Rabu, 4 Julai 2012

SEJARAH PENGIMARAHAN MASJID


SEJARAH PENGIMARAHAN MASJID

Oleh : Haji Muhammad Imran bin Ibrahim

Allah SWT telah berfirman dalam surah at-Taubah, ayat 20 yang bermaksud: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Kalimah masjid telah diulang sebanyak 28 kali di dalam al-Quran. Dari sudut bahasa masjid di ambil dari kata akar : sajada-sujud yang membawa maksud patuh, taat serta tunduk dengan penuh hormat dan takzim. Meletakkan dahi, kedua tangan, kaki dan lutut ke bumi yang kemudiannya dinamakan sujud oleh syariat merupakan menifestasi kepada perbuatan secara lahiriah yang paling nyata dari pengertian di atas. Jesteru bangunan yang dibina untuk melaksanakan solat dinamakan masjid yang beerti “tempat bersujud”.
Dalam pengertian sehari-hari, masjid merupakan bangunan tempat solat kaum Muslimin. Tetapi oleh kerana kata akarnya mengandungi makna tunduk dan patuh, hakikat sebenar masjid adalah merupakan tempat melakukan segala aktiviti yang menjurus kepada kepatuhan dan mengandungi kepatuhan kepada Allah SWT semata-mata.
Jesteru Allah SWT berfirman dalam surah al-Jin ayat 18 bermaksud: Sesungguhnya Masjid-masjid itu adalah milik Allah, oleh sebab itu janganlah menyembah selain Allah sesuatu jua pun. Dan Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Telah dijadikan untukku ( dan untuk umatku) bumi sebagai masjid dan tempat penyucian diri.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim melalui Jabir bin Abdullah).


Masjid Nabawi di Madinah merupakan pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan juga pusat peningkatan keimanan kepada Allah SWT.

Apabila kita menyingkap sejarah perkembangan kegemilangan umat Islam khususnya di zaman baginda Rasulullah s.a.w. , masjid merupakan pusat ibadat, muamalat, penyebaran Islam, pemerintahan dan pentadbiran. Masjid juga menjadi pusat pembentukan keperibadian insan serta kegiatan yang dapat memberikan faedah serta mendatangkan manfaat kepada Islam dan penganutnya.

Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Yathrib (nama lama bagi Madinah), langkah pertama yang beliau lakukan adalah membangunkan masjid kecil yang berlantaikan tanah dan beratapkan pelepah tamar. Dari sana Baginda membangunkan masjid besar, membangunkan dunia ini sehingga kota tempat baginda bangunkan itu benar-benar menjadi Madinah (kota). Seperti namanya jika di teliti secara harfiyah adalah tempat peradaban atau paling tidak dari tempat tersebut lahir benih peradaban baru umat manusia.

Masjid Nabawi di Madinah telah memancarkan fungsinya sehingga lahir peranan masjid yang beraneka ragam. Sejarah mencatatkan tidak kurang dari sepuluh peranan yang telah dimainkan oleh Masjid Nabawi :
1.                  Tempat ibadah (solat dan zikir)
2.                  Tempat kaunseling dan komunikasi (masalah ekonomi dan sosio budaya)
3.                  Tempat pendidikan
4.                  Tempat penyatuan sosial
5.                  Tempat latihan ketenteraan
6.                  Klinik atau hospital perubatan tentera yang cedera  dalam peperangan
7.                  Tempat perdamaian dan pengadilan segala persengketaan
8.                  Tempat menerima kedatangan tetamu negara
9.                  Tempat tahanan
10.              Pusat penerangan dan pembelaan agama.

Masjid merupakan lambang syiar Islam dan kedaulatan, ia merupakan pusat yang menghubungkan manusia sesama manusia dan hubungan manusia bersama penciptanya. Rasulullah s.a.w. mengambil langkah yang berkesan bagi meluaskan fungsi dan peranan masjid bagi mewujudkan perpaduan yang kukuh dikalangan umat Islam di Madinah dengan meletakkan dasar ketakwaan di dalam kehidupan mereka.

Sekiranya kita memperhatikan dan melihat bahawa fungsi dan peranan masjid hari ini tidak lebih daripada tempat ibadat semata-mata. Fungsi dan peranannya disempitkan dan dikecilkan seolah-olah masjid tidak mampu menggerakkan aktiviti kemasyarakatan di kariah masing-masing. Di dalam keadaan begini masyarakat mestilah disenaraikan dengan memberikan bimbingan terhadap ilmu supaya dengan ilmu yang mereka ada umat Islam dapat dimartabatkan dan Islam dapat diletakkan dimercunya. 

Islam telah menggariskan konsep dan sifat-sifat bagi mereka yang dapat mengimarahkan masjid berdasarkan firman Allah dalam surah At- Taubah ayat 18 :Yang bermaksud : ‘ Bahawa orang yang memakmurkan masjid Allah ialah orang-orang yang beriman dan hari akhirat, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut ( kepada sesiapa ) selain dari Allah maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. 

 Membudayakan ilmu pengetahuan telah lama diterapkan oleh Islam sejak zaman permulaan Islam lagi.

Memetik kata-kata Datuk Seri Najib b Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika ucapan beliau semasa merasmikan Pusat Dialisis dan Kesihatan Masjid Bandar Baru Uda, Johor Bahru, menyarankan umat Islam menguasai kekuatan ilmu dan teknologi sebagai landasan kepada kebangkitan semula tamadun Islam dan sekali gus menjadi umat yang dinamik dan gemilang. Kebangkitan sesebuah bangsa dan tamadun didorong oleh semangat dan keazaman mereka untuk menguasai ilmu. 

Jika direnung kembali kegemilangan Islam di Cardoba atau Andalusia satu masa dahulu, kita akan dapati setiap kali kebangkitan tamadun Islam dan tamadun manusia pada masa itu mesti diikuti dengan kebangkitan ilmu. Hari ini umat Islam di kebanyakan negara Islam kaya dengan hasil seperti minyak tetapi miskin pengetahuan, penguasaan sains, teknologi dan sebagainya. 

Antara ucapan beliau: ``Oleh itu, marilah kita renung kembali akan apa yang patut kita lakukan bagi meninggikan lagi martabat dan maruah umat Islam. Adalah bertepatan dengan saranan Islam bahawa masjid sepatutnya memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat dinamik dan unggul iaitu masjid bukan sekadar tempat ibadat khusus sahaja, tetapi lebih daripada itu.

Jesteru pengimarahan masjid perlu bagi mencari kembali semangat yang telah hilang dalam diri umat Islam. Dengan kembali umat Islam ke masjid akan menjadikan institusi tersebut lebih bermakna dari hanya menjadi sekadar symbol tempat ibadah sahaja.


 *telah diterbitakan dalam majalah Suara Masjid terbitan JAKIM tahun 2006 M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan