Jumaat, 16 April 2010

MENCARI PELAPIS IMAM

Umum mengetahui kita ketandusan barisan pelapis untuk ke hadapan di masjid dan surau seluruh negara sebagai imam. Pemuda sekarang bila kata mahu ke depan memang amat susah dan kalau boleh cuba mengelak untuk menjadi imam dan akhirnya mereka melarikan diri atau susah datang ke masjid. JIka yang belajar agama walau dari timur tengah sekali pun mereka akan melarikan diri untuk menjadi imam. Siapa pun tidak mahu bekerja jika tawaran kerja itu adalah sebagai imam. Mereka lebih suka kerja pejabat. Itu kata kebanyakan orang dan stigma masyarakat kini. Rujukan:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0319&pub=utusan_malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm&arc=hive

Namun satu usaha telah dibuat walau bertitik tolak atau menjurus ke arah program realiti, pencarian imam muda membuka minda kita semua tentang persoalan pokok di atas. Agak menghairankan kerana penyertaan dari golongan muda untuk menjadi pelapis imam di tempat-tempat temuduga uji bakat ini begitu menggalakkan. Golongan muda keluar berduyun-duyun untuk menyertai pertandingan ini sama ada bergelar seorang hafiz atau tidak. Tidak perlu mempersoalkan sama ada ganjaran yang dimahukan atau kerana memang minat, senario seperti ini perlu di teruskan dan memecahkan benteng kepada permasalahan ini.

Jawapannya adalah anak muda mahukan satu bentuk pendedahan dan "peluang" yang baik perlu diberi kepada mereka. Selama ini peluang tersebut di sekat oleh sebahagian masyarakat yang berpegang kepada istilah "siapa dulu yang makan garam". Maka kebanyakan bakat anak muda diketepikan begitu sahaja. Imam yang lama begitu berjasa kepada masyarakat. Tanpa mereka maka siapalah masyarakat hari ini. Namun mereka perlu sedar bahawa mereka perlu menyediakan satu barisan pelapis untuk masyarakat hari ini pula bagi menyediakan generasi masa hadapan. Hakikat bahawa anak muda tidak diberi peluang yang sebaiknya ialah seperti kalau mahu jadi imam di kampung mereka akan ditanya terlebih dahulu seperti sudah kahwin ke belum? Sudah baligh atau tidak? dan lain-lain. Walau kriteria itu perlu juga di ambil kira namun persoalannya bagaimana kalau orang yang belum berkahwin itu bacaannya lebih baik daripada yang sudah 50 tahun kahwin?

Stigma masyarakat dipecahkan dengan program yang seperti ini. Hasilnya anak-anak muda memenuhi pusat uji  bakat dengan kehadiran yang tidak terduga. Moga-moga program ini memberi impak dan dorongan kepada generasi muda yang lain untuk bercita-cita satu hari nanti menjadi imam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan