Adab
Ibadah
di Bulan Sya‘ban, Menyambut Kedatangan Ramadhan
Oleh: Haslinda Lukman
Sekarang kita berada di bulan Sya‘ban .
1 Sya’ban jatuh pada 25 Ogos 2006 dan ia berlangsung hingga 23September
2006. Bulan Sya‘ban mempunyai keistimewaan tersendiri
di dalam Islam, samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang juga mempunyai
kelebihan, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh
mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat
keredaan Allah SWT.
Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang
paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW akan lebih banyak berpuasa di
bulan ini. Baginda paling banyak berpuasa sunat pada bulan Sya‘ban
Perkara yang dilakukan oleh Rasulullah
SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan di bulan ini ,
ia juga merupakan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut
kedatangan bulan Ramadhan
Amalan-Amalan
Sunat Pada Bulan Sya‘ban
Keistimewaan bulan ini ialah seluruh
amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah
sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Antara amalan
yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:
1. Memperbanyak puasa sunat.
Nabi SAW lebih gemar berpuasa sunat
dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
2. Bertaubat dan Beristiqhfar
Bertaubat dan beristigfar boleh
mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan
terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah
taubat nasuha.
Taubat nasuha akan berjaya dilakukan
apabila kita menepati syarat-syaratnya, contohnya jika dosa itu antara manusia
dengan Tuhan:
1. Dia hendaklah meninggalkan dosa
atau maksiat itu.
2. Dia hendaklah benar-benar
menyesali dan merasa sedih dengan perbuatan maksiatnya itu.
3. Dia berjanji dan berazam untuk
tidak akan mengulangi dan melakukannya.
Manakala jika dosa itu berkaitan dengan
hak orang lain, hendaklah memohon maaf
daripada orang berkenaan.
3. Memperbanyak zikir dan berdoa
Zikir ialah ucapan yang dilakukan
dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang
membesar dan mengagungkan Allah.
Ini bersesuaian dengan janji Allah SWT
bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah.
Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.
Antara keistimewaan amalan zikir itu
pula ialah:
i. Zikir boleh
dilaksanakan bila-bila masa. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, berdiri dan baring.
ii.
Boleh
dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas sama ada hadas kecil mahu pun
hadas besar.
Begitu juga dengan ibadat doa. Doa
boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat
atau perlindungan daripada Allah SWT dengan cara merendahkan diri kepada-Nya.
Selain daripada itu banyak lagi amal
kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya‘ban ini sebagai persiapan
menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan
besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak
bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di
bulan Sya‘ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita.
Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di
bulan Sya‘ban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda yang
bermaksud:
“Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di
antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah
bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka
aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketikaaku berpuasa”.(HR
an-Nasaie)
Malam Nisfu Sya‘ban
Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah
disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua
makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya
kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.”
(H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)
Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara
malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam
kitabnya al-Umm telah berkata: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan:
sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam
Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan
malam nisfu Sya‘ban.”
Kita boleh Menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban
dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa,
berzikir dan membaca al-Quran..
Penutup
Kesimpulannya amalan yang berterusan
ini akan membuatkan kita lebih bersedia
untuk beramal serta meyambut kedatangan Ramadhan dengan hati yang bersih dan
jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.
Sabda Nabi SAW maksudnya: “ Lakukanlah
amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah
kamu semua jemu. Sembahyang yang paling disukai oleh Nabi SAW iaitu yang
dilakukan secara berterusan walaupun sedikit apabila baginda sembahyang. Apa
jua sembahyang ia akan lakukan secara berterusan” (HR Bukhari)
sumber....................
Tiada ulasan:
Catat Ulasan