Guru Takmir agen penggerak Masyarakat
Mohd Sabri Said, | 30 Mei 2012 |
PULAU PINANG: Guru Takmir Pulau Pinang bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat tetapi juga perlu menjadi agen pengerak menerangkan dasar Kerajaan Negeri supaya masyarakat di kampung mendapat info sebenar kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Datuk Saleh Man.
Katanya, peranan besar itu hendaklah disebarkan agar apa yang Kerajaan Negeri laksanakan terutamanya membabitkan Maipp, Pusat Urus Zakat (PUZ) ataupun Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang (JHEAPP) diketahui umum.
"Guru Takmir besar perananya di dalam masyarakat. Selain menyampaikan seruan agama mereka juga kena aktif sampaikan dasar Kerajaan Negeri yang selama ini disembunyikan oleh media, " tegasnya ketika merasmikan program Ijtimak Guru Takmir Peringkat Negeri 2012 di Hotel Naza Talyya, Tanjung To Kong semalam.
Baginya yang juga bekas Guru Takmir menyedari, tugasan mengajar di masjid dan surau di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sukar untuk sampaikan perkara yang benar kerana boleh menimbulkan suasana yang sensitif.
Berlainan dengan era sekarang di mana Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat memberikan sepenuh galakan kepada setiap guru takmir yang cergas menerangkan apa yang telah dan sedang dilaksanakan memandangkan banyak peruntukan telah dikeluarkan untuk pembangunan Umat Islam.
"Guru adalah insan mulia untuk menerangi kehidupan di darat dan laut. Susungguhnya mereka yang berpengetahuan bagaikan bintang di langit jika hilang maka hilanglah arah tujuan, " terangnya.
Kerajaan Negeri menaruh harapan terlalu tinggi kepada Guru Takmir untuk menarik seramai mungkin anak muda ke surau atau masjid dengan memperkenalkan kaedah baru.
Masyarakat lebih peka dan faham apa yang dikeluarkan oleh para ustaz daripada bukan kalangan ilmuan Islam.
Kerajaan telah belanjakan RM20 juta tahun 2009, 2010 RM24 juta, tahun 2011 RM33.3 juta dan tahun 2012 sebanyak RM64 juta.
Beliau juga berterima kasih pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan PUZ memberikan peruntukan khas RM1 juta kepada guru Takmir dan Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Negeri Pulau Pinang yang turut menyumbang tenaga dan buah fikiran demi pembangunan insan.
Guru Takmir juga akan diberikan bonus pada bulan Ramadhan nanti sebagai wang raya hasil usaha mereka membantu perkembangan Islam di Pulau Pinang.
sumber.............
Tiada ulasan:
Catat Ulasan