Isnin, 21 Mac 2011

WAHAI AMERIKA ! KENAPA? KENAPA? KENAPA WAHAI AMERIKA?

Askar Bersekutu serang Libya


ASKAR pemberontak berlindung semasa kenderaan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi meletup selepas dibedil oleh tentera Bersekutu di sebatang jalan antara Benghazi dan Ajdabiyah, semalam. - REUTERS


TRIPOLI 20 Mac - Tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis membedil Libya dengan peluru berpandu Tomahawk dan serangan udara secara besar-besaran sehingga ke awal pagi ini, mencetuskan kemarahan Muammar Gaddafi yang mengisytiharkan seluruh Mediterranean sebagai 'medan pertempuran'.
Kapal-kapal perang Amerika dan kapal selam Britain melancarkan sekurang-kurangnya 110 peluru berpandu Tomahawk ke Libya mulai semalam, dalam campur tangan Barat yang terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003, kata tentera AS.
Televisyen kerajaan Libya berkata, 64 orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam serangan udara tentera bersekutu itu, termasuk gelombang serangan baru ke atas ibu negara, Tripoli awal hari ini.
Pegawai Pentagon, Laksamana William Gortney memberitahu wartawan, peluru berpandu itu 'mengenai lebih 20 sistem pertahanan udara bersepadu dan kemudahan pertahanan udara lain di darat'.
Serangan itu dilancarkan dua hari selepas resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab meluluskan tindakan ketenteraan bagi menghalang tentera Gaddafi daripada menghancurkan pemberontakan terhadap pemerintahan autokratik pemimpin Libya itu.
Wartawan AFP berkata, bom-bom digugurkan awal hari ini dekat ibu pejabat Gaddafi di Tripoli, Bab al-Aziziyah, dibalas oleh tentera Libya dengan bedilan antipesawat udara yang berlarutan selama 40 minit.
Televisyen kerajaan sebelum itu berkata, beratus-ratus orang berkumpul sebagai perisai manusia di Bab al-Aziziyah dan di lapangan terbang antarabangsa Tripoli.
Serangan tentera bersekutu itu bermula pada 1645 GMT semalam (12.45 malam tadi waktu Malaysia) dengan serangan jet pejuang Perancis ke atas sebuah kenderaan yang dikatakan dinaiki oleh tentera pro-Gaddafi.
Gaddafi dalam mesej ringkas yang disiarkan oleh televisyen kerajaan mengutuk serangan itu sebagai 'keganasan tentera salib yang kejam dan tidak wajar'.
Beliau berikrar akan melancarkan serangan balas ke atas kedudukan tentera dan awam di Mediterranean, rantau yang telah bertukar menjadi 'medan pertempuran sebenar'. - AFP

Sumber :Link kan ke.....
 

Gambar hiasan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan