Selasa, 24 Ogos 2010

TIDAK WAJAR DOAKAN BUKAN ISLAM DALAM KHUTBAH

Gambar hiasan

Kuala Lumpur 23 Ogos- Demi kemaslahatan umat Islam, amalan mendoakan bukan Islam dalam Khutbah Jumaat tidak wajar dilakukan kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dan kegelisahan di kalangan rakyat.
    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, memang pada asasnya orang Islam diharuskan mendoakan kafir zimmi  tetapi mesti dilakukan pada masa dan tempat yang bersesuaian  supaya tidak mengguris sensitiviti.
    "Jakim ingin merujuk pandangan ulama seperti Imam Nawawi yang menyebut di dalam kitab al-Azkar, harus bagi orang Islam mendoakan kepada kafir zimmi diberikan hidayah petunjuk, kesihatan badan dan seumpamanya.
   "Bagaimanapun, berdasarkan maslahah umat Islam, Jakim berpandangan amalan bacaan doa tersebut mestilah dibuat pada tempat dan waktu bersesuaian supaya tidak menimbulkan sensitiviti di kalangan umat Islam", katanya dalam kenyataan hari ini.
   Jakim merujuk isu teks khutbah Jumaat di beberapa buah masjid di Pulau Pinang yang tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya digantikan dengan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.
   Tambah Wan Mohamad, khatib bertugas dinasihatkan supaya membaca teks seperti yang disediakan oleh panel teks khutbah yang telah diperakukan oleh pihak berkuasa agama negeri.


Utusan Malaysia 24 Ogos 2010 muka surat 9

Tiada ulasan:

Catat Ulasan