Peserta Kembara Bumi Suci ziarah Masjid Al-Aqsa
Mereka memasuki wilayah yang ditakluki rejim Zionis ini melalui Amman, Jordan selepas tiba dengan penerbangan dari Istanbul setelah ekspedisi KBS2 melalui jalan darat terpaksa ditamatkan ekoran krisis domestik yang serius di Syria sekarang.
Ketua Ekspedisi KBS2, Azman Baharuddin berkata, program berkenaan merupakan antara agenda utama ekspedisi tersebut dirancang dan dilaksanakan sejak dilepaskan pada 21 April lalu.
"Alhamdulillah, kami dapat masuk ke Baitulmaqdis yang merupakan satu objektif utama dalam ibadah kami untuk melawat ke tiga masjid utama iaitu Al-Aqsa, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Haram dalam satu umrah insya-Allah akan termakbul.
"Kami juga bersyukur keseluruhan ekspedisi jalan darat dapat disempurnakan tanpa sebarang kemalangan serius," katanya menerusi e-mel kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kembara kali kedua ini dijadualkan mengharungi perjalanan darat selama 63 hari dengan jarak sejauh 20,596 kilometer dan melalui 11 negara sebelum tiba ke destinasi di Tanah Suci Mekah.
Ekspedisi itu menempuh laluan penuh cabaran termasuk off-road melibatkan negara seperti Thailand, Laos, China, Rusia, Kazakhstan, Azerbaijan, Georgia, Turki dan Jordan sebelum sampai ke Arab Saudi.
Sebelum itu, kumpulan KBS2 yang tiba di Amman dari Istanbul dibawa melawat Laut Mati dan makam Nabi Yusak A.S dan Nabi Shuaib A.S.
Selain itu, mereka juga berpeluang menziarahi gua terkenal di mana tujuh lelaki yang mahu mempertahankan akidah mereka tidur selama 300 tahun sebelum ke kota Petra serta makam para sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rowaha yang merupakan pemegang panji-panji semasa Perang Mu'tah.
Dalam pada itu, Azman berkata, kekecewaan para peserta untuk meneruskan pengembaraan ke Syria terubat apabila dapat bersolat di Masjid Al-Aqsa dan masjid-masjid lain.
"Ada peserta yang minta maaf atas kata-katanya sebelum ini. Ini kesedaran dan keikhlasan yang datang dari hati mereka," ujarnya.
Selepas ini, mereka akan fokus kepada ibadah umrah apabila tiba di Madinah dan Mekah.
Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi bagi ekspedisi ini dan laporan harian boleh diperoleh dalam Utusan Online di www.utusan.com.my
sumber....................
Tiada ulasan:
Catat Ulasan