Khutbah Memadai 10 hingga 15 minit |
|
|
|
Written by Administrator
|
Thursday, 11 February 2010 05:40 |
Soalan :
Sejak akhir-akhir ini, kedapatan
imam-imam dan khatib-khatib, apatah lagi imam/khatib jemputan pada hari
Jumaat berkhutbah agak panjang, kadang-kadang sampai 40 minit ditambah
pula dengan bacaan ayat-ayat yang panjang dalam sembahyang. Ramai
makmum merungut dan tidak berpuas hati sehingga pernah berlaku ada
diantara jemaah yang balik tanpa sempat menunaikan solat Jumaat. Soalan
saya, apakah perbuatan imam atau khatib seperti itu menepati ajaran
Islam?
Jawapan :
Beribadat dengan melakukan
pelbagai amal sebagai bekalan untuk akhirat seperti sembahyang, puasa,
membaca al-Quran, berzikir dan pelbagai lagi, adalah sangat dituntut.
Malah ia adalah tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di muka bumi
ini seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak aku jadikan jin dan
manusia melainkan supaya beribadat kepadaku.”-(Az-Zariyat:56).
Bagaimanapun, sebarang ‘amal ‘ibadat yang hendak dilakukan mestilah
mengikut syarat rukun, peraturan dan adab-adabnya.
Di antara
peraturan dan adabnya, mestilah ibadat yang dilakukan itu tidak menyusah
dan menganggu orang lain. Sebagai contoh, orang yang ingin beribadat
dengan membaca al-Quran, dia boleh melakukannya bila-bila masa dan
sebanyak mana yang ia mahu, selama ia tidak mengganggu orang lain dengan
suara bacaannya itu. Sebab itulah dia dilarang membacanya dengan suara
yang kuat dan nyaring sehingga perbuatan itu boleh mengganggu orang
yang sedang tidur. Begitu juga dalam sembahyang berjemaah, seseorang
makmum dilarang membaca Fatihah atau ayat lain dalam sembahyang dengan
suara yang kuat kerana perbuatan demikian boleh mengganggu dan
mengelirukan makmum lain.
Berbalik kepada persoalan yang
ditimbulkan, di kalangan ‘ulama, berdasarkan kepada hadis sahih, sudah
banyak memperkatakan mengenai syarat-syarat dan adab serta etika seorang
imam dan khatib yang seharusnya diikuti supaya dia menjadi seorang imam
atau khatib yang dihormati dan disegani.
Antara syarat seorang
imam dan khatib itu mestilah mempunyai pengetahuan agama yang mencukupi,
khususnya dalam bab sembahyang dan mereka juga mesti fasih membaca
al-Quran dengan makhraj dan tajwidnya yang betul. Manakala adab dan
etikanya pula, seorang imam atau khatib itu mestilah peka dan prihatin
dengan keadaan makmum di belakangnya yang sudah pasti terdiri daripada
manusia yang mempunyai pelbagai ragam dan kedudukan serta peringkat
umur dan pengetahuan agamanya. Di samping itu, dia juga harus prihatin
dan mengambil kira keadaan masa, tempat dan suasana. Ammar bin Yasir
berkata: “Aku mendengar Rasullah bersabda: “Sesungguhnya panjang
sembahyang seseorang (imam) dan pendek khutbahnya adalah tanda
kefahamannya (terhadap ajaran Islam), maka panjangkan sembahyang dan
pendekkan khutbah”.
Maksud panjang sembahyang dalam hadis ini
ialah sembahyang lebih panjang daripada khutbah, bukan bermaksud panjang
sembahyang sehingga menyusahkan makmum. Ada riyawat lain menyebutkan
bahawa khutbah Rasullah dan sembahyangnya adalah sederhana. Anas bin
Malik pula berkata: “Aku tidak pernah melihat orang sembahyang lebih
ringkas dan lebih sempurna selain daripada Rasulullah”. Dan dalam satu
peristiwa dimana Rasullah pernah menegur sahabat agungnya, Muaz bin
Jabal yang pernah menjadi imam sembahyang di sebuah perkampungan dan
membaca surah yang panjang. Tindakannya itu menyebabkan seorang
daripada makmum telah mufaraqah dan terus sembahyang bersendirian kerana
beliau terlalu banyak kerja yang hendak diuruskan. Perbuatan makmum ini
dimarahi oleh Muaz lalu memberitahu Rasulullah. Rasulullah pun
bersabda kepada Muaz, maksudnya: “Apakah engkau hendak membuat fitnah”
sambil diulanginya tiga kali dan terus bersabda lagi: “Kalau engkau
membaca surah pendek-pendek, tentulah semua orang boleh mengikuti engkau
kerana di antara kalangan makmum ada yang sakit, uzur, tua, kanak-kanak
dan ada yang mempunyai banyak urusan”. Rasulullah sendiri pernah
mempercepatkan sembahyang tatkala mengimamkan satu sembahyang
semata-mata kerana terdengar tangisan seorang kanak-kanak, kerana takut
ibunya tidak khusyuk.
Khutbah juga tidak seharusnya
dipanjangkan, cukuplah di antara 10 dan 15 minit sahaja. Khutbah yang
pendek, padat ditambah dengan penggunaan bahasa yang baik adalah lebih
berkesan daripada yang panjang berjela-jela sehingga menjemukan dan
membosankan para jemaah. Apatah lagi di setengah masjid di Wilayah
Persekutuan ini ketika sembahyang Jumaat terdapat ramai para jemaah yang
terpaksa sembahyang di luar masjid sebab ruang dalam masjid telah
penuh, dimana mereka terdedah dengan panas terik dan kadang-kadang
hujan pula.
Kesimpulannya bahawa imam atau khatib yang sering
sahaja membaca surah-surah dan berkhutbah panjang serta tidak
mengambilkira kesesuaian waktunya sehingga menyusahkan para jemaah
adalah tidak selaras dengan sunnah Rasulullah S.A.W. , Wallahu A’alam.
|
|
|
|
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan