Remaja dan perubahan zaman
SAIDINA Umar al-Khattab berkata: "Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya." Ia bermaksud proses pendidikan terhadap manusia harus berlaku sesuai dengan perubahan zaman. Memang sifat zaman berubah. Zaman jahiliah dan zaman Rasulullah SAW adalah tidak sama.
Zaman jahiliah atau zaman kegelapan memperlihatkan gelagat manusia yang tidak dipandu oleh akidah tauhid. Zaman Rasulullah dipandu akidah tauhid. Walaupun manusia daripada keturunan yang sama (Quraisy) tetapi sistem kepercayaan dan cara hidup mereka berbeza.
Hal yang sama berlaku pada zaman sahabat Nabi dan tabien-tabien memberikan asas pengembangan terhadap tapak akidah, ibadah, muamalat dan syariat yang terbina kuat pada zaman Rasulullah.
Zaman Baghdad iaitu di zaman Abasiyah, ilmu pengetahuan menjadi sumber penting kepada perubahan. Zaman Andalusia membawa erti penting dalam tamadun umat Islam, tidak sahaja subur dalam jiwa rohani umatnya tetapi berkembang hingga menghasilkan suatu tamadun contoh.
Zaman berikutnya, Eropah menjadi maju hasil ambilan ilmu-ilmu Islam yang tersohor dan menyebabkan Eropah atau masyarakat Barat mengalami proses tamadun yang bersifat kebendaan sehinggalah kini.
Ternyata ramai di kalangan orang Islam menjadi pengguna terhadap tamadun ini dan sesetengah daripadanya menjadi sekular dan liberal.
Sekular bermakna sesuatu pegangan itu bersifat duniawi dan tidak terhubung dengan ukhrawi (akhirat). Liberal bermakna usaha memisahkan agama dari kehidupan, agama dari ilmu dan agama dari pemikiran.
Oleh itu, amat penting para remaja memahami faktor-faktor perubahan berasaskan kelainan zaman. Umpamanya pada hari ini globalisasi mengambil tempat. Walaupun tidak semua faktor globalisasi harus tertolak, ada manfaat berbanding terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Secara berbandingnya harus dimanfaatkan. Aspek-aspek seperti dapatan sains dan manfaat teknologi harus diterima sekiranya ia menyumbang kepada kebaikan manusia.
Contohnya, komputer adalah suatu alat yang bermanfaat. Bergantunglah kepada kita untuk menggunakannya dengan baik.
Bayangkan sekiranya perisian, input dan program yang terdapat dalam media elektronik ini dengan corak perisian dan input yang baik. Ia bakal mengisi keperluan akal budi insan.
Ada yang berpendapat bahawa Islam harus menyesuaikan diri dengan zaman dan ada yang pula berpendapat bahawa zaman harus membawa perubahan pada Islam.
Sebenarnya dalam tradisi Islam, sejak zaman Rasulullah dan sahabat serta zaman ketamadunan Andalusia, prinsip Islam mengenai kemajuan dan perubahan saling kukuh mengukuh dan berkesinambungan.
Dalam al-Quran terkandung prinsip dan pedoman mengenai perubahan dan zaman. Sebab itulah, prinsip-prinsip Islam sentiasa menjadi sumber rujukan kepada perubahan.
Contohnya, di zaman Rasulullah prinsip muamalat atau jual beli dirujuk kepada prinsip al-Quran. Al-Quran memberikan pedoman, berjual belilah di kalangan kamu tetapi jangan mengamalkan riba.
Sesuai dengan perkembangan muamalat dan teknologi, di zaman Rasulullah, aplikasi muamalat menggunakan sistem tukaran barang tetapi pada masa kini transaksi muamalat berubah sesuai dengan zaman.
Prinsip yang memandu perubahan tetap selari dengan al-Quran dan as-sunnah. Bank Islam di Malaysia, takaful Islam, sistem kewangan Islam, kaedah menjustifikasi produk halal, semuanya berlandaskan syariah, iaitu tanpa riba.
Ini membayangkan dengan jelas bahawa perubahan yang membawa kebaikan disesuaikan dengan prinsip Islam. Syariah boleh membawa kebaikan kepada manusia walau apa zaman pun. Oleh itu tidak salah bagi para remaja belajar ilmu-ilmu Barat dan Timur asal ia memiliki manfaat dan menyumbang kepada kesejahteraan umat manusia.
Begitu juga apabila nabi ditanya tindakan sekumpulan yang lain mengenai perbuatan mereka melakukan proses pendebungaan pada pokok tamar, Rasulullah menjawab: "Kamu lebih tahu akan urusan duniamu." Ia menjadi pedoman kepada umat Islam bahawa ajaran Islam tidak mengongkong perluasan ruang untuk meneroka sains seiring dengan Sunnatullah.
SUMBER;
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan