Tiga asas agama; aqidah, syariah dan akhlak jadi teras enam wasiat Luqmanul Hakim kepada anak-anaknya.
Firman Allah SWT di dalam surah Luqman, ayat 13 – 19 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur, lagi membanggakan diri. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".
Enam wasiat Luqmanul Hakim kepada anak-anaknya melalui maksud ayat di atas adalah panduan utama kepada umat Islam dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan cemerlang di dunia dan di akhirat. Wasiat-wasiat tersebut ialah:
1. Menjauhi Perbuatan Syirik kepada Allah (ayat 13)
Mendidik anak-anak dengan asas aqidah iaitu tauhid kepada Allah. Luqman memperingatkan anaknya supaya tidak syirik kepada Allah S.W.T. dan sentiasa membersihkan diri daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Asas Aqidah ini mesti diutamakan dan didahulukan kerana ia tunjang kekuatan diri.
2. Berbuat baik kepada ibu bapa (ayat14-15)
Mendidik anak-anak untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa kerana mereka berada pada kedudukan yang tinggi dalam Islam. Walau bagaimanapun, jika ibu bapa mengajak atau memaksa anak melakukan perbuatan syirik atau perbuatan yang dilarang oleh agama, ia tidak wajib dipatuhi. Ini menunjukkan bahawa Islam lebih mengutamakan hubungan aqidah berbanding hubungan keluarga dan keturunan.
3. Setiap amal perbuatan akan diberi balasan oleh Allah SWT (ayat 16)
Menanam dalam diri anak-anak akan keyakinan bahawa setiap amal perbuatan walaupun sebesar biji sawi, sama ada baik atau buruk, berlaku secara terang atau tersembunyi, tetap akan dihitung dan diberi balasan yang setimpal oleh Allah SWT di akhirat kelak.
4. Mendirikan solat, menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta sentiasa bersifat sabar (ayat 17)
Mendidik anak-anak untuk menunaikan solat yang merupakan tiang kepada agama dan ibadah pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas kerana Allah S.W.T. dapat meningkatkan darjah kedudukan di sisi Allah S.W.T. Selain itu, mereka juga perlu diasuh agar sentiasa menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sifat sabar juga perlu diterapkan pada diri anak-anak sekiranya ditimpa bencana dan kesusahan.
5. Menjauhi sifat sombong dan bangga diri (ayat 18)
Mendidik anak-anak supaya tidak bersifat sombong dan bangga diri serta menggalakkan supaya sentiasa bersifat tawaddu’ yang boleh melahirkan keutuhan dalam persaudaraan.
6. Bersederhana (ayat 19)
Mendidik anak-anak supaya sentiasa bersederhana, salah satu daripada sifat terpuji yang dituntut di dalam Islam. Termasuk dalam tuntutan bersederhana ini ialah menjaga dan melembutkan suara yang sudah tentunya menyerlahkan lagi kesopanan seorang muslim.
Kaedah pendidikan mencakupi 3 aspek utama iaitu akidah, syariah dan akhlak yang digariskan di dalam surah Luqman, ayat 13 – 19 ini adalah kaedah berkesan dalam usaha kita untuk melahirkan generasi yang soleh dan mampu menjalankan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dengan sebaik-baiknya. Sewajarnya, kita mengguna pakai garis panduan kebapaan Luqmanul Hakim dalam mendidik anak-anak sejak kecil lagi supaya kita tidak kecewa pada kemudian hari, ibarat melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Malah Islam sememangnya berpandangan jauh berhubung dengan zuriat dan keturunan ini dengan memberikan garis panduan seawal ketika pemilihan pasangan hidup lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan