KE ARAH MELAHIRKAN ANAK-ANAK SOLEH
( IKUT JEJAK NABI IBRAHIM A.S DAN LUKMANUL HAKIM)
Jadi Anak Soleh
Anak-anak kita adalah simpanan berharga untuk kita di akhirat. Apabila tibanya saat kematian kita di mana segala pahala dari amalan kita terputus, merekalah yang dapat kita harapkan untuk menyambung pahala kita dan mendoakan kesejahteraan kita di alam kubur dan memohon keampunan Allah untuk kita. Sabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud);
“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya”
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
Setiap dari kita wajib menjaga dan mendidik anak-anak kita supaya menjadi anak yang soleh. Anak kita adalah tanggungjawab kita. Anak-anak bukan sekadar anugerah Allah kepada kita, tetapi yang lebih besar dari itu mereka merupakan amanah yang dipikulkan Allah ke atas bahu kita. Allah ingin menguji kita; adakah kita bersungguh-sungguh menjaga dan mendidik mereka atau tidak?
“Ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu) dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya pahala yang besar”
(Surah al-Anfal, ayat 27-28)
Apa makna anak soleh?
Anak yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, Insya Allah anak itu secara automatik akan taat kepada ibu-bapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.
“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”.
(al-Anfal: 24)
10 langkah praktik untuk melahirkan anak soleh :
1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah
2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain.
3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita.
4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman). Antara perkara yang dapat kita lakukan untuk tujuan tersebut ialah;
a) Selalu membaca al-Quran di rumah
b) Membiasakan solat-solat sunat di rumah
c) Hidupkan budaya memberi salam
d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.
5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau.
6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita.
7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu
8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.
9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh
10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan