Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“AL-QURAN PEMACU TRANSFORMASI UMMAH
WASATIYYAH ”
(13 JULAI 2012 / 23 SYA,BAN 1433H)
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan
Syaaban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat
sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT
dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta
perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Majlis
Tilawah Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di PWTC pada minggu ini, maka mimbar
pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “AL-QURAN PEMACU TRANSFORMASI UMMAH WASATIYYAH ”.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah
menyelesaikan segala permasalahan ummah dan telah menyempurnakan tanggungjawab
sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga
sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan sunnahnya. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah
SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan
kitab-kitab yang lain dan tiada keraguan tentang kebenarannya. Firman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah ayat 2 dan 3:
Maksudnya: “Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada keraguan padanya;
petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada
perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
Al-Quran sebagai kitab perlembagaan
dan panduan bagi kehidupan manusia, bukan sekadar mengandungi hukum hakam,
bahkan ianya memberi panduan mengenai adab dan peraturan sebagai hamba Allah
SWT. Sejarah telah membuktikan bahawa al-Quran sebagai pemacu bagi penyatuan
ummah yang berkeupayaan tinggi membentuk dan melahirkan satu generasi yang kuat
dan bertamadun. Justeru, al-Quran sebagai pemacu tranformasi ummah wasatiyyah
memberi isyarat yang besar bahawa dengan kita kembali kepada al-Quran mampu
menjana ketamadunan ummah yang unggul dan modal insan yang berkualiti serta
dapat melahirkan khaira ummah dalam sebuah baldatun tayyibatun wa
rabbun ghafur.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Ummah Wasatiyyah adalah merujuk kepada ummah
yang melaksanakan segala tuntutan Islam secara berhikmah, berimbang bagi
menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman tetapi pada yang sama Islam terus
dihargai atau dimartabatkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:
Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan
lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat
manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.”
Berdasarkan ayat ini, Ummatan
wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu ummah yang adil,
tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam
seluruh aspek kehidupan. Ia mengambarkan umat Islam yang telah di jelaskan oleh
Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh
perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb, “ Umat Islam adalah umat
yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan
kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”.
Justeru, Umat Islam dituntut untuk mengseimbangkan
antara rohani dan jasmani dan antara dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan
keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman. Bagaimanapun mimbar
ingin menegaskan bahawa kesederhanaan ini haruslah diterjemahkan secara
positif, terutamanya dalam meletakkan kedudukan umat Islam di dalam dunia
global, teknologi dan ilmu serta di dalam persaingan ekonomi dan juga dalam
membina tamadun dan risalah atau misi Islam itu sendiri.
Ingatlah bahawa kesederhanaan yang diamalkan di dalam Islam
adalah bermatlamat mencari kebenaran atau al-Haq. Dalam menuju ke arah
kebenaran pastinya memerlukan roh kesederhanaan dan keseimbangan yang jitu. Bersikap
sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya
berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya tetapi ianya lahir
daripada ilmu dan prinsip yang benar serta mampu bertolak ansur.
Perkara ini
tidak mungkin akan dapat di capai melainkan dengan kita kembali kepada ajaran
sunnah Rasulullah dan al-Quran al-Karim. Umat Islam sebagai ummah unggul
menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat sekali
lagi bahawa dalam usaha melakukan tranformasi ianya memerlukan satu perubahan atau tajdid.
Perubahan dalam kehidupan mestilah mampu
membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Percayalah
bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum tersebut selagi kita tidak
melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah undang-undang dan sunnah yang
telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat
11:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang
ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka
sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka
tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain
daripada-Nya.”
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Sebagai ummah yang beriman maka
sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa
juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak khususnya
dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan
dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, mimbar menyeru marilah
sama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai budaya dan acuan kehidupan. kita
mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar
kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda
masyarakat masa kini. Ingatlah bahawa tuntutan qurani ini telah berjaya
membebaskan ummah dari kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan dan kemuliaan
insan. Penghayatan kepada prinsip dan dasar-dasar al-Quran merupakan eleman
penting bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar mengambil kesempatan dengan sempena
dengan majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali ke 54 yang diadakan
di dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur mimbar menyeru para jamaah
sekalian marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam
kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang
mencintai al-Quran. Memprogramkan
penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan membaca,
mempelajari dan mentadabbur al-Quran.
Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran
samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Insyaallah
dengan cara ini akan menjadikan mereka generasi yang terdidik dengan al-Quran
dan menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat. Mimbar juga mengambil
kesempatan Bersempena dengan Minggu keselamatan dan kesihatan Pekerja yang
ditetapkan pada minggu ke 2, bulan Julai setiap tahun, menyeru kepada jemaah
dan umat Islam sekalian khususnya kepada para pekerja agar senantiasa
menerapkan amalan budaya kerja selamat dan sihat semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Ingatlah nyawa dan kesihatan adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai yang
perlu dipelihara dengan sebaik mungkin. Marilah sama-sama kita merenung firman
Allah SWT dalm surah al-Israa ayat 45:
Maksudnya: “Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an,
Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu,
suatu dinding yang tertutup. ”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan