Selasa, 12 April 2011

KISAH BUAH APEL



KISAH BUAH EPAL

Diriwayatkan dalam kisah orang-orang soleh dalam Daerah Jilan di Iraq terdapat seorang pemuda yang soleh. Suatu hari dia berehat di bawah sepohon pokok di tepi sebatang sungai. Dia terasa amat lapar. Tiba-tiba pemuda tersebut ternampak sebiji epal yang sedang terapung dibawa arus sungai. Kerana kelaparan, dia mengambil epal tersebut lalu memakannya. Dia berasa amat kesal dan takut kepada Allah s.w.t. kerana memakan buah epal yang tidak diketahui pemiliknya itu tanpa izin.



Tiba-tiba terdetik di hatinya, “Mungkin tuan buah epal ini berada di hulu sungai, lebih baik aku mencarinya untuk memohon maaf padanya.”



Demi mencari tuan punya buah epal itu, dia sanggup menelusuri sungai dengan harapan akan menemui kebun epal. Memang benar telahannya. Terdapat sebuah kebun epal di hulu sungai dan beberapa pohon yang buahnya berjuntai ke arah sungai. Si pemuda bertemu dengan tuan kebun untuk meminta maaf dan minta dihalalkan buah yang telah dimakannya tanpa izin tersebut. Tuan kebun sungguh kagum dengan kewarakan si pemuda lantas mengujinya dengan meminta pemuda tersebut bekerja di kebun epal tersebut selama 10 tahun tanpa upah sebagai syarat memaafkan dan menghalalkan buah epal yang telah dimakannya. Walaupun berat untuk menunaikannya namun kerana kewarakannya dia tetap menerima syarat tersebut.



Setelah tamat tempoh 10 tahun, pemuda tersebut meminta izin untuk pulang. Namun tuan punya kebun sekali lagi mengenakan syarat tambahan iaitu pemuda tersebut dikehendaki berkahwin dengan anak perempuannya yang dikhabarkan adalah buta, pekak, bisu dan cacat anggota badan. Walaupun syarat itu sangat berat namun dia tetap bersetuju asalkan kesalahannya memakan buah epal 10 tahun yang lalu dihalalkan.



Tibalah saat yang dinanti-nanti, usai majlis akad nikah pemuda tersebut pun melangkah masuk ke dalam kamar untuk bertemu isterinya yang dikatakan buta, pekak, bisu dan cacat itu. Sebelum memasuki kamar, dia memberi salam. Namun dia terkejut kerana salamnya dijawab. Ini menunjukkan bahawa perempuan di dalam bilik itu tidak bisu dan pekak. Malah apabila bersemuka, dia melihat wanita tersebut tidak cacat anggota badan malah sempurna sifat dan baik rupa parasnya. Si pemuda lari keluar kerana menyangka dia telah tersalah bilik.



Lantas bapa mentuanya memberi penjelasan bahawa buta yang dimaksudkan ialah kerana anaknya itu tidak pernah melihat perkara yang diharamkan Allah s.w.t. Pekak yang dimaksudkan itu pula kerana dia tidak pernah mendengar perkataan lagha, umpatan dan sebagainya. Dikatakan bisu pula kerana dia menjaga lidahnya daripada mengatakan perkara-perkara yang mebawa kepada kemurkaan Allah. Manakala anggota badan yang cacat itu pula tersirat maksud anggota badannya terpelihara daripada mengerjakan maksiat.



Hasil daripada perkahwinan pemuda yang wara’ dengan isterinya yang solehah itu maka lahirlah seorang anak yang akhirnya membesar menjadi seorang wali Allah yang masyhur dan tinggi ilmunya. Iaitulah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.

Wallahu A’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan