Untuk kawan berduka
Menangis bersama, selama-lamanya

Ramai yang beranggapan bahawa lagu Allahyaham Tan Sri P.Ramlee ini yang pernah hit satu ketika dulu dalam filem Ibu Mertuaku merupakan sanjungan kepada kekasih atau orang yang disayangi yang telah pergi mendahului mengadap Ilahi. Namun apabila diperhatikan lirik lagu ini kalau di "tune" kan niat asal nyanyian, apa kata kita ubah kepada mengenang Rasulullah SAW? Ramai tertanya-tanya kenapa begitu dan adakah relevan lagu ini yang asalnya untuk mengenang kekasihnya yang telah tiada di tukar kepada mengingati Rasulullah SAW. Jika direnung secara mendalam lirik lagu Di Mana kan Ku Cari Ganti ini mempunyai hubungan untuk kita mengenang Rasulullah yang memang sukar dicari akan pengganti beliau.

Rangkap pertama:
Akibat pemergian Rasulullah, umat Islam amat bersedih hati dan digambarkan sampai tiada lagi air mata yang mampu keluar menangisi kewafatan Kekasih Allah. Baginda merupakan ketua, sahabat, bapa, suami, pemimpin, datuk yang boleh dirasai kehadirannya. Sama rasa iaitu susah sama susah dan senang bersama. Sahabat untuk suka dan duka bersama. Namun Allah lebih menyayangi Baginda. Qada' dan qadar ketentuan Allah SWT hilangnya di atas muka bumi ini seorang insan yang mulia. Sejurus Baginda wafat cabaran dan suasana baru perlu dihadapi oleh umat Islam bermula dengan Saidina Abu Bakar. Apa pun pemergian itu walau tiada lagi pengganti seperti Baginda, ia perlu di hadapi dengan redha dan tawakal kepada Allah.

Rangkap kedua:
Dimanakah lagi kita mahu mencari pengganti serupa dengan Rasulullah? Pasti tidak akan ada. Baginda memberikan impak yang besar dalam kehidupan masyarakat yang berada dalam zaman kegelapannya yang amat sukar untuk dirubah. Disanjung oleh kawan dan disegani oleh lawan. Jika diikutkan kita tidak mahu berpisah dengan Baginda. Hinggakan Saidina Umar begitu marah apabila ada yang mengatakan Rasulullah sudah wafat. Namun Saidina Abu Bakar menyatakan bahawa telah berlalu rasul-rasul sebelum Baginda dan Baginda meneruskan sunnah Allah itu. Hancur luluh hati Saidina Umar terpaksa ditelan walau terasa amat pahit hakikat itu. Umat Islam menjadi gelisah seketika akibat ketiadaan pemimpin lantas melantik Saidina Abu Bakar lantas menjadi kuat  kembali.

Rangkap ketiga:
Perasaan kesedihan yang amat sangat menimpa umat Islam sudah tentu tidak digambarkan lagi. Nabi menjadi tempat mengadu susah dan senang. Segala bual bicara amat di senangi oleh manusia dan makhluk lain. Nabi menjadi rahmat kepada seluruh alam. Apabila Nabi wafat keadaan umat Islam ibarat orang yang kesepian tanpa berteman. Sunyi dari kata-kata nasihat dan teguran Baginda. Ketawa dan tangis Nabi sudah hilang dibawa kenangan. Kesepian itulah ayat yang terbaik untuk digambarkan umat Islam bila  mana Rasulullah wafat.

Rangkap keempat:
Digambarkan Rasulullah sebagai bulan purnama, sebagai cahaya, sebagai matahari yang menyinari seluruh alam maya menembusi jiwa-jiwa manusia yang kotor hitam berkarat dan mempunyai hati yang lebih keras dari batu. Namun apabila baginda tiada keadaan itu sudah bertukar kembali kepada kegelapan dan manusia kembali teraba-raba mencari kebenaran. Nasib malang yang menimpa umat Islam secara bertimpa-timpa ini tetap berlaku kerana manusia tidak mahu menggunakan 2 perkara tinggalan baginda iaitu al Quran dan as Sunnah. Air mata darah sekali pun Baginda tidak akan kembali ke dunia.

Rangkap kelima:
Muhammad bin Abdullah memang tiada penggantinya.Namun ulamak-ulamak adalah pewaris baginda. Marilah kita berdoa agar dipertemukan dengan Baginda di dalam syurga bergembira bersama dan berkasih sayang kekal abadi selama-lamanya.

Wallahu a'alam.

* kita memerlukan pandangan dan teguran dalam hal ini. Seni Lestari Dakwah. Terima kasih

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum wbt.

    Terima kasih di atas entri yang sungguh menarik ini. Secara peribadi, saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan. Mengingati Rasullullah saw boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk yang positif. Niat adalah asas sebelum memulakan segala perbuatan. Maka begitulah juga niat dalam mengingati Rasullullah saw dalam bentuk seni lagu seperti itu.

    Terima kasih sekali lagi.


    -Ainol Kusyairi-

    BalasPadam
  2. terima kasih tuan...moga bermanafaat bersama.medium seni lestari dakwah perlu di garap kerana masyarakat kita sukakan hiburan. nak jadi seperti wali songo.

    BalasPadam