BLOG INI DIBANGUNKAN UNTUK BERKONGSI MAKLUMAT DAN PENGALAMAN SERTA BERTUKAR PANDANGAN UNTUK MENAMBAHKAN KEIMANAN
KAMI MOHON RESTU MU YA ALLAH
Jumaat, 8 April 2011
PERIBADI BANGSA- BUYA HAMKA
Peribadi yang membuat sejarah dalam suatu bangsa adalah 2 macam : Peribadi Pemikir dan Peribadi Pekerja. Atau orang yang menteorikan dan ada orang yang mempraktikkan. Lantaran itu maka pekerjaan di dalam hidup ini pun dua berfikir dan bekerja.
Maka timbullah pertanyaan, manakah yang lebih utama di antara kedua-duanya?
Jawabnya tegas sahaja, kedua-duanya utama dan kedua-duanya mulia.
Fikiran barulah dapat tercipta dalam kejadian, kalau dikerjakan atau kalau ada yang mengerjakan. Dan kerja tidak beres, kalau tidak difikirkan lebih dahulu.
Saya terbaca dalam dongeng orang-orang tua, semacam kain bernama " adun-temadun", yang digumpal sehujung kuku dan dikembangkan selebar alam. Itulah fikiran dan perlaksanaan. Fikiran tumbuh dari otak yang kecil di kepala; tetapi bila telah dilaksanakan menjadi pekerjaan, hasilnya bisa sepenuh alam. Schopenhauer mengatakan :" Alam itu ialah fikir", dan beliau berkata pula : "Alam itu iradat, kemahuan".
Jules Verne menyatakan fikirannya, disadur dengan bermacam khayalan, tentang mengelilingi dunia 80 hari, tentang 20 000 mil dalam laut, tentang pengembaraan ke bulan. Dan teori fikirannya itu dikerjakan oleh yang mengerjakan dengan menempuh pelbagai kesulitan bertahun-tahun. Pengembaraan ke bulan belum juga dapat dilaksanakan sampai sekarang.
Voltaire menyatakan fikiran tentang segala kepincangan masyarakat di Eropah, di Perancis. Fikiran itulah yang akhirnya terlaksana dengan revolusi Perancis, yang memakan tempoh tidak kurang 800 tahun.
Pada 17 Ogos 1945 fikiran dilaksanakan dengan proklamasi, yang hanya terdiri dari beberapa perkataan. Tetapi ketika dilaksanakan, telah memakan tempoh bertahun, dan mungkin berpuluh tahun lagi.
Kebanyakan ahli fikir yang "kaya" itu tidak mendapat apa-apa dari hasil fikirannya. Karl Marx tidak melihat hasil bukunya " Das Kapital" dan Stalin telah enak-enak duduk di Kremlin, Phillas Fogg, hanyalah orang khayalan Jules Verne. Tapi dia lebih terkenal dari Jules Verne sendiri.
Terutama di tanah Timur kita ini pada zaman yang lalu dan sampai sekarang masih tinggal bekasnya. Sebesar-besar keuntungan ahli fikir hanyalah sebutan dan pujian setelah dia mati. Biasanya hidupnya sendiri terlantar, dia tidak meninggalkan apa-apa untuk keturunannya, tetapi dia meninggalkan pusaka banyak sekali buat bangsanya.
Ahli fikir tidak ada ertinya kalau tidak ada yang mengerjakan, kalau tidak ada yang menyambut. Berapa banyaknya fikiran tinggi, yang tidak jadi terlaksana, kerana tidak ada tenaga yang menyambut. Agaknya selain Edison, banyak juga pemikir lain yang mungkin sebesar Edison, kalau tidak akan melebihinya. Tetapi Edison berjaya, sebab ada yang menyokong dan yang melaksanakan fikirannya dalam pekerjaan.
Plato dalam "Republik"nya membahagikan kewajipan tiap-tiap golongan dalam Negara, dan gambaran demikian ada pula dalam "negara tubuh" manusia.
Ahli fikir dinamai otak negara, dan nilainya ialah emas. Pemangku negara dinamai pelaksana fikiran itu dan jantung dan darjatnya ialah perak. Adapun anggota tubuh, tangan dan kaki Negara ialah saudagar dan kaum tani; nilainya tembaga.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan