Khamis, 31 Januari 2013

Bagi iktiraf lulusan tahfiz

Bagi iktiraf lulusan tahfiz

ALOR SETAR 13 Jan. - Pentadbiran institusi tahfiz di negara ini diminta bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam memastikan lulusannya mendapat pengiktirafan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha itu penting dalam melonjak prestasi institusi tersebut, sekali gus memastikan pelajarnya mempunyai peluang pekerjaan yang cerah kelak.

Katanya, sehingga kini 13 institusi tahfiz tampil menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dengan institusi agama terkenal negara, Darul Quran yang dikendalikan oleh Jakim.

"Kerjasama pintar ini memudahkan proses bagi institusi terlibat mendapatkan pengiktirafan akreditasi daripada Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

"Usaha ini penting untuk memberi peluang kepada lulusannya bersaing secara adil. Jika sijil yang ditawarkan tidak diperakui mereka tidak dapat bersaing di pasaran kerja seperti pelajar lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Madrasah Mazahirul Ulum Kampung Bukit Choras, Kota Sarang Semut di sini hari ini yang turut dihadiri oleh
Pengerusinya, Shahrul Nizam Salleh.

Jamil Khir menambah, Jakim sentiasa membuka ruang menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pentadbiran maahad tahfiz.

"Jakim sentiasa berusaha mencari institusi tahfiz yang dapat duduk bersama dan menjalin kerjasama dengan Darul Quran demi masa depan bakal lulusan mereka," katanya.
Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan pembangunan institusi tahfiz dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan hafiz di negara ini.

"Kesungguhan pihak pentadbiran maahad membangunkan institusi ini dipuji seperti madrasah ini yang jika 10 tahun dahulu sekolahnya amat daif, tetapi kini sudah ada bangunan baharu. Kerajaan akan turut membantu untuk merealisasikan pembangunan tersebut," katanya lagi.

Dianggarkan sehingga kini terdapat lebih 300 institusi tahfiz beroperasi di seluruh negara.
Dalam pada itu menurut Shahrul Nizam, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap institusi itu.

"Pembinaan bangunan baharu sekolah ini menelan kos sehingga RM660,000 dan dana diperoleh daripada sumbangan orang ramai hanya RM150,000. Dalam usaha menyempurnakan pembinaan bangunan untuk asrama dan kelas pelajar ini, kami memerlukan dana sebanyak RM510,000 dan kami sangat berharap kerajaan dan orang ramai akan membantu," katanya.

Tambah beliau, madrasah tersebut yang diwujudkan sejak 2001 kini mempunyai seramai 150 pelajar lelaki yang berusia 12 hingga 25 tahun.

Rabu, 30 Januari 2013

Menyantuni graduan Asia Barat

Menyantuni graduan Asia Barat


PENULIS bergambar dengan sebahagian Jawatankuasa dan delegasi PPMM selepas forum Islam dan Perlembagaan di Mafraq, Jordan, baru-baru ini.
SEBAGAI acara tahunan Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dari 9 hingga 18 November lalu sekali lagi telah mengadakan lawatan kerja ke Mesir dan Jordan. Di sana delegasi PPMM telah disambut oleh ahli-ahli Kelab Peguam Muda Mesir (KPMM) dan Kelab Peguam Muda Jordan (KPMJ) yang mana PPMM merupakan badan pencetus kepada penubuhan kelab-kelab tersebut yang berpaksikan kepada pengembangan kerjaya dan meningkatkan pemahaman undang-undang Malaysia.

Ahli-ahli kelab-kelab terdiri daripada kalangan mahasiswa Malaysia di negara berkenaan di bidang syariah. Di Mesir program ini dinamakan ESPRIM 2012 diketuai oleh pengarahnya, Ahmad Husni Mubaraka, manakala di Jordan ia dikenali sebagai LANCER 2012 dan diketuai oleh Muhammad Khairy Awang Jaafar.

Delegasi 17 orang dari PPMM telah berjaya memberi penerangan yang dikehendaki kepada mahasiswa di Mesir dan Jordan.

Sepanjang di kedua-dua negara tersebut, telah diadakan satu seminar yang menjurus kepada pencerahan kerjaya lulusan syariah. Kerjaya di bidang perbankan Islam, umpamanya menjadi topik perbualan popular sepanjang seminar diadakan.

Naib Presiden PPMM, Fakihah Azahari telah memberi ceramah tentang kerjaya di bidang perbankan Islam, manakala Siti Razasah Abdul Razak pula melontarkan pelbagai persoalan berkaitan peranan wanita dalam kerjaya peguam dan hakim syarie.

Selain itu, isu-isu semasa seperti hak asasi, LGBT dan perundangan lain turut disentuh oleh Abdul Rahim Sinwan yang merupakan Timbalan Presiden PPMM.

Forum-forum umum juga diadakan yang berkait rapat isu perundangan Islam seperti hudud, hak keistimewaan Islam dan mahkamah syariah mendapat sambutan baik di kalangan mahasiswa yang mana saya sendiri menjadi antara panelis forum.

Pelbagai persoalan dikemukakan bagi menjawab perkara-perkara yang menjadi kebimbangan mahasiswa.

PPMM berusaha menyantuni, mendekati mahasiswa Asia Barat dan merasai denyut nadi mereka di samping membuka ruang kerjaya kepada mereka. Bukan setakat ceramah sahaja, perbicaraan olok-olok (perbicaraan moot) juga turut diadakan di Mesir dan Jordan bagi melakar gambaran sebenar situasi perbicaraan di mahkamah.

Untuk itu, hakim-hakim sebenar iaitu Muhammad Taifor Ahmad Rusdi (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak) dan Wan Abdul Malik Wan Abd Razak (Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Terengganu) turut mengadili perbicaraan moot tersebut.

PPMM juga tidak ketinggalan mengadakan temuduga kepada mahasiswa terpilih untuk diberikan biasiswa melanjutkan pengajian dalam kursus diploma lepasan ijazah syariah bagi membolehkan mereka diterima masuk dan didaftar sebagai peguam syarie.

Mencungkil bakat dan memangkinkan anjakan minda mahasiswa Asia Barat bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan usaha gigih dan dana yang agak besar, namun, dengan sokongan mahasiswa itu sendiri, khususnya KPMJ dan KPMM usaha ini dapat direalisasikan oleh PPMM.
Bintang-bintang yang bergemerlapan di Asia Barat ini perlu terus digilap agar cahayanya tidak pudar ditelan zaman.

Potensi besar

Graduan Asia Barat adalah potensi yang amat baik bagi Malaysia kerana mereka berkemampuan membuat pelbagai kajian daripada sumber nas yang asal.
Bukan sahaja mereka boleh menjadi peguam syarie yang cemerlang tetapi juga mempunyai potensi besar di dalam pelbagai industri lain seperti kehakiman Islam, perbankan Islam dan pelbagai institusi agama yang lain.

Adalah amat rugi jika sumber manusia gilapan Asia Barat itu diabaikan begitu sahaja.
Sepanjang lawatan kerja PPMM tersebut, pelbagai persoalan telah dapat dirungkai dan semangat yang jitu telah disuntik ke dalam diri mahasiswa syariah Asia Barat. Yang lebih menakjubkan, program kali ini bukan sahaja dihadiri oleh mahasiswa syariah tetapi juga mahasiswa bahasa Arab, usuluddin, perubatan dan pergigian.

Mahasiswa perubatan antara yang turut memenuhi dewan di Iskandariah semasa forum Islam dan Perlembagaan diadakan dan soalan berkaitan dengan isu medico-legal turut mendapat tempat seperti etika perubatan, bagaimana mengelak doktor daripada disaman dan sebagainya.

Sambutan di luar jangkaan di kedua-dua negara ini menjadi pemangkin kepada PPMM untuk terus menyantuni mahasiswa Asia Barat. Mahasiswa adalah golongan yang perlu didekati dan difahami minda mereka. Mereka lebih terbuka di dalam menggarap sesuatu idea berdasarkan hujah. Hujah yang berkesan akan menjadikan mahasiswa lebih analitikal di dalam pemikiran mereka

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121206/ba_02/Menyantuni-graduan-Asia-Barat#ixzz2EbX4GR1W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 Januari 2013

“RASULULLAH SAW KEKASIH ALLAH”-KHUTBAH JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

RASULULLAH SAW KEKASIH ALLAH
(25 JANUARI 2013 / 13 RABIUL AWWAL 1434H)

 Alhamdulillah..
Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad..
Ittaqullah....

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah kita berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Kita laksanakan segala perintah-Nya dan kita jauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah yang bertajuk: RASULULLAH SAW KEKASIH ALLAH”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Semalam pada 12 Rabiul Awal setiap tahun adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada di dalam sanubari dan hati umatnya sekiranya kita seorang hamba yang beriman. Baginda SAW telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; dan Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah. Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib diambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:

Maksudnya:“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata.”

Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah Lailahaillaah dan Muhammadur Rasulullah yang menunjukkan bahawa Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan dan Nabi kita. Penggunaan kalimah La adalah suatu bentuk perakuan kewujudan tuhan yang dinamakan Allah dan menafikan tuhan-tuhan selain-Nya. Dengan itu, seluruh umat Islam wajib bersatu dan menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya Tuhan dalam Islam selain mengarah kepada meng-Esakan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Yakin dan percayalah, antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan, diantaranya menggunakan isu agama sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya dan hilang intergriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa. 
 
Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam pada hari ini yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Sedarlah, inilah masanya untuk umat Islam bersatu bagi memelihara kesucian agama Islam dan mempertahankan akidah umat Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ternyata sekali lagi, hari ini musuh-musuh Islam cuba memesongkan dan meruntuhkan akidah ummah. Mereka bersatu sesama mereka dan berusaha dengan pelbagai helah dan cara termasuklah dengan membuat tuntutan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab mereka. Wal hal telah jelas kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam serta satu ketetapan yang begitu nyata bagi mengelakkan umat Islam menjadi keliru, ragu-ragu, dan tersilap mengenal identiti Allah SWT.
 
Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan berdasarkan kajian ilmiah bahawa kalimah Allah tidak pernah terdapat di dalam Taurat ataupun Bible dan mereka percaya bahawa tuhan wujud dalam konsep Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan ), God the Son (Anak Tuhan ) dan Holy Spirit (Roh kudus), dan ketiga eleman ini dirujuk sebagai satu tuhan dengan panggilan umum (The Lord).

Oleh itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Begitu juga dengan pegangan seluruh umat Islam di Indonesia yang bersepakat kalimah Allah hanya diguna pakai oleh orang Islam sahaja.

Mimbar ingin menyatakan sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka menjadi kewajipan kita menjaga kesucian kalimah Allah serta mempertahankannya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Umat Islam mesti tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama. Sikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya, kerana matlamat mereka yang utama adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa agama adalah sama. Ingatlah bahawa semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:

Bermaksud:Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.

Janganlah ada segelintir umat Islam yang hanya pandai berbicara soal Islam namun dalam masa yang sama sanggup menggadaikan maruah dan agama sendiri. Lebih menyedihkan lagi ada di kalangan umat Islam hari ini yang langsung tidak sensitif dan sanggup menggadaikan akidah dan masa depan ummah demi kepentingan diri sendiri. Bayangkan akibatnya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Yakinlah, di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh. Berdasarkan maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Mimbar ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaualatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:

Yang bermaksud:Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan, memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian dan mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam setiap tindakan.

Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam. Justeru, mimbar menyeru kepada semua pihak, marilah sama-sama kita menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan hidup dan mengelakkan diri dari perbuatan yang menyimpang dari sifat Rasulullah SAW yang sebenarnya. 
 
Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat pelbagai agama di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31:
 
Maksudnya: Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Barakallah....





 

Rabu, 23 Januari 2013

Lirik selawat maulidur rasul-Jom sama-sama kita nasyidkan

 
 
Lirik selawat maulidur rasul
 صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد Selawat Allah ke atas Muhammad
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Selawat salam dipohon lagi
صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد Selawat Allah ke atas Muhammad
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Selawat salam dipohon lagi

يَا نَبِيْ سَلاَمٌ عَلَيْكَ Wahai Nabi salam atasmu
يَا رَسُوْل سَلاَمٌ عَلَيْكَ Wahai Rasul, salam atasmu
يَا حَبِيْبُ سَلاَمٌ عَلَيْكَ Wahai kekasih, salam atasmu
صَلَوَاتُ الله عَلَيْكَ Selawat Allah ke atasmu

أَشْرَقَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا Bulan purnama menyinari kita
فَاخْتَفَتْ مِنْهُ الْبُدُوْرُ Hilang segala cahaya
مِثْلَ حُسْنِكَ مَا رَأَيْنَا Indah menawan tak pernah dilihat
قَطُّ يَا وَجْهَ السُّرُوْرِ Wajah gembira sepanjang hayat

أَنْتَ شَمْسٌ أَنْتَ بَدْرٌ Kaulah matahari, kaulah bulan
أَنْتَ نُوْرٌ فَوْقَ نُوْرٍ Kaulah cahaya mengatasi cahaya
أَنْتَ إِكْسِيْرٌ وَغَالِي Kaulah rahsia hidup mulia
أَنْتَ مِصْبَاحُ الصُّدُوْرِ Kaulah menyuluhi jiwa

يَا حَبِيْبِيْ يَا مُحَمَّد Wahai kekasihku, ya Muhammad
يَا عَرُوْسَ الْخَافِقَيْنِ Wahai pendamping indah sejagat
يَا مُؤَيَّدُ يَا مُمَجَّدُ Wahai Nabi dijulang dipuja
يَا إِمَامَ الْقِبْلَتَيْنِ Wahai imam 2 kiblat

مَنْ رَأَى وَجْهَكَ يَسْعَد Bahagialah orang memandang wajahmu
يَا كَرِيْمَ الْوَالِدَيْنِ Wahai penghulu keturunan mulia
حَوْضُكَ الصَّافِى الْمُبَرَّد Kolam airmu sejuk jernih
وِرْدُنَا يَوْمَ النُّشُوْرِ Kunjungi kami pada hari akhirat

مَا رَأَيْنَا الْعِيْسَ حَنَّتْ Sepanjang malam unta berjalan
بِالسُّرَى إِلاَّ إِلَيْكَ Tiada berhenti rindukanmu
وَالْغَمَامَةْ قَدْ اَظَلَّتْ Engkau dipayungi awan putih
وَالْمَلاَ صَلُّوْا عَلَيْكَ Dan Malaikat sama berselawat

عَالِمُ السِّرِّ وَأَخْفَى Allah mengetahui rahsia sulit
مُسْتَجِيْبُ الدَّعَوَاتِ Dialah menyahut semua seruan
رَبِّ إرْحَمْنَا جَمِيْعًا Wahai Tuhan Rahmatilah kami
بِجَمِيْعِ الصَّالِحَاتِ Dengan segala amalan soleh

وَصَلاَةُ الله عَلَى أَحْمَد Selawat Allah ke atas Muhammad
عَدَّ تَحْرِيْرِ السُّطُوْرِ Sebanyak baris kertas ditulis
أَحْمَدُ الْهَادِي مُحَمَّد Ahmad Muhammad petunjuk jalan
صَاحِبُ الْوَجْهِ الْمُنِيْرِ Empunya wajah berseri menawan

صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد Selawat Allah ke atas Muhammad
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Selawat salam dipohon lagi
صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد Selawat Allah ke atas Muhammad
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Selawat salam dipohon lagi

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَيْهِ Wahai Tuhan, selawat dan salam dan keberkatan atasnya

Selasa, 22 Januari 2013

Muhammad bukan penyair

Muhammad bukan penyair


al-Quran itu mempunyai keistimewaan dan mukjizat yang luar biasa. - Gambar hiasan
DALAM ayat-ayat yang sebelumnya, Allah SWT berbicara tentang keesaan-Nya menyatakan tentang hari kebangkitan manusia, selanjutnya dalam ayat Allah SWT berbicara pula tentang risalah yang dibawa oleh rasul-Nya.

Firman Allah SWT: (Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepada-Nya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan. (Yasin: 69)

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT berfirman menyatakan tentang Nabi-Nya Muhammad SAW bahawa Dia tidak mengajar syair kepada baginda."

Abu Zur'ah al-Razi berkata: :Ismail bin Mujalid bercerita kepada kami daripada ayahnya bahawa al-Sya'bi berkata, Abdul Mutalib tidak pernah mendapatkan anak-anak lelaki dan perempuan melainkan pasti mengucapkan syair kecuali Rasulullah SAW. Hal ini disebutkan oleh Ibnu Asakir dalam biografi Utbah bin Abi Lahab."

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Abu Naufal berkata: "Aku bertanya kepada Aisyah ra apakah Rasulullah SAW menguasai syair? Maka beliau menjawab syair adalah kalimat yang paling dibenci baginda."

Al-Maraghi berkata: "Syair merupakan sejenis ungkapan yang mempunyai peraturan tertentu. Setiap barisnya berakhir dengan huruf tertentu yang disebut sajak. Ungkapan itu diucapkan berdasarkan irama yang dilahirkan oleh perasaan dan nafsu tanpa dipandu oleh akal dan ilmu logik."

Oleh yang demikian, kenyataan Allah SWT bahawa Dia tidak mengajar syair kepada Nabi Muhammad SAW bermaksud Dia hendak menegaskan bahawa al-Quran bukanlah syair.

Al-Quran adalah petunjuk yang diturunkan Allah SWT untuk memberi bimbingan kepada hamba-Nya keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Al-Quran bukanlah rekaan manusia.

Firman Allah SWT: Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar. (Yasin: 70)

Ibnu Kathir berkata: "Al-Quran jelas memberi peringatan kepada makhluk yang hidup di muka bumi. Sedangkan yang dapat mengambil manfaat daripada peringatan itu hanyalah orang yang hidup dan mata hatinya bersinar. Al-Quran adalah rahmat bagi orang yang beriman dan hujah bagi yang kafir."
Qatadah berkata: "Yang hidup kalbunya dan hidup mata hatinya."
Al-Dahak berkata: "Iaitu orang yang berakal."
Al-Maraghi berkata: "Al-Quran memberi manfaat kepada orang yang mempunyai hatinya yang hidup dan sanubari yang jernih, mengetahui kebaikan di sebalik petunjuk dan bimbingan-Nya serta mengikut bimbingan dan petunjuk tersebut."

Itulah orang yang dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, malahan tergolong dalam golongan manusia yang bakal memperoleh kemenangan dan kebahagiaan.

Azab itu pasti akan menimpa orang kafir yang tidak mempercayai al-Quran. Orang itu seolah-olah mati kerana hilang kepekaan dan kesedaran jiwanya, padahal tabiat jiwanya adalah mengikut kebenaran yang disampaikan kepadanya.

Saya dapat mengambil pengajaran daripada ayat di atas dan jelas menunjukkan sifat al-Quran yang mempunyai keistimewaan dan mukjizat yang luar biasa.

Perbincangan ini ditutup dengan nukilan daripada kitab Tafsir al-Misbah: "Dapat dikatakan bahawa perintah untuk berfikir yang mengakhiri ayat yang lalu, menunjukkan bahawa manusia walau tidak dapat mengelak daripada sifat tua dan lemah yang diakibatkan oleh lemahnya fizikal seseorang, namun itu bukan bererti bahawa sifat tua itu menghalang seseorang daripada mencantikkan potensi rohaniah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini dapat diraih oleh mereka yang memerhatikan isi al-Quran dan sifat tauladan Rasulullah SAW. Kerana itulah agaknya sehingga ayat 69 di atas berbicara tentang Rasulullah SAW dan al-Quran.
Ayat tersebut menegaskan bahawa: "Kami telah utuskan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu al-Quran melalui wahyu dan kami tidak mengajarkannya iaitu mewahyukan kepadanya dalam bentuk syair."

Baginda adalah seorang Rasul yang jauh lebih hebat daripada seorang penyair. Apa yang disampaikan oleh baginda tidak lain kecuali peringatan dan al-Quran yang jelas iaitu dalam bacaan yang sempurna yang diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya.

Apa yang disampaikan itu bertujuan untuk memberi peringatan kepada sesiapa yang hidup iaitu akal dan fikirannya terbuka sehingga bersedia menerima kebenaran dan hatinya tidak dikotori oleh kederhakaan sehingga nasihat dan peringatan dapat berbekas di dalam jiwanya.

Sebaliknya akan menjadi wajar jatuhnya ucapan iaitu ketetapan seksaan Allah SWT atas orang-orang kafir yang enggan menerima peringatan dan pengajaran daripada al-Quran itu."

Semoga kita menjadi golongan yang benar-benar memahami isi kandung al-Quran untuk kita mengamalkannya.

Isnin, 21 Januari 2013

Al-Qaradawi : Sambut Maulidur Rasul bukan bid'ah

Al-Qaradawi : Sambut Maulidur Rasul bukan bid'ah

Dr. Yusuf al-Qaradawi, Ketua Persatuan Ulama Islam Antarabangsa, membolehkan perayaan Maulid Nabi Muhammad SAW. Perayaan seperti itu dibolehkan bagi mengingati kembali sirah perjuangan Rasulullah SAW, keperibadian Rasulullah SAW yang agung, dan misi yang dibawanya daripada Allah SWT kepada alam semesta. Menurut al-Qaradawi, perayaan Maulid Nabi SAW tidak termasuk dalam kategori bid'ah.

Dalam fatwanya, al-Qaradawi melandaskan pendapatnya dengan mengatakan bahawa memperingati kelahiran Rasulullah SAW adalah mengingatkan umat Islam terhadap nikmat luar biasa kepada mereka. "Mengingati nikmat Allah adalah sesuatu yang disyariatkan, terpuji dan memang diperintahkan. Allah SWT memerintahkan kita untuk mengingat nikmat Allah SWT, " ujar al-Qaradawi.

Namun demikian, al-Qaradawi juga mengatakan bahawa sambutan Maulid Nabi SAW jangan sampai dicampuri dengan pelbagai ragam kemungkaran dan penyimpangan syariat serta melakukan apa yang tidak diperintah langsung oleh Allah SWT.

"Menganggap peringatan Maulid adalah bid'ah dan semua bid'ah itu sesat dan tempatnya di neraka, itu tidak benar sama sekali. Yang kita tolak adalah mencampurkan peringatan itu dengan berbagai penyimpangan syariah Islam dan melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan langsung oleh Allah SWT seperti yang terjadi di sebahagian tempat," kata al-Qaradawi.

Fatwa al-Qaradawi dikeluarkan untuk menjawab pertanyaan sejumlah umat Islam yang menanyakan, "Apa hukumnya merayakan Maulid Nabi SAW dan perayaan Islam lainnya, seperti perayaan tahun baru hijriyah, Isra Mi'raj dan lain-lain?" Maka, al-Qaradawi menjawab antara lain bahawa, "Mengingat nikmat itu diperintahkan, terpuji dan memang dianjurkan. Mengingatkan umat Islam dengan berbagai peristiwa penting dalam sejarah Islam yang di dalamnya terdapat pelajaran yang bermanfaat, bukan sesuatu yang tercela, dan tidak boleh disebut sebagai bid'ah atau kesesatan. "

Beliau menambah, "Termasuk tanggungjawab kita adalah mengingati sirah perjalanan Rasulullah SAW dalam sambutan peringatan. Ini bukan peringatan yang bid'ah. Kerana kita mengingatkan manusia dengan Sirah Nabawiyah yang mendekatkan mereka dengan misi Muhammad SAW. Ini adalah kenikmatan luar biasa. Adalah dahulu para sahabat radhiallahu anhum kerap mengingati Rasulullah SAW dalam pelbagai kesempatan. "

Antara contohnya, al-Qaradawi menyebutkan, ungkapan seorang sahabat Sa'd bin Abi Waqqas radhallahu anhu, "Kami selalu mengingatkan anak-anak kami dengan peperangan yang dilakukan Rasulullah SAW sebagaimana kami menjadikan mereka menghafal satu surah dalam Al-Quran." Ungkapan ini, menurut al-Qaradawi menjelaskan bahawa para sahabat kerap menceritakan apa yang terjadi dalam perang Badar, Uhud dan lain-lain, kepada anak-anak mereka, termasuk peristiwa saat perang Khandaq dan Bai'atur Ridhwan."

Sumber : qaradawi.net

Jumaat, 18 Januari 2013

Petikan buku 'Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular' karya paderi Indonesia

Petikan buku 'Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular' karya paderi Indonesia

 

BERIKUT adalah petikan dari buku tulisan paderi Indonesia, Jahja Iskandar yang mengakui kalimah Allah hanya untuk orang Islam di dalam bukunya 'Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular':

"Apabila kita lihat dalam realiti sehari-hari, tidak dapat dinafikan bahawa kata 'Allah' secara umum lebih banyak difahami dan berkonotasi sebagai nama diri Tuhan atau Sembahan yang khas untuk umat Islam.

Dari ungkapan yang kita dengar sehari-hari dalam takbir azan: 'asyhadu an-laa ilaha illallah' yang ertinya, kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, jelas ditunjukkan bahawa kalimah Allah berkonotasi kata nama dan tidak mungkin berkonotasi sebutan umum.

Begitu juga dalam setiap terjemahan al-Quran, baik ke dalam bahasa Inggeris atau ke dalam bahasa Indonesia, kata Allah tidak pernah diterjemahkan menjadi God atau Tuhan melainkan tetap ditulis sebagai Allah".

Dalam petikan di muka surat lain, Jahja menjelaskan:

"Kerana rupanya tetap tidak mudah untuk menyelesaikan persoalan yang telah sangat mengakar dalam tradisi penterjemahan. Masih banyak hal yang memerlukan usaha dan kerja keras dalam penyelarasan kedua kata tersebut.

Di mana salah satunya adalah berkaitan dengan makna kata Ilah itu sendiri yang berada pada posisi neutral dalam penggunaannya. Maksudnya kata itu di satu sisi dapat tampil sebagai 'ilah'. Ertinya, kata itu dapat dikonotasi sebagai Tuhan monoteistik (tuhan yang satu), tetapi di tempat lain dapat disebut sembahan politeistik (tuhan yang banyak).

Sementara dari kaca mata pemikiran ortodoks, tidak mungkin dan tidak sesuai untuk menyamakan Tuhan monoteistik dengan Sembahan politeistik dengan satu istilah yang sama.

Maka jalan keluar terbaik adalah mahu tidak mahu harus dicarikan kata baru yang dapat diguna secara khusus untuk menunjukkan Tuhan monoteistik.

Dengan melihat kepada bahasa asli Perjanjian Lama, iaitu bahasa Ibrani (bahasa digunakan orang Yahudi) di mana kata yang sedang dipersoalkan adalah Elohim. Maka alangkah baik jika kita cuba menggunakan kata tersebut sebagai alternatif.

Apalagi jika kita melihat bentuk dan fungsi kata tersebut yang sangat sesuai dengan kepercayaan Kristian pada umumnya, iaitu bahawa kata tersebut sebenarnya adalah kata yang berbentuk plural tetapi dalam fungsinya boleh berfungsi singular (Elohim) selain fungsi plural (elohim) yang memang melekat pada bentuknya.

Tentu saja proses penterjemahannya adalah dengan menggunakan kata tersebut ke dalam ruang bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai kata serapan atau klausa kata baru yang berasal dari bahasa lain.

Apa yang diperlukan adalah kata yang akan digunakan untuk menjadi sebutan bagi Tuhan monoteistik, maka tentu saja kita hanya memakai kata yang berfungsi singular iaitu Elohim. Sebab untuk sebutan bagi sembahan politeistik, kita sudah mempunyai kata di dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia iaitu kata 'ilah'.

Inilah jalan keluar yang cuba ditawarkan untuk menjawab kontroversi dan kesulitan-kesulitan pemakaian sebutan bagi Tuhan/Sembahan kita".

Rabu, 16 Januari 2013

Amanat Ketua Pengarah Jakim bagi Tahun 2013

Amanat Ketua Pengarah Jakim bagi Tahun 2013

“Jakim mesti menjadi agensi peneraju dalam mendepani isu-isu agama”
Itu antara amanat YBhg. Dato’ Hj. Othman bin Mustapha; Ketua Pengarah Jakim yang telah disampaikan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jakim bagi bulan Januari 2013 pada 11 Januari 2013 yang lalu.
Majlis yang turut dihadiri oleh Tn. Hj. Razali bin Shahabudin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), YBhg. Tuan Hj. Mohamad Nordin bin Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), En. Mohd Noor bin Abd Hamid; Pengarah Kanan ( Pengurusan) dan pengarah-pengarah bahagian.
Turut disentuh dalam amanatnya, tentang saranan agar setiap warga Jakim hendaklah sentiasa peka dengan isu-isu semasa yang memerlukan tindakan dengan kadar segera. Di samping itu, pemantauan rapi perlu dilaksanakan terhadap Pelan Strategik Jakim 2009-2014 agar setiap aspek dapat dipenuhi.
Manakala bagi projek pembangunan di bawah Jakim, pengurusan dan pemantauan yang serius perlu disusun agar jadual pelaksanaan dapat diselesaikan sepertimana yang telah dirancangkan.
Bagi mengimbangi arus kemodenan yang pesat, warga Jakim haruslah mempunyai daya pemikiran yang pantas serta berinovasi dalam melaksanakan strategi dakwah agar impak terhadap golongan sasaran dapat dirasai secara berkesan.
Di akhir ucapannya YBhg. Dato’ menegaskan agar setiap warga Jakim hendaklah menggunakan setiap kemudahan yang disediakan oleh pihak Jabatan sama ada dari segi prasarananya mahupun pada modul latihan yang telah dibangunkan untuk menggembeleng tenaga memerah setiap idea yang timbul di kotak fikiran kita untuk merealisasikan visi, misi, dan fungsi Jakim untuk terus kekal sebagai agensi peneraju dalam isu-isu agama. Jadikan azam 2013 ini sebagai “ Tahun Mengurus Kejayaan Jakim”.
Sebagai penutup, majlis diserikan dengan Majlis Penyampaian Sijil Amalan 5S oleh  YBrs. Dr. Mazlan bin Yusof; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan, Pengurusan & Transformasi) MAMPU kepada Masjid Putra menerusi Imam Besar Masjid Putra; Tn. Hj. Abdul Manaf bin Hj. Mat dengan disaksikan oleh YBhg. Dato’ Ketua Pengarah Jakim.  
Kehadiran beliau disambut oleh seluruh warga Jakim.
Warga Jakim yang hadir memenuhi ruang dewan.
Penyampaian Sijil Amalan 5S dari pihak MAMPU kepada Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya.
 

Selasa, 15 Januari 2013

Semoga Melayu tak ditipu Kristian Evangelis!

Semoga Melayu tak ditipu Kristian Evangelis! 

dari blog Abu Haseef

Sedih bila tengok pelbagai komen daripada orang Melayu-Islam tentang isu yang berlaku di Dream Centre DUMC baru-baru ini. Ada yang beri komen tanpa mengetahui hujung pangkal. Ada juga yang komen JAIS lebih untuk jaga 'kepentingan peribadi' kerana 'kes' tertentu. Kadang-kadang bila kita nak menunjukkan kita ini terlalu  toleransi atau kononnya Islam itu agama yang teraaamat 'demokrasi', maka lagak kita lebih dari 'orang putih' yang mengasaskan demokrasi di Barat itu.

Akibatnya adalah amat memalukan apabila ada Melayu-Islam yang menjadi pembela membuta tuli PUSAT PENYEBARAN KRISTIAN di Petaling Jaya yang berselindung di sebalik nama pusat komuniti 'Dream Centre' dan pertubuhan kebajikan 'Harapan Komuniti'. Bagi penulis apabila membaca misi DUMC yang menyebut "TO EVANGELISE THE KLANG VALLEY...", itu sudah cukup menjadi bukti bahawa ini adalah kumpulan Kristian Evanglis yang memang terkenal di seluruh dunia dengan aktiviti-aktiviti penginjilan dan missionary terhadap penganut agama lain. Sama seperti kumpulan evangelist yang lain, matlamat utama mereka adalah untuk menyampaikan ajaran bible kepada seluruh umat manusia. 

Apa yang perlu diketahui, kumpulan evangelist bukanlah sebodoh itu untuk menunjukkan aktiviti penginjilan mereka terhadap agama lain, lebih-lebih lagi penganut Islam! Itu sebab kebanyakan kumpulan evangelist tidak akan meminta mana-mana penganut agama yang berjaya di'baptis'kan atau di'convert'kan semudah itu untuk menukar personaliti atau identiti diri mereka. Bermakna; nama, pakaian, budaya dan cara beragama luaran akan terus nampak kelihatan Islam. Jangan terkejut, mungkin mereka yang sedang sama-sama berpuasa dan bersolat hari raya dengan kita itu sebenarnya bukan muslim lagi, tetapi mereka itu sebenarnya adalah kumpulan "penganut Jesus berlatarbelakangkan Melayu Muslim"! Bahkan memang pun di peringkat dunia sudah wujud konferensi bagi kumpulan "penganut Jesus berlatarbelakangkan Muslim", siap dengan pastor di kalangan mereka sendiri!

Inilah yang telah berjaya dilakukan oleh kumpulan evangelist Sidang Injil Borneo di Sabah dan Sarawak (yang kini telah tersebar ke seluruh semenanjung). Ketika penulis melakukan kajian di Lawas dan Limbang, dapat dilihat dengan jelas bagaimana penduduk pribumi di sana telah berjaya diubah kepercayaannya tanpa sedikitpun menyentuh budaya mereka. Lihat sahaja nama-nama yang digunakan, masih kekal kelihatan Melayu-Islam-nya (Idris Jala sebagai contoh), pakaian wanitanya seperti berbaju kurung ke gereja dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di gereja termasuk menggunakan kalimah Allah. Apa yang dilakukan oleh gol. evangelist hanyalah mengubah konsep Allah dari ESA kepada Allah sebagai God The Father dan Jesus sebagai anak-Nya. 

Harapan penulis, janganlah ahli-ahli politik dan tokoh tertentu dari kalangan Melayu-Islam terlalu jahil tentang misi dan visi golongan evangelist ini. Al-Qur'an sendiri telah memberi peringatan dan amaran dalam surah al-Baqarah ayat 120 bahawa Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda terhadap Islam hinggalah kita menjadi pengikut agama mereka. Pertahankanlah maruah Islam lebih daripada kita mempertahankan maruah diri dan parti. Janganlah kerana "politik ambil hati orang kafir" yang melampau, parti kita menang tapi akidahnya tergadai...

Wallahu a'lam.

Isnin, 14 Januari 2013

Yang menghina semakin terhina...

Yang menghina semakin terhina...


Belum pun reda kemarahan umat Islam terhadap penayangan filem anti-Islam Innocence of Muslims seperti yang disebarkan dalam  youtube, kini muncul pula karikatur Nabi Muhammad dalam keadaan tidak wajar dalam majalah Charlie Hebdo di Perancis. Benar pada satu sisi, orang-orang jahil dan bodoh di kalangan musuh-musuh Islam akan sentiasa berusaha memomokkan susuk Baginda Rasulullah SAW dengan pelbagai penghinaan dan penistaan. Namun pada masa yang sama, mereka tidak boleh menafikan bahawa cerdik pandai dan intelektual mereka yang benar-benar mengkaji tentang Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mampu menolak keistimewaan dan kehebatan Nabi Muhammad yang dikeji oleh golongan bodoh itu. Antaranya lihat beberapa kenyataan orientalis tersohor di bawah:

W. Montgomery Watt, MOHAMMAD AT MECCA, Oxford, 1953, p. 52.

"Kesanggupannya menempuh tentangan atas keyakinannya, ketinggian moral para pengikutnya, serta pencapaiannya yang luar biasa “semuanya menunjukkan integritinya. Menganggap Muhammad sebagai seorang penipu hanyalah memberikan masalah dan bukan jawapan. Lebih dari itu, tiada tokoh hebat yang digambarkan begitu buruk di Barat selain Muhammad".

Annie Besant, THE LIFE AND TEACHINGS OF MUHAMMAD, Madras, 1932, p. 4.

"Sangat mustahil bagi seseorang yang mempelajari karakter Nabi Bangsa Arab, yang mengetahui bagaimana ajarannya dan bagaimana hidupnya untuk merasakan selain hormat terhadap beliau, salah seorang utusan-Nya. Dan meskipun dalam semua yang saya gambarkan banyak hal-hal yang terasa biasa, namun setiap kali saya membaca ulang kisah-kisahnya, setiap kali pula saya merasakan kekaguman dan penghormatan kepada sang Guru Bangsa Arab tersebut."

THOMAS CARLYLE in his HEROES AND HEROWORSHIP

"Betapa menakjubkan seorang manusia sendirian dapat mengubah suku-suku yang saling berperang dan kaum nomad (Badwi) menjadi sebuah bangsa yang paling maju dan paling berperadaban hanya dalam waktu kurang dari dua dekad. Kebohongan yang dipropagandakan kaum Barat yang diselimutkan kepada orang ini (Muhammad) hanyalah mempermalukan diri kita sendiri".

James A. Michener, "Islam: The Misunderstood Religion," in READER'S DIGEST (American edition), May 1955, pp. 68-70.

"Muhammad, seorang inspirator yang mendirikan Islam, dilahirkan pada tahun 570 masehi dalam masyarakat Arab penyembah berhala. Yatim semenjak kecil dia secara khusus memberikan perhatian kepada fakir miskin, yatim piatu dan janda, serta hamba sahaya dan kaum lemah. Pada usia 20 tahun, dia sudah menjadi seorang pengusaha yang berjaya, dan menjadi pengelola perniagaan seorang janda kaya. Ketika mencapai usia 25, majikannya melamarnya. Walaupun usia perempuan tersebut 15 tahun lebih tua Muhammad menikahinya dan tetap setia kepadanya sepanjang hayat si isteri.

Seperti halnya para nabi lain, Muhammad memulai tugas kenabiannya dengan sembunyi-sembunyi dan ragu-ragu kerana menyedari kelemahannya. Tapi adalah perintah yang diperolehnya, -dan meskipun sampai saat ini diyakini bahwa Muhammad tidak boleh membaca dan menulis dan keluarlah dari mulutnya satu kalimah yang akan mengubah dunia: Tiada tuhan selain Allah. Dalam setiap hal, Muhammad adalah seorang yang mengedepankan akal. Ketika puteranya, Ibrahim, meninggal dunia disertai gerhana dan menimbulkan anggapan ummatnya bahawa hal tersebut adalah wujud rasa perkabungan Tuhan kepadanya, Muhammad berkata: Gerhana adalah kejadian alam biasa, adalah suatu kebodohan mengaitkannya dengan kematian atau kelahiran seorang manusia. Saat setelah ia meninggal, sebahagian pengikutnya hendak memujanya sebagaimana Tuhan dipuja, akan tetapi penerus kepemimpinannya (Abu Bakar) menepis keinginan ummatnya itu dengan salah satu pidato keagamaan terindah sepanjang masa: Jika ada diantara kalian yang menyembah Muhammad, maka ketahuilah bahawa ia telah meninggal. Tapi jika Tuhan-lah yang hendak kalian sembah, ketahuilah bahwa Ia hidup selamanya".

Lebih mengagumkan lagi bagaimana seorang penulis Barat, Micheal H. Hart dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History boleh meletakkan Nabi Muhammad sebagai tokoh nombor satu paling berpengaruh sedangkan Nabi Isa sendiri diletakkan pada ranking yang ketiga. Micheal H. Hart menjelaskan alasan pemilihan seperti berikut:

"Jatuhnya pilihan saya kepada Nabi Muhammad dalam urutan pertama daftar Seratus Tokoh yang berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan sementara pembaca dan mungkin jadi tanda tanya sebahagian yang lain. Tapi saya berpegang pada keyakinan saya, dialah Nabi Muhammad satu-satunya manusia dalam sejarah yang berhasil meraih kejayaan-kejayaan luar biasa baik dinilai dari ukuran agama mahupun ruang lingkup duniawi. Berasal-usul dari keluarga sederhana, Muhammad menegakkan dan menyebarkan salah satu dari agama terbesar di dunia, agama Islam. Dan pada saat yang bersamaan tampil sebagai seorang pemimpin tabah, tulen, dan efektif. Kini tiga belas abad sesudah wafatnya, pengaruhnya masih tetap kuat dan mendalam serta berakar".

Tahukah anda apa agama Micheal H. Hart? Dia sebenarnya adalah seorang Yahudi Amerika. Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 146 bermaksud:

"Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)".

Kesimpulannya, perbuatan bodoh sesetengah pengikut Kristian dan Yahudi yang cuba menghina dan memomokkan keperibadian Baginda Rasulullah SAW pada hari ini sebenarnya hanya akan menampakkan kebodohan dan memakan diri mereka sendiri. Lihatlah, kesannya nanti semakin ramai golongan bukan Islam akan semakin berminat untuk mengambil tahu dan mengkaji siapakah Nabi Islam yang hebat itu, Muhammad SAW. 

sumber..... 

Rabu, 9 Januari 2013

Bahana al-wahn dalam hati

Bahana al-wahn dalam hati

 

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

UMAT Islam di negara ini amat beruntung apabila menyambut dua kali tahun baru iaitu Maal Hijrah dan Tahun Baru Masihi. Hal ini bermakna kita diberi peluang dua kali untuk berazam dan melakukan perubahan. Peluang berganda diberikan itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengisi cabaran dan rintangan mendatang.

Tahun 2012 telah meninggalkan pelbagai kenangan manis dan pahit kepada umat Islam, bahkan tahun itu merupakan saat mencabar dengan ditimpa isu dan kecaman.

Bagi umat Islam negara ini, kita tidak mengalami nasib seperti yang terjadi di beberapa negara Asia Barat seperti Palestin, Syria dan lain-lain lagi termasuk di Rohingya, Myanmar. Sebaliknya kita mestilah menyelami perasaan yang menimpa mereka dengan menghulurkan bantuan selain mensyukuri nikmat keamanan tanah air.

Timbul persoalan mengapa masih lagi umat Islam dikecam dan dihina sedangkan majoriti penduduk di muka bumi ini beragama Islam?

Ketika bertanyakan soalan tersebut kepada tokoh agama tersohor, Fauzi Mustafa, beliau memetik satu hadis bahawa Rasullullah pernah bersabda bahawa bilangan umat Islam akhir zaman adalah ramai umpama buih-buih di lautan.

Baginda bersabda lagi, Allah telah mencabut dalam hati musuh-musuh kamu daripada perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn ke dalam hati umat Islam.
Kemudian para sahabat bertanya lagi, "Apa al-wahn itu Rasulullah?" Jawab Baginda, "Cintakan dunia dan bencikan mati."

Fauzi berkata, penyakit yang melanda umat Islam itu menyebabkan minda dan tindakan kita masih terjajah walaupun sesetengah negara Islam telah merdeka dan bebas daripada genggaman penjajah. Sehubungan itu tambah beliau, kemelut masalah itu dapat diselesaikan sekiranya umat Islam bersatu padu atas landasan akidah.

"Seperti yang berlaku di beberapa negara Islam apabila masing-masing mengamalkan budaya perkauman (asabiah) yang mementingkan diri sendiri dan tidak membantu semasa akidah yang berhadapan bencana alam atau peperangan.

"Perkara itu yang membimbangkan agama Islam sekarang tatkala masing-masing mengejar kemewahan dunia tetapi meninggalkan akhirat," katanya.

Berbalik kepada situasi di negara ini, jelas Fauzi Mustafa walaupun umat Islam hidup dalam keadaan aman dan sejahtera bersama pelbagai agama, kaum dan etnik, tetapi mereka perlu kepada fitrah asal iaitu kembali kepada agama.

Fauzi menjelaskan, gaya hidup umat Islam negara ini telah diselami dengan budaya-budaya luar sehinggakan mereka meninggalkan suruhan dan melakukan larangan Allah. Budaya rasuah, menghasut dan memporak peranda kini sering dikaitkan dengan umat Islam sedangkan dakyah itu bukan ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.

"Pokok pangkalnya kita mesti kembali kepada ajaran agama, jika kita hendak maju dan sejahtera, ikutilah segala pengajaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.
"Saya kadang-kadang terfikir mengapa zionis menyerang penduduk Palestin tidak pula negara-negara Islam lain. Jawapannya adalah umat Islam Palestin mempunyai semangat jihad tinggi untuk mempertahankan agama berbanding negara Islam lain yang dilanda penyakit al-Wahn," jelas beliau.

Umat Islam perlu maju

UMAT Islam kini tidak menyedari bahawa segala cabang ilmu yang dikuasai oleh barat sebenarnya bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunnah. 

Kedua-dua panduan dan rujukan utama umat Islam sering kali dijadikan bahan rujukan penjajah dan akhirnya mereka mengakui bahawa kemajuan sains dan teknologi dilakukan oleh mereka.
Oleh itu kekurangan umat Islam untuk terlibat dalam pelbagai bidang profesional amat dikesali sedangkan tuntutan tersebut merupakan satu fardu kifayah.

Jelas Fauzi kini sudah tiba masanya khususnya azam baru 2013 untuk berubah dengan menggalakkan para generasi muda Islam untuk terlibat bidang yang diterokai oleh barat.

"Wahyu pertama diturunkan Allah ialah Surah al-Alaq dengan menyuruh umatnya membaca yang antara lain bermaksud suruhan menuntut ilmu untuk menuju kejayaan di dunia dan akhirat.

"Jika umat Islam maju, tiada siapa yang boleh mengecam dan menindas kita. Dahulu ketika sirah Rasullullah, baginda memimpin umat Islam ketika itu dengan menggunakan segala kepakaran setiap penduduk sehingga Islam diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat," kata Fauzi.

Selasa, 8 Januari 2013

Taubat tahun baharu

 

Taubat tahun baharu

HARI ini kita telah memasuki tahun 2013. Tentunya pelbagai rancangan telah dibuat untuk menjadikan tahun ini lebih baik daripada sebelumnya. Awal tahun memang saat yang tepat menetapkan azam dan matlamat agar tercapai kehidupan yang lebih sempurna.

Sebagai seorang Muslim, langkah pertama mempertingkatkan kualiti diri dimulai dengan taubat. Sesuai dengan makna literalnya, taubat bermakna kembali.

Seseorang yang bertaubat ertinya kembali kepada Allah Yang Maha Sempurna dengan menginsafi kekurangan diri dan berusaha menutupinya.

Konsep taubat mengisyaratkan bahawa kesempurnaan hidup ditentukan oleh kedekatan diri kita dengan Allah SWT. Sebab Allah adalah sumber kebahagiaan. Siapa yang menjauh diri daripada Allah SWT, ia tidak akan merasai kebahagiaan di dalam hidupnya.

Mengapa taubat?

Sebahagian daripada kita mungkin bertanya mengapa kita perlu bertaubat? Jawapannya, sebab dosa adalah penghalang terbesar dalam kita meraih kejayaan.
Dosa bukan hanya memberatkan proses hisab kita di akhirat, namun juga memberatkan langkah kita di dunia. Orang yang berlumuran dosa selalunya dibenci dalam masyarakat.

Ibnu Abbas berkata: "Maksiat melahirkan kegelapan di hati, kekeruhan di wajah, kesakitan di badan, kesempitan di rezeki dan kebencian di hati semua makhluk."

Lantaran itu, matlamat taubat adalah menghakis semua dosa yang selama ini mengeruhkan hidup kita. Menurut Imam Al-Nawawi, taubat mesti melalui tiga tahapan. Pertama, meninggalkan perbuatan dosa itu. Kedua, menyesal atas perbuatan tersebut. Dan ketiga, berazam untuk tidak mengulanginya kembali di masa akan datang.

Al-Nawawi menambahkan: "Jika dosa itu berkaitan dengan hak manusia, maka syarat yang keempat adalah melepaskan hak tersebut kepada pemiliknya. Jika hak itu berbentuk harta, maka ia mesti dikembalikan. Jika berbentuk hukum had seperti tuduhan palsu atau lain-lain, maka ia mesti tunduk kepada hukuman atau meminta maaf. Dan jika berbentuk ghibah (umpatan), maka ia mesti minta agar dihalalkan."

Jika semua langkah ini sempurna dilakukan, insya-Allah akan berlaku perubahan besar dalam hidup kita. Fikiran kita menjadi ringan, pintu rezeki dan kebahagiaan akan terbuka luas di hadapan.
Allah berjanji menerusi lisan Nabi Nuh: Mohonlah ampun kepada tuhanmu sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu. (Nuh: 10-12)

Pintu taubat terbuka

Allah SWT sangat sayang kepada hamba-Nya yang bertaubat. Sebanyak dan sebesar apa pun dosa yang pernah dilakukan, Allah SWT akan menyambutnya dengan tangan terbuka. Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT lebih bergembira menerima taubat hamba-Nya daripada salah seorang kamu yang menemui kembali kenderaan dan bekalannya setelah keduanya hilang di padang pasir. (Al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, bersegeralah bertaubat dan jangan ditunda-tunda. Mulakanlah tahun baharu yang menjelang ini dengan istighfar, permintaan maaf dan keinsafan diri. Boleh jadi tahun ini merupakan tahun terakhir kita berada di atas muka bumi.

Lantaran itu, manfaat peluang yang masih ada untuk bertaubat kepada Allah dan jadilah manusia yang berjaya di dunia juga selamat di akhirat. Wallahu a'lam.

l UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh juga diajukan di www.facebook.com/UmarMuhammadNoor


Isnin, 7 Januari 2013

2013 Sudah Bermula…Himpunan 1,000 Jiwa 1 Hati

2013 Sudah Bermula…Himpunan 1,000 Jiwa 1 Hati

Seramai 2700 remaja telah menyertai program Himpunan 1,000 Jiwa 1 Hati di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang diadakan pada 31 Disember 2012 sehingga 1 Januari 2013.
 
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah (RS) itu bertujuan memberi alternatif kepada remaja belia menyambut tahun baru secara sihat dan penuh dengan input yang membangunkan rohani. Salah satu lagi program ‘ilaj bagi memberi pilihan kepada umat Islam.
 
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, program yang diadakan selama dua hari satu malam itu merupakan kali ketiga penganjurannya dengan membawakan tema 'Jiwa Kuat Generasi Hebat'.
 
"Program ini merupakan usaha bersepadu Jakim dan pelbagai sektor korporat dalam usaha membanteras gejala sosial yang semakin parah dalam kalangan remaja kita terutamanya pada malam sambutan ambang tahun baru.

Penganjuran program adalah sebahagian daripada pelan strategik Jakim 2009 hingga 2014 di bawah teras strategik kelima iaitu pemantapan kefahaman dan penghayatan Islam secara syumul bagi melahirkan umat yang terbaik.
 
Antara pengisian menarik yang dibawakan pada program tersebut adalah forum “Bual Bicara Cinta Anak Muda”  bertajuk 'Destinasi Cinta' yang membawakan barisan panel ternama seperti Wardina Safiyyah, Sham Kamikaze dan Ustaz Mohd. Nor Mamat dan persembahan pentas oleh Kumpulan Nasyid UNIC, In-team dan juga Edcoustic.
 
Turut diadakan, bacaan ikrar beramai-ramai pengakuan menjadi remaja dan belia yang bijak dan menjauhi zina, qiamullail di bawah pimpinan Imam Muda Najdi dan slot Sinaran Dhuha oleh Imam Muda Hassan.
 
 
 
Sebahagian 2700 Peserta Yang Hadir
 
 
Antara Tetamu VIP yang Menyaksikan Bual Bicara Anak Muda,Timbalan Ketua pengarah (Pembangunan Insan )
 
 
 
 
Bual Bicara dan Sedikit Hiburan Sebelum Menunggu Tahun Baru
 
 
 
 
 
Timbalan Ketua pengarah (Pembangunan Insan ) dan Ketua penolong Pengarah Kanan KSK
Turut Sama Membaca Ikrar Bersama-sama
 
 
 
Solat Dhuha dan Ceramah di Pagi Tahun Baru
 
 
 
Ketua Pengarah JAKIM menyatakan sokongan Kempen Bijak Jauhi Zina