Sah akad nikah di mana saja - Jamil Khir
21/03/2011 1:45pm
ALOR SETAR 21 Mac — Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah tidak salah kerana perkara itu sah dilakukan di mana-mana sahaja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata tindakan itu sebaliknya memudahkan tugas imam yang terpaksa menjalankan upacara akad nikah lebih daripada sekali pada hari yang sama.
"Kalau imam terpaksa menikahkan banyak pasangan pada hari yang sama, lebih mudah ia diadakan setempat seperti di masjid.
"Kita lihat secara keseluruhan, ia dapat menjimatkan masa selain menjadi salah satu pendekatan dakwah sebab bila ke masjid kena tutup aurat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh semalam yang mengatakan menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah.
Ahmad dilaporkan berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
— Bernama
SUMBER RUJUKAN
Gambar hiasan
Dipetik dari: http://warisansemasa.blogspot.com/
Akad Nikah Dalam Masjid : Antara Jumhur dan Imam Syawkani
1.Pandangan Mazhab Syafie
Sekurang-kurangnya terdapat 3 karya ulama Mazhab Syafie yang memperkatakan tentang isu ini.
Pertama : Fathul Ma'in karangan Imam Zainuddin al-Malibari;
Kedua : I'anah al-Tolibin karangan Sayyid al-Bakri al-Dumyati; dan
Ketiga : Tuhfatul Muhtaj karangan Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami.
Ketiga-tiga karya ini bersepakat menyatakan, melakukan akad nikah dalam masjid adalah SUNAT.
Pandangan Imam Syawkani
Imam Syawkani mempunyai pendapat yang berbeza dengan jumhur ulama. Bagi beliau, akad nikah TIDAK HARUS dilakukan dalam masjid.
Ini kerana, masjid hanya dibina bagi menjadi tempat mengingati Allah dan mendirikan solat.
Justeru, perkara-perkara lain selain mengingati Allah dan mendirikan solat, tidak boleh dilakukan di dalam masjid, kecuali dengan adanya dalil khusus yang mengharuskannya.
Dengan sebab itu, makan, minum, tidur dan membaca syair dalam masjid diharuskan kerana ada dalil khusus yang mengharuskannya.
Beliau mencatatkan dalam kitabnya al-Sail al-Jarrar (jilid 2, ms.247-248)
Gambar hiasan
Kesimpulan
Pembentangan di atas dapat disimpulkan seperti berikut :
1. Mazhab Syafie dan 3 lagi Mazhab iaitu Hanafi, Maliki dan Hambali bersepakat mengatakan SUNAT melakukan akad nikah di masjid.
Justeru, kenyataan yang tepat yang perlu dinyatakan oleh pihak berkuasa agama berhubung isu ini ialah, "melakukan akad nikah dalam masjid adalah sunat menurut jumhur ulama dari pelbagai mazhab, termasuk mazhab rasmi negara, mazhab Syafie".
Jelasnya, keharusan melakukan akad nikah dalam masjid bukan semata-mata bersandarkan kepada isu pentadbiran, iaitu memudahkan urusan perkahwinan dan menjimatkan masa.
2. Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie dan jumhur ulama, akad nikah boleh dilakukan dalam masjid secara konsisten.
Ia juga boleh dilakukan dalam masjid dengan iktikad (kepercayaan) bahawa melakukannya dalam masjid ada kelebihannya, iaitu sunat.
Berbeza dengan pandangan Majlis Tetap Fatwa Arab Saudi yang mengatakan melakukan akad nikah dalam masjid secara konsisten, atau beranggapan ia ada kelebihan, adalah bid'ah.(Rujuk : http://www.islam-qa.com/ar/ref/132420)
3. Individu yang menegah dilakukan akad nikah dalam masjid tidak wajar dilebelkan sebagai jahil atau cuba menyesatkan masyarakat.
Ini kerana, di kalangan ulama ada yang berpendapat sedemikian, iaitu Imam Syawkani seperti yang telah dinyatakan.
4. Melakukan akad nikah dalam masjid ditegah kerana ia menyerupai amalan orang Kristian yang melakukannya dalam gereja, tidak berbangkit. Sehinggakan Imam Syawkani sendiri pun tidak menjadikan 'menyerupai orang Krisitan', sebagai sebab ditegah melakukan akad nikah dalam masjid.
Wallahu a'lam.
Nota : Semua rujukan yang dinyatakan adalah berpandukan Maktabah Syamilah.
Kenapa mahu disempitkan fungsi masjid itu? Di manakah kata-kata "memasjidkan masyarakat dan memasyarakatkan masjid"? - gambar hiasan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan