Perutusan Ketua Pengarah Jakim sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei 2012
Tanggal 1 Mei 2012, terpahatlah hari bersejarah bagi mengiktiraf usaha
gigih yang telah disumbangkan oleh para pekerja dalam menggerakkan
gagasan 1 Malaysia ke arah menuju cita-cita Wawasan 2020.
Bersempena sambutan ini, saya ingin menyeru diri saya dan seluruh
warga Jakim untuk merenung sejenak mafhum firman Allah SWT dalam surah
al-Ahzab ayat 72:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi
serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak
dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya
manusia itu amat zalim dan jahil.”
Berpandukan kepada mafhum ayat di atas, Allah SWT telah memberikan
ingatan penting kepada kita semua untuk menggalas amanah yang telah
diberi ini dengan sebaik-baiknya. Allah SWT memerintahkan kita semua
supaya tidak melakukan sebarang kemungkaran dalam organisasi. Ayat ini
amatlah menginsafkan kita semua kerana sudah tentulah segala tindakan
kita semasa memegang amanah di dunia ini ada hubungkaitnya dengan
kehidupan di hari akhirat. Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah
SWT agar kita sentiasa diberikan hidayah dan pedoman oleh-Nya dalam
memikul amanah berat ini.
Saya secara peribadi berasa amat gembira dengan komitmen padu yang
telah dizahirkan oleh seluruh warga Jakim dalam memacu agenda “Islam
Penggerak Transformasi” yang telah diilhamkan oleh YB. Menteri di
Jabatan Perdana Menteri. Dalam tempoh setahun saya memimpin Jakim, telah
banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh seluruh warga Jakim untuk
membangunkan jabatan ke arah yang lebih cemerlang. Seperti yang saya
nyatakan dalam banyak siri pertemuan sebelum ini, Jakim adalah milik
kita bersama. Justeru, marilah bersama kita bersatu hati, mengikat janji
untuk mewarnai perjalanan Jakim dengan pelbagai babak dan episod
kejayaan demi kelansungan agama, bangsa dan negara.
Sesungguhnya begitu, cabaran yang berada di hari muka adalah sangat
berat. Jika kita semua berpegang erat kepada wasiat nenek moyang kita
iaitu “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, walau sebesar mana
cabaran, walau setinggi manapun dugaan, saya percaya semuanya dapat
ditangani oleh Jakim dengan penuh hikmah dan bijaksana sekiranya kita
berada dalam semangat ukhuwwah Islam.
Dalam pada masa yang sama, seluruh warga Jakim adalah diseru supaya
memperkasakan keupayaan diri, mempertingkatkan kompetensi bagi
memastikan urustadbir Jakim berada di kelas yang tersendiri. Para
pegawai dan kakitangan Jakim adalah aset penting jabatan. Jatuh
bangunnya organisasi adalah bergantung kepada keupayaan modal insan
Jakim.
Oleh yang demikian, para pegawai dan kakitangan Jakim adalah
disarankan sentiasa memperlengkapkan diri dengan ilmu serta maklumat
semasa selain pengukuhan penguasaan bahasa dan mempunyai nilai towering personality.
Elemen seperti ini adalah sangat penting dalam usaha memastikan Jakim
sentiasa berada dalam arus perdana memberikan perkhidmatan yang terbaik
kepada negara. Sememangnya program-program latihan dalam jabatan dan
perkhidmatan awam mampu memperkukuhkan kualiti serta jati diri warga
Jakim. Hanya bergantung kepada kemahuan diri kita sahaja.
Usia Jakim makin bertambah. Tentunya sudah banyak pengalaman yang
telah kita lalui. Memang benar, pengalaman ini telah banyak mematangkan
organisasi Jakim. Seiring dengan itu, sistem penyampaian serta
perkhidmatan Jakim juga mestilah bertambah baik. Servis Jakim kepada
rakyat mestilah diberikan dengan penuh teliti, pantas, berkualiti dan
berintegriti.
Akhir kata, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan
kepada warga Jakim yang telah memberikan sumbangan kepada jabatan. Saya
mendoakan segala usaha murni tersebut akan dinilai sebagai amal ibadah
disisi Maha Pencipta.
Sekian, terima kasih. Selamat Hari Pekerja.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH”
DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
1 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan