Selasa, 8 Mac 2011

JANGAN JADI PENDAKWAH ABI LAHAB

KP JAKIM TEGUR PENDAKWAH IMEJ PEGAWAI


Dalam satu acara pengislaman

Kota Kinabalu 7 Mac- Pendakwah yang tebal dengan imej "kepegawaian"-selesa bertali leher, berkot dan duduk di kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin, ditegur supaya segera menukar pendekatan itu dengan lebih giat turun padang mencari "kerja".

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menegaskan, pendakwah, termasuk pegawai JAKIM perlu pada setiap masa bersikap terbuka bagi mendengar dan menerima pendangan serta teguran pihak lain.

Menurutnya, mereka sepatutnya mengelak daripada bersikap 'hanya kita sahaja yang hebat' sehingga langsung tidak boleh menerima pandangan pihak lain yang seringkali telah terbukti secara penyelidikan dan saintifik kebenarannya.

"Enggan mendengar, tidak mahu menimbang pendapat orang lain adalah tabiat buruk. Ia juga merupakan sifat yang dicela oleh Allah sehingga disebut dalam Al Quran mengenai sikap dan perangai buruk Abi Lahab yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain terutama Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda.

"Untuk menjadi seorang pendakwah yang hebat, individu terbabit perlu juga menjadi seorang pendengar yang baik, menerima teguran dengan terbuka," katanya dalam ucaptama sempena majlis perasmian Pemukiman Hala Tuju JAKIM Sabah di sini hari ini.

Wan Mohamad turut menggariskan lima etika yang perlu dipatuhi oleh setiap pegawai JAKIM iaitu :
-mempunyai hala tuju atau objektif
-melakukan penyelidikan
-menyesuaikan diri dengan tuntutan persekitaran
-membina jiwa pejuang  dan
-bersepakat dengan pelbagai pihak secara bijaksana bagi memantapkan kerja-kerja dakwah.

Dipetik daripada Akhbar Utusan Malaysia halaman 24

Tiada ulasan:

Catat Ulasan