Khamis, 29 April 2010

SEKITAR MAJLIS PERASMIAN IJTIMAK TAKMIR PULAU PINANG 2010

Ketibaan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang


Timbalan YDP diiringi oleh Penolong Pengarah Qaryah Tn Hj Norzli


Pengarah melintasi meja pendaftaran disambut oleh PPMD


Ucapan alu-aluan oleh Yang Berbahagia Tuan Hj Sazali b Hussein, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang

Ucapan perasmian oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang Yang Berhormat Ustaz Salleh b Man yang mewakili Yang Dipertua tidak dapat hadir kerana urusan di Kelantan


Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid dan Surau Tn Hj Ayob b Yaacob turut berada di hadapan


KPP Dakwah JHEAIPP Tn Hj Ghazali, Pegawai Tadbir Agama Daerah-daerah dan seluruh guru Takmir yang hadir. Majlis yang mendapat sambutan. Tahniah kepada seluruh urusetia.


Pengerusi dan orang kuat PMS Us Abd Rashid

TEKS UCAPAN YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG
YANG DISAMPAIKAN OLEH TIMBALAN YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM SEMPENA
IJTIMAK GURU TAKMIR PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2010 M / 1431 H




ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.



Tuan-tuan Guru dan hadirin yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah bersyukur kehadrat ALLAH S.W.T kerana mengizinkan untuk kita bertemu pada hari yang berbahagia ini dalam majlis Ijtima’ Guru-Guru Takmir Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Dikesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada urusetia dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mengadakan Majlis Ijtima’ pada hari ini serta sudi menjemput saya hadir dan seterusnya merasmikan majlis pada pagi yang mulia ini.

2. Saya juga berbesar hati mengalu-ngalukan kehadiran Tuan/Puan ke majlis Ijtima’ Guru-Guru Takmir Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 1431 H / 2010 M dengan tema Memantapkan Ukhuwah Memperkasakan Ummah.

Tuan-tuan Guru dan Puan-puan yang dimuliakan.

Saya difahamkan bahawa Majlis Ijtima’ Guru-Guru Takmir Peringkat Negeri Pulau Pinang pada hari ini melibatkan semua guru takmir dari lima (5) Daerah di bawah 6 Pejabat Agama Daerah dan juga pegawai masjid dijemput hadir dalam majlis ini dari seluruh Pulau Pinang. Saya percaya majlis ijtma’ yang diadakan ini akan dapat mengeratkan silaturrahim dan dapat saling bertukar-tukar pengalaman dan pandangan masing-masing bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sama iaitu menyebarluaskan ilmu ALLAH di muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah Huud ayat 61:

61. Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka shaleh. Shaleh berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. dia Telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya[726], Karena itu mohonlah ampunan-Nya, Kemudian bertobatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)."

[726] Maksudnya: manusia dijadikan penghuni dunia untuk menguasai dan memakmurkan dunia.

Selain itu Ijtima’ ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman tuan-tuan dan puan-puan tentang peranan dan tugas mengimarahkan masjid dan menjelaskan isu-isu semasa yang berkaitan dengan pembangunan, jiwa rakyat dan memberi kefahaman Islam yang sebenar dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dan tugas kepada masyarakat. Sekarang ini masyarakat sedang berhadapan dengan masalah jiwa yang serius. Pembunuhan berlaku dengan sewenang-wenangnya. Perzinaan dan pembuangan bayi semakin berleluasa maka tugas Guru Ta’mir adalah untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat dan bertindak sebagai doktor untuk mengubat penyakit jira ini.

3. Tugas mengimarahkan masjid sekarang ini semakin mencabar. Jemaah sekarang terdiri daripada mereka yang berpengetahuan tinggi dan meletakkan harapan yang tinggi kepada kita semua bagi menyampaikan ilmu ALLAH dengan sebaiknya. Dengan ini Ijtima’ yang kita adakan ini diharapkan dapat mencari jalan bagaimana untuk menarik minat para jemaah supaya program takmir masjid dan surau ini mendapat sambutan yang lebih baik dari sekarang. Dalam hal ini, tuan-tuan dan puan-puan diharap dapat melipatgandakan usaha dan mencari kaedah yang sesuai agar para jemaah tidak merasa bosan dan sentiasa berminat dan akan terus mengikuti program takmir ini.
Tuan-tuan guru dan hadirin yang dimuliakan

Kerajaan Negeri atau Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah banyak membawa perubahan dan pembangunan masjid dari segi fizikal masjid, malah dari segi membangunkan modal insan juga tidak dilupakan. Dengan melantik guru-guru takmir bagi mengimarahkan masjid dan surau dari seluruh negeri Pulau Pinang. Bagi Unit Takmir Negeri Pulau Pinang,ada dua sumber kewangan yang membolehkan program takmir berjalan dengan lancar. Peruntukan khas dari :

a. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

b. Pusat Urus Zakat (PUZ)
Bagi tahun 2009 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan sejumlah peruntukan sebanyak RM 639,180.00 bagi urusan membayar elaun guru-guru takmir negeri Pulau Pinang sebanyak RM 40.00 untuk sekali mengajar, dan peruntukan khas RM 25,000.00 bagi pelaksanaan kelas Tafaqquh Fiddin bagi setiap daerah.
Manakala Pusat Urus Zakat (PUZ) pula, sejumlah RM 174,890.00 telah diperuntukan bagi tahun 2009. Antara aktiviti yang menggunakan peruntukan dari PUZ ialah bagi membayar elaun tambahan mengajar guru takmir sebanyak RM 10.00 bagi satu kelas, jamuan bagi kelas tafaqquh fiddin, perjumpaan tahunan guru-guru takmir, pertambahan kelas mengajar dan elaun penal temuduga baru guru takmir.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.
4. Pada masa ini pelbagai isu ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mungkin boleh menyebabkan perpecahan dikalangan ahli masyarakat di mana terdapat fahaman khilafiah ditimbulkan semula dan terdapat isu perpecahan di beberapa masjid. Walaupun berbeza pendapat, namun untuk berpecah jangan sekali demi agama yang suci ini. Kita sedia maklum bahawa masjid adalah tempat yang mulia untuk beribadat namun telah disalah guna, bukan menghalang aktiviti yang dijalankan tapi mestilah bersesuaian dengan suasana masyarakat sekarang. Oleh itu sudah menjadi tugas kita bersama untuk membetulkan keadaan dan mengimarahkan masjid, seterusnya memelihara penyatuan masjid agar tidak berpecah belah.
Bertepatan dengan Firman ALLAH TAALA dalam surah Ali Imran ayat 103:

103. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati ALLAH.
5. Dengan tema MEMANTAPKAN UKHUWAH MEMPERKASAKAN UMMAH, marilah bersama-sama sebagai da’e, kita memperkasakan masyarakat kita khususnya generasi muda dalam segenap bidang. Ini kerana generasi muda adalah pelapis kepada generasi akan datang. Penyediaan pelapis adalah amat perlu untuk mendepani cabaran globalisasi yang semakin menyesakkan dada Amat Islam. Subjek-subjek seperti Tafsir, Hadith, Tasawuf, Feqah, Sirah dan Akhlak merupakan elemen terpenting dalam kita mendidik jiwa masyarakat khasnya golongan muda mudi untuk menjadi bangsa yang berilmu dan berakhlak seterusnya mendekati masjid.
Pihak Kerajaan Negeri dan JAKIM telah sedaya upaya menyediakan bahan terkini untuk memperkasakan guru-guru takmir agar selari dengan cabaran semasa umat Islam yang semakin hebat. Pada hari ini 2 buah buku iaitu Ayat Suruhan dan Ayat Larangan diberikan Kepada guru Takmir Pulau Pinang oleh pihak JAKIM atas maksud digunakan oleh tuan-tuan dan puan-puan mendepani permasalahan masyarakat berpandukan al-Quran.
6. Pada kesempatan ini saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat menganjurkan Ijtima’ ini secara langsung atau tidak dan berharap maklumat-maklumat terkini yang tuan-tuan dan puan-puan dapat pada hari ini dapat diwar-warkan kepada masyarakat akar umbi.

7. Dengan lafaz Bismillah saya merasmikan Ijtima’ Guru-Guru Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2010M/1431H.
Sekian Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan