Khamis, 17 Mac 2011

JANGAN NIKAH SELATAN THAILAND

Jangan nikah di selatan Thai

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pasangan kekasih diingatkan supaya tidak memilih jalan pintas dengan bernikah di selatan Thailand kerana tindakan itu menimbulkan banyak implikasi terhadap perkahwinan terutama dalam soal pendaftaran anak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihak yang akan menjadi mangsa daripada perkahwinan berkenaan ialah isteri dan anak-anak pasangan itu.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, antara implikasi yang terpaksa ditanggung pasangan tersebut adalah kesulitan dalam pendaftaran anak mereka terutama melibatkan persekolahan dan penerimaan bantuan daripada kerajaan.
Selain itu jelasnya, pasangan tersebut juga akan mengalami kesukaran jika berlaku penceraian terutama dalam soal pemberian nafkah serta penentuan harta sepencarian.
"Kami memahami jiwa pasangan-pasangan yang bercinta, namun perlu diingatkan bahawa selalunya yang menjadi mangsa daripada perkahwinan ini adalah isteri dan anak-anak," katanya pada majlis penyerahan wang zakat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam berkenaan trend perkahwinan campur membabitkan rakyat Malaysia yang meningkat di selatan Thailand sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 23 peratus atau 782 daripada 3,260 perkahwinan.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Datuk Mustafa Abd. Rahman.
Menurut Jamil Khir, pihaknya sentiasa memantau serta memberi khidmat kaunseling kepada mereka yang terlibat agar gejala tersebut tidak menular.
"Kahwin lari bukan jalan penyelesaian yang terbaik, tentu ada jalan lain yang boleh difikirkan untuk berumahtangga," katanya lagi.

RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan