Selasa, 24 Ogos 2010

Majlis Fatwa Kebangsaan patut tampil jelaskan isu doa

Gambar hiasan



BERDOA dalam khutbah adalah antara rukun bagi khutbah Jumaat. Bagaimanapun doa yang menjadi rukun adalah doa untuk kesejahteraan kaum Muslim dan Muslimat, terutama kepada yang menunaikan fardu Jumaat. Apa yang berlaku di Pulau Pinang dan menjadi kontroversi sekarang ialah; adakah doa dibaca di dalam atau di luar rukun.



Soal salah faham dan tidak faham makna doa tidak timbul kerana doa dibaca dalam bahasa Melayu yang diperakui sendiri oleh khatibnya, Zakaria Ahmad yang mendakwa dengan tujuan supaya Allah memberi hidayah agar Ketua Menteri memeluk Islam dan ia telah pun dilakukan sejak dua tahun lepas di beberapa masjid di Pulau Pinang.



Jika merujuk kepada sirah, Rasulullah SAW sendiri pernah berdoa supaya salah seorang daripada 'hamba' kafir Quraisy yakni antara Umar Ibnu Al-Khattab dengan Abu Jahal supaya memeluk Islam bagi memudahkan tugas-tugas kerasulan baginda. Yang masuk Islam adalah Umar manakala Abu Jahal mati dalam kafir.



Tetapi baginda bukan berdoa dalam khutbah Jumaat. Lagi pun ketika baginda berdoa itu belum ada fardu Jumaat. Mula-mula fardu Jumaat dilakukan oleh baginda ialah pada 12 Rabiulawal 1 Hijrah, bersamaan dengan 24 September tahun 622 Masehi, yakni kira-kira 1,413 yang lampau, ketika baginda masuk ke Madinah ekoran penghijrahan baginda dari Mekah.



Persoalan yang menjadi pertikaian dan perlu dijelaskan dengan hujah hukum sekarang ialah sama ada boleh atau tidak boleh, haram atau halal mendoakan kesejahteraan kepada orang bukan Islam dalam khutbah Jumaat. Ini yang para ilmuwan Islam perlu buat satu keputusan berteraskan hukum bagi panduan awam, bertujuan mengelak daripada berlaku perpecahan sesama Islam kerananya.



Kes yang berlaku di Pulau Pinang pula adalah selepas ribuan tahun tempoh masa Rasulullah SAW berdoa supaya sama ada Umar atau pun Abu Jahal yang masuk Islam serta selepas 1,402 tahun kewafatan baginda, kematian para sahabat dan ratusan tahun selepas para ulama pengasas mazhab menyahut seruan Illahi. Pun begitu baginda ada tinggalkan al-Quran dan Hadis yang mana jika berpegang kepada kedua-duanya tidak akan sesat.



Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan perbuatan mendoakan rahmat kepada orang kafir adalah haram. Bagaimanapun beliau tidak jelaskan sumber hukum yang dipetik. Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abibidin kata boleh. Tentunya umat Islam yang pro Pas akan tolak pandangan Mufti Perak manakala umat Islam yang pro UMNO pula pasti akan tolak pandangan Dr. Mohd. Asri.



Pemuda UMNO buat laporan polis mengenainya manakala Pemuda Pas pula mempertahankan tindakan khatib. Yang keliru dan haru-birunya orang awam.



Kes tidak akan selesai jika ia asyik berbalas hujah antara dua pihak yang tidak sehaluan dalam semua perkara. Ini masalah hukum, ia tidak boleh diselesaikan melalui saluran politik atau undang-undang sivil.



Saya lebih bersetuju dengan Mufti Kedah Sheikh Muhamad Baderuddin Ahmad yang berpendirian sebaik-baiknya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat kenyataan rasmi untuk mengelak isu berkenaan dipolitikkan dengan menampilkan hujah berteraskan hukum sama ada boleh atau tidak boleh, haram atau halal.



Memang bila berkaitan dengan soal hukum, maka Majlis Fatwa Kebangsaan yang patut segera tampil menunaikan tuntutan bila dua puak sesama Muslim bertelagah, damaikanlah kedua-duanya menggunakan orang tengah. Kalau Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mampu, maka ia kena diusahakan untuk mendapatkan fatwa daripada tokoh atau badan yang lebih berkelayakkan, termasuk dari luar negara.



Soal yang membabitkan hukum-hakam bukannya boleh dipandang remeh-temeh dan dibiarkan agar ia selesai dengan sendiri. Isi al-Quran dan Hadis perlu digali untuk menemukan hukum. Ia perlu diselesaikan segera supaya orang awam tidak berada dalam keadaan keliru dan tidak timbul sikap berpuak-puak kerananya yang akhirnya akan merugikan ummah.



MUHAMMAD HAFIZUDDIN RAMLI Kota Bharu, Kelantan.

Utusan Online 24 Ogos 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan