Selasa, 13 April 2010

TAZKIRAH AL FADHIL USTAZ FAUZI PEGAWAI TADBIR AGAMA DAERAH BARAT DAYA DI SURAU AL EHSAN, LEBUHRAYA ROSE

TINGKATAN NAFSU

13 April 2010. Satu kuliah maghrib telah diadakan di surau al Ehsan, Rose Aveneu (Lebuhraya Rose) oleh yang berbahagia ustaz Fauzi yang membawa topik Tingkatan Nafsu manusia. Manusia ialah semulia makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT untuk memerintah bumi ini menurut acuan wahyu agar ianya tidak lari dari landasan yang betul. Manusia digelar "haiwanu natiq" atau haiwan yang boleh berkata-kata kerana tabiat makhluk ini seakan sama dengan haiwan. Namun yang membezakan manusia dengan haiwan adalah otak dan akal fikiran menjadi mahkota kemuliaan manusia.

Al-Fadhil Ustaz Fauzi Pegawai Tadbir Agama Daerah Barat Daya sedang menyampaikan tazkirah maghrib


Mata, telinga, lidah merupakan pancaindera atau hawas yang memerlukan akal untuk menafsir tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Oleh itu manusia apabila ada mata yang sempurna tetapi dia tidak dapat melihat akan kebenaran, ada telinga tetapi  sengaja dipekakkan dari mendengar seruan yang haq, ada lidah tetapi dibisukan dari memperkatakan perintah Allah maka taraf manusia akan turun kepada haiwan. Bahkan lebih teruk lagi dari haiwan kerana haiwan adalah makhluk yang taat kepada Allah SWT. Itu yang Allah sebutkan dalam surah al-An'am.

Manusia dibekalkan dengan Nafsu. Ulamak membahagikan nafsu itu kepada 3 iaitu:
1. Nafsu Ammaaratu Bissu'. Nafsu ini sentiasa membisikkan perkara-perkara kejahatan untuk dilakukan oleh manusia. Ditambah oleh iblis yang sentiasa menghiasi dan menampakkan pada mata manusia akan perbuatan jahat lagi buruk tetapi dipandang baik untuk dilakukan. Dalam surah Ibrahim Allah menyebut perkara ini. Nafsu ini amat menyukai manusia yang suka berbuat kejahatan dan sahabat sejati kepada mereka yang berbuat derhaka kepada Allah SWT. Masalah-masalah sosial yang berlaku adalah kerana manusia sering terdorong melakukan maksiat. Contoh perzinaan. Permulaannya duduk berdua-duaan, akhirnya jatuh ke lembah perzinaan dan akhirnya berlaku kes pembuangan anak dan ada yang sanggup membunuh jiwa yang tidak berdosa itu.  Cuba lihat gambar bayi yang tidak berdosa  ini : http://www.hmetro.com.my/myMetro/Gallery/FotoMenarik/index_html
Dalam kes ini nafsu itulah yang menunggang manusia. Ustaz Fauzi menyatakan bahawa sepanjang dia menjadi Pegawai Tadbir Agama Daerah Barat Daya ini, beliau banyak menjumpai pasangan yang mahu bernikah tetapi telah sedia mengandung. Tanda penyakit masyarakat sudah semakin membarah. Ditambah dengan nafsu yang sudah tidak mampu ditahan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CintaduitanlelakiAfrika/Article

2. Nafsu Lawwamah
Nafsu ini kata ustaz adalah nafsu yang sering rasa tidak berpuas hati atau serba tidak kena. Jika ada orang  berbuat maksiat, tidak solat dan sering melakukan kesalahan maka dia akan memarahi dan rasa tidak selesa dengan perbuatan mereka itu. Namun apabila orang itu berbuat kebaikan dan kebajikan pula dia kata buat apa buat perkara baik banyak-banyak sangat, buat apa buat perkara baik bukan gerenti masuk syurga dan lain-lain. Dalam hal ini nafsu itu kadang-kadang menunggang manusia dan kadang-kadang dalam satu masa yang lain manusia itu yang menunggang kuda ini. Satu kes bagaimana telah terjadi pengakuan seorang yang telah murtad dan telah berpaling ke agama lain menyatakan bahawa umat Islam masih lagi tercari-cari jalan kebenaran. Sebabnya umat Islam sering membaca surah al Fatihah " Ihdinas siratol mustaqim" maknanya umat Islam adalah sesat dan agama Islam adalah agama kesesatan. Hakikatnya dialah yang telah menyesatkan dirinya sendiri kerana berpaling dari agama kebenaran ini dan telah disesatkan oleh hawa nafsunya kepada kebatilan.

Jemaah Surau Al-Ehsan Kuarters Kerajaan Rose Aveneu sedang khusyuk mendengar tazkirah


3. Nafsu Mutmainnah
Nafsu ini adalah kategori nafsu yang baik menyuruh kepada ketaqwaan dan ketaatan Penciptanya iaitu Allah SWT. Nafsu ini adalah mendorong manusia agar redha kepada Allah SWT dan Allah pula redha kepada mereka. " Ya Ayyatuhan nafsul mutmainnah, irji'ie ila rabbiki radhiyatan mardiyyah"-surah al Fajr ayat 27-30. Sesiapa yang ada nafsu seperti ini dia akan mendapat 2 kebaikan "fadkhuli fi 'ibadi wad khuli jannati" iaitu masuk dalam golongan hamba-hamba Allah SWT yang dikasihiNya dan masuk ke dalam syurga Allah. Itulah balasan mereka yang dapat mengekang dan menunggang hawa nafsu lantas nafsu dapat dijinakkan untuk tunduk patuh kepada Allah SWT

Kerana itu Nafsu ibarat kuda liar yang amat sukar untuk dijinakkan. Cuba lihat satu pertandinga rodeo (satu aksi untuk menjinakkan kuda yang popular di Amerika Syarikat. lihatlah kepada kuda-kuda liar itu yang dikurung dalam kandang meronta-ronta serta mendengus dengan kuat minta untuk dilepaskan bebas. Apabila sahaja dibebaskan kuda tersebut terus menggila dan orang yang menjadi rodeo yang menunggang kuda tersebut akan terlambung-lambung hingga ada yang terjatuh seterusnya menjadi tunggangan kuda itu pula. Tidak kurang yang tercedera dan maut dalam aksi lasak dan ngeri ini.

Di antara yang hadir mendengar kuliah maghrib tersebut


Marilah kita mengekang nafsu jahat dari menunggang dan memperkudakan kita. Sebaliknya kitalah yang mengawal dan mengemudi nafsu ke arah kebaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan