Firman Allah SWT di
dalam al-Quran, Surah al-Furqan ayat 74:
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang
berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari
isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi
penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi
orang-orang yang bertaqwa”
Ayat
di atas merupakan siri sifat mulia yang Allah SWT senaraikan di dalam surah
al-Furqan sebagai sifat “Ibaad
ar-Rahmaan” atau “hamba-hamba bagi Tuhan yang Pengasih”. Ia
meliputi sifat-sifat mukmin secara individu, mukmin sebagai da’ie, mukmin yang
mentaati Allah sesempurnanya dan mukmin yang mencegah dirinya dari sifat-sifat
keji dan perlakuan jenayah yang mencela Tuhan lagi mendatangkan mudarat kepada
sesama manusia.
Namun,
salah satu daripada sifat keutamaan hamba-hamba Allah ini, adalah sifat dan
peranannya sebagai pemimpin kepada keluarga. Bukan sahaja beliau berusaha gigih
membentuk diri sebagai seorang mukmin yang sejati, beliau juga tidak lupa untuk
membawa keluarganya ke gerbang kejayaan yang hakiki. Ini adalah sifat sebenar
bagi orang yang berjaya, kerana mereka yang berjaya bukanlah dari golongan yang
berjaya sendirian. Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa
orang lain untuk berjaya bersama-sama dengannya. Dan sudah tentulah orang lain
yang paling utama untuk dibawa bersama ke mercu kejayaan adalah isteri dan
anak-anak.
Walau
bagaimana pun, doa seorang mukmin yang bertanggungjawab terhadap isteri dan
anak-anaknya ini, mestilah diteliti dengan cermat kerana terdapat banyak
sentuhan halus al-Quran yang wajar dijadikan bahan penitipan tarbiah.
Mungkin
bagi seorang suami dan bapa yang ‘biasa’, doanya bersahaja. Dia akan memohon
kepada Allah SWT supaya menjadikan isteri dan anak-anaknya sebagai orang-orang
yang bertaqwa. Mungkin beliau akan berkata “Ya
Allah, jadikanlah diriku, isteri dan anak-anakku sebagai orang yang bertaqwa”.
Namun
kehalusan al-Quran (Lathaa’if
Qur’aaniyyah) mengolah doa seorang suami dan bapa yang bersifat
dengan sifat Ibaad ar-Rahmaan dengan cara yang lebih teliti. Renungi kembali
ayat al-Quran tersebut:
“Serta
jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”
Doa
tersebut menggunakan konsep Imam dan Makmum di dalam pengendalian peranan suami
dan bapa. Ia lebih kukuh kepada mendatangkan makna seorang mukmin yang sejati
kerana doa ini adalah doa yang di dalamnya ada amali. Ia bukan doa yang miskin
usaha, sebaliknya doa yang disertai dengan pengorbanan, kesusahan dan ikhtiar.
Mana mungkin begitu mudah kita memohon agar Allah mengurniakan ‘penyejuk mata’
melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu kita berikhtiar, sebagai
memenuhi Sunnatullah yang memberi kepada yang berusaha?
KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
“Jadikanlah kami sebagai imam bagi
orang-orang yang bertaqwa”. Sebelum seorang mukmin memohon agar
Allah menjadikan isteri dan anaknya sebagai orang yang bertaqwa, beliau memohon
agar dirinya menjadi imam kepada golongan muttaqin ini. Ertinya, jika dia mahu
isteri dan anaknya bertaqwa kepada Allah, maka dialah yang terlebih dahulu
menjadi orang yang paling bertaqwa, sebagaimana imam yang memiliki kelebihan
yang lebih daripada makmum. Maksudnya, doa ini mengajar kepada kita supaya
membentuk diri agar menjadi seorang yang bertaqwa, lantas dari situlah
nantinya, Allah melapangkan dada isteri dan anak-anaknya untuk menyusuri jalan
Taqwa yang sama. Sesungguhnya di sinilah letaknya soal kepimpinan melalui
teladan, mengajar melalui tingkah laku dan bukan hanya dengan konsep carrot
and stick sebagai
metodologi mudah amalan kebanyakan kita. Walk your talk, itulah kunci kejayaan
di dalam memimpin sebuah rumahtangga yang bertaqwa.
SIFAT BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP JEMAAHNYA
Di
antara aspek yang boleh ditonjolkan melalui konsep Imam dan Makmum ini adalah
rasa tanggungjawab yang ada pada diri seorang imam terhadap makmum yang
mengikutnya. Imam mengambil 100% tanggungjawab memimpin jemaahnya agar dapat
menunaikan solat dengan betul mengikut kaifiyat serta berdisiplin di dalam
perlakuannya. Imam perlu membetulkan saf makmum, membaca ayat-ayat al-Quran
yang mendidik jemaahnya, serta menampung kekurangan makmum di dalam pembacaan
al-Fatihah dan lain-lain.
Begitulah
konsep yang sama di dalam sebuah keluarga. Seorang suami dan bapa hendaklah
mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap segala keadaan isteri dan anaknya.
Beliau mendisiplinkan mereka, manakala salah laku dan kecacatan yang ada pada
isteri dan anak hendaklah dipulangkan kepada diri suami dan bapa. Renungi
sejauh mana kita telah melaksanakan tugas tersebut dan apakah dosa peribadi
yang telah kita lakukan sehingga kesannya tertimpa kepada isteri dan anak-anak.
Masyhur
sekali kisah seorang anak yang gemar mencuri pensel kawan-kawannya di sekolah
kerana ayahnya sendiri sering membawa pulang pen pejabat ke rumah untuk
kegunaan peribadi. Anak berdosa, isteri ingkar, jangan segera menyalahkan
mereka tetapi muhasabahlah diri kerana itu etika seorang imam terhadap
makmumnya.
BERHUBUNG DAN TIDAK MUFARAQAH
Salah
satu elemen yang penting di dalam pembentukan sebuah institusi imam dan makmum
dan hubungan yang wujud di antara mereka.
Imam
mestilah sentiasa berhubung dengan makmum. Ia berlaku melalui suara
pembacaannya yang cukup jelas untuk diamati serta perbuatannya yang dapat
dilihat oleh makmum untuk diikuti. Tidak mungkin dan tidak harus bagi seorang
imam untuk berada di tempat yang tidak dapat diikuti oleh makmumnya. Dia harus
sentiasa mengekalkan hubungannya dengan makmum. Terus berhubung, kerana melalui
perhubungan itulah peranan imam terlaksana.
Hal
ini mengingatkan kita kepada suatu sajak di dalam buku Chicken
Soup for the Teenage Soul on Love & Friendship (Chicken Soup for the
Teenage Soul) oleh
Jack Canfield, Mark Victor Hansen dan Kimberly Kirberger
“If I had My Child to Raise Over Again”
By Diane Lemons
(From Chicken Soup for the
Soul)
If I had my child to raise all over again
:
I’d build self-esteem
first, and the house later.
I’d finger-paint more, and
point the finger less.
I would do less
correcting and more connecting.
I’d take my eyes off my
watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to
care more.
I’d take more hikes and
fly more kites.
I’d stop playing serious
and seriously play.
I would run through more
fields & gaze at more stars.
Ayat “I
would do less correcting and more connecting” mestilah direnungi secara serius oleh
setiap bapa dan suami. Selalu benar seorang suami itu cenderung kepada correctingterhadap
kesalahan isterinya sedangkan hak isteri untuk ‘dihubungi’ oleh suaminya tidak
dipenuhi. Kita bersama tetapi terpisah, kita dekat tetapi jauh, kita sebumbung
tetapi seorang di suatu lembah manakala seorang lagi di lembah yang lain. Sukar
sekali di dalam masyarakat Melayu kita yang less expressive untuk membuka hati dan mulutnya,
membina hubungan dengan isteri yang mahu didengari dan ‘dihubungi’. Budaya ‘man-to-man’, ‘heart-to-heart’ dan
lain-lain bentuk komunikasi amat asing dari masyarakat kita kerana kita
cenderung memendam, berdendam dan akhirnya amuk dan binasa.
Lebih
parah adalah sikap bapa yang tidak berhubung dengan anak-anak. Kita mengambil
falsafah burung membesarkan anak-anak kita yang manusia. Kita bina sarang di
dahan yang tinggi untuk keselamatan, kita keluar awal pagi untuk mencari rezeki
dan kemudian pulang ke rumah dengan rezeki untuk disuap ke mulut anak-anak yang
menjerit-menjerit seperti anak burung itu tadi.
Namun,
perlulah diinsafi bahawa anak-anak kita menjerit bukan semata-mata kerana perut
yang lapar dan fizikal yang berhajat, namun jiwa mereka turut kelaparan. Mereka
mahu ‘dihubungi’. Mereka mahu didengari, mereka mahu rasa ‘dekat’ dengan bapa
mereka. Lihat sahaja perilaku Rasulullah SAW yang membelai rambut anak cucunya,
mencium mereka, berhenti berceramah untuk memeluk Hasan serta Husain, sujud lama
kerana membiarkan Husain yang sedang menunggang Baginda dan pelbagai contoh
Baginda membina body contact.
Daripada
Anas RA, Rasulullah SAW juga diberitakan memberi salam kepada kanak-kanak.
Baginda juga tidak meminggirkan kanak-kanak dari gurau senda dan perbualan
seharian Baginda SAW.
Dari
Sahl bin Saad as-Saa’idi RA, bahawa Rasulullah SAW pernah suatu ketika
dihindangkan dengan minuman. Di kanan Baginda terdapat seorang kanak-kanak,
manakala di sebelah kiri adalah orang-orang dewasa. Selepas meminum sebahagian
minuman tersebut, Baginda SAW bertanya kepada budak itu: “adakah kamu izinkan
aku memberikan air ini kepada mereka (orang-orang dewasa)?” Lalu budak itu
menjawab: Tidak, demi Allah aku tidak akan lepaskan bahagianku darimu kepada
sesiapa pun!
MEMBETUL DAN DIBETULKAN
Isteri
dan anak adalah amanah yang mesti dipelihara dengan baik. Kesilapan dan
kekurangan mereka hendaklah dipantau. Hubungan yang kukuh di antara imam dan
makmum, membolehkan proses membetulkan itu dilakukan dengan baik oleh imam.
Begitulah perihalnya dengan bapa atau suami dengan isteri dan anaknya. Mulakan
kewajipan membetul itu dengan membina hubungan terlebih dahulu. Sebagaimana
jemaah menolak untuk dipimpin oleh imam yang dibenci, begitu jugalah isteri dan
anak akan menolak nasihat dari seorang lelaki ‘asing’ bernama suami dan ayah.
Namun,
di dalam melaksanakan kewajipan itu, imam juga bersedia untuk dibetulkan. Jika
sedang menjalankan tugasnya sebagai imam di dalam solat, ada kesilapan yang
berlaku, makmum berhak bahkan dituntut untuk membetulkan imam.
Demikianlah
keadaan bagi sebuah rumahtangga yang bertaqwa. Seorang suami atau ayah yang
sedang melaksanakan tugasnya sebagai imam, pasti sesekali akan melakukan
kesilapan yang lazimnya berpunca dari alpa dan leka. Maka isteri dan anak-anak
hendaklah mengambil peranan membetulkan kesilapan itu dengan cara-cara yang
sopan dan mulia. Dalam masa yang sama, ketua keluarga tersebut hendaklah pula
berlapang dada menerima teguran kerana matlamat dan tujuan rumahtangga itu
adalah keredhaan Allah. Fokus rumah tangga itu adalah menyempurnakan apa yang
Allah suruh dan apa yang Allah larang. Ketika sedang menuju Allah, kita bahu membahu
menyusuri jalan yang panjang itu.
TIDAK MELEBIHI HAD LAJU
Seorang
imam yang bertimbang rasa akan sentiasa peka dengan keupayaan dan keadaan
makmumnya. Makmum yang tua akan dirai dengan tidak terlalu memanjangkan bacaan.
Makmum yang muda terhibur dengan bacaan yang jelas lagi bertenaga. Janganlah
pula imam itu terlalu laju sehingga membiarkan jemaahnya tunggang langgang.
Atau seronok sendiri sehingga makmumnya tercicir.
Begitulah
keadaannya ketika sebuah rumah tangga yang dipimpin oleh seorang hamba kepada
Tuhan yang Pengasih. Ketika dia dalam perjalanan menuju Allah, janganlah
sekali-kali isteri dan anak-anak itu ditinggalkan.
Andaiannya,
selepas kita berhenti rehat semasa di lebuhraya, lantas tiba-tiba menyedari
yang anak kita tertinggal di kawasan rehat, 40km di belakang, bayangkan
perasaan kita semasa itu. Bayangkan betapa cemasnya kita mencari u-turn atau
simpang untuk berpatah balik menyelamatkan anak yang sudah tentu sedang
menangis teresak-esak di celah kekecohan orang ramai.
Namun,
apakah perasaan kita sama semasa kita meninggalkan anak dan isteri di dalam
perjalanan kita menuju Allah. Kita sibuk dengan kerja-kerja kebajikan serta
pertempuran mencari rezeki menampung kehidupan, tidakkah ramai di kalangan kita
yang membiarkan anak kita keciciran dan sedar-sedar kita sudah tiada u-turn untuk kembali menyelamatkannya.
Janganlah
terlalu deras menurut desakan keperluan hidup sehingga kita tercicirkan isteri
dan anak yang kebingungan itu. Jangan sekali-kali…
ERTI DOA YANG SEBENAR
Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh
dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi
penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi
orang-orang yang bertaqwa”
Sesungguhnya
doa ini amat besar maknanya. Ketika menadah tangan memohon hidayah dari Allah,
mohonlah dengan sedar supaya Allah menjadikan kita terlebih dahulu sebagai
insan paling bertaqwa, kerana yang paling bertaqwa itulah sahaja yang layak
menjadi imam bagi makmum yang bertaqwa.
“Wahai
orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api
neraka yang bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu. Di atasnya ada
malaikat yang amat keras dan mengerikan. Mereka tidak sekali-kali membantah apa
sahaja yang Allah perintahkan, bahkan mereka terus melaksanakan apa yang
diperintah (oleh Allah)” [At-Tahrim 66 : 6]
sumber...........