Selasa, 19 April 2011

Peserta luar negara sertai Imam Muda 2

Peserta luar negara sertai Imam Muda 2


PARA peserta Imam Muda musim kedua yang bakal bersaing merebut gelaran Imam Muda Unggul.


IMAM MUDA, program realiti terbitan Astro Oasis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang berjaya menarik perhatian dunia, sekali gus memecah tradisi program-program berkonsep keislaman yang selama ini dipandang sebelah mata atau dikategorikan sebagai program kelas kedua.
Namun siapa sangka gelombang baru yang dicetuskan menerusi Imam Muda tidak sahaja mengubah pandangan skeptikal khususnya, penonton di Malaysia terhadap program Islamik tempatan.
Bahkan, tempias kejayaannya turut membuka mata masyarakat Islam luar negara akan potensi dunia penyiaran dalam medium dakwah, apatah lagi yang menjurus kepada golongan muda.
Menamatkan program Imam Muda musim pertama secara bergaya pada Julai tahun lalu dengan menobatkan Imam Muda Muhammad Asyraf Mohamad Ridzuan sebagai juara pertama, secara tidak langsung menjadi testimoni dalam usaha penerbitan lebih banyak program ilmiah dan tidak tertumpu kepada elemen hiburan semata-mata tetapi dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial.
Malah, ia sekali gus akan memartabatkan status imam serta memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang perlu dipikul dan menjadi pemangkin kepada kelahiran imam muda yang versatil dan relevan kepada komuniti.
Lantaran itu, bermula awal tahun 2011 selama dua bulan krew produksi Imam Muda menjelajah ke enam lokasi iaitu ke Johor Bahru, Kota Bharu, Alor Setar, Kuantan, Kota Kinabalu dan berakhir di Kuala Lumpur.
Ia dalam usaha mencari 10 lagi calon Imam Muda bagi musim keduanya. Uniknya, pencarian kali ini, terbuka kepada peserta luar negara.
Malam tadi, bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam diumumkan 10 peserta yang berjaya menginjakkan kaki ke akademi yang penuh prestij ini.
Sabtu lalu kumpulan pemuda yang mempunyai latar belakang dan kerjaya berbeza ini diserahkan kepada Mudir Imam Muda musim kedua, iaitu bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud al-Hafiz dalam majlis penyerahan secara tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Biarpun ia serba ringkas namun sarat dengan pelbagai mainan perasaan terutamanya pada saat penyerahan ahli keluarga dan tidak ketinggalan isteri untuk melepaskan insan tersayang, waima dalam tempoh tiga bulan.
Namun, hanya iringan air mata kegembiraan dan restu serta keredaan mereka menjadi pemangkin semangat kepada 10 peserta Imam Muda ini, demi mengejar impian dan cita-cita bergelar Imam Muda unggul.
Bunyinya gah bukan! Imam Muda Unggul. Pun begitu, 10 peserta yang terpilih ini, dua adalah dari negara jiran iaitu Singapura dan Brunei. Mereka akan dihimpunkan di bawah satu bumbung, mengharungi segala suka duka bersama serta berjuang secara sihat, bukan atas tiket peribadi tetapi memartabatkan agama Islam yang syumul.
Mega, Utusan Malaysia berpeluang mewawancara tiga peserta yang akan berkongsi perasaan mereka dalam menjalani satu pengalaman baru sebagai persiapan melahirkan pelapis tokoh agama masa hadapan serta persediaan diri kelak dinobatkan Imam Muda unggul...


LINK..............

Tiada ulasan:

Catat Ulasan