Ahad, 9 Mei 2010

SURAH ALI IMRAN AYAT 14 MENCERITAKAN KEINGINAN DAN NALURI SEMULAJADI MANUSIA


FIRMAN ALLAH SWT MAKSUDNYA:

14. Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak[186] dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).


[186] yang dimaksud dengan binatang ternak di sini ialah binatang-binatang yang termasuk jenis unta, lembu, kambing dan biri-biri.



1.PEREMPUAN
 
Semua manusia suka perempuan. Lelaki meminati perempuan. Itu normal namanya. Perempuan meminati perempuan sebab gayanya, pakaiannya, barang kemasnya dan lain-lain. Perempuan dijadikan mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Sebab itu dalam peristiwa Isra' wal Mikraj Rasulullah telah dipanggil oleh seorang wanita cantik. Lantas Jibril a.s memberitahu itulah dunia dan  janganlah Nabi kita menyahut panggilan wanita itu nescaya umat baginda nanti akan terikat dengan keniakmatan dunia sahaja. Zaman sekarang wanita memang dijadikan tarikan untuk sesuatu. Jual kereta pun pakai wanita. Jual syampu.Jual jamu. Minum kopi hatta jual tayar kereta pun digunakan wajah wanita yang lantas menimbulkan kemusykilan kita sama ada yang hendak dijual itu tayarnyakah atau perempuan itu?Lelaki hanya layak untuk iklan jual beras saje.Kerana itu wanita adalah sesuatu perkara yang dijadikan indah pada pandangan manusia.



2.ANAK-ANAK
Cahaya mata dan sinar dalam keluarga. Itulah anak. Nabi Adam a.s begitu sayangkan anak-anak walau Qabil menconteng arang ke muka ayahnya dengan membunuh adiknya Habil dek kerana cinta kepada adik perempuan kembarnya. Nabi Nuh begitu sayangkan anaknya walaupun anak itu mencucuk mata baginda dengan keingkaran dalam menyembah Allah hingga Allah menyatakan bahawa anaknya itu bukan termasuk dalam ahli keluarganya. Nabi Ayub a.s di uji dengan ramai anak kemudian di wafatkan seorang demi seorang hingga tidak tertinggal baki walau seorang. Nabi Ibrahim a.s di berikan anak ketika usianya dan isterinya sudah lanjut. Baginda digembirakan dengan 2 orang anak yang soleh iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak. Begitu juga dengan Nabi Zakaria. Keluarga Imran begitu menginginkan anak lelaki namun Allah dengan penuh kebijaksanaanNya menganugerahkan dengan anak perempuan. Manakala Maryam mendapat anak tanpa bapa bukti keagungan dan anugerah Allah SWT. Nabi kita Muhammad SAW anak lelaki baginda di wafatkan Allah. Dan yang tinggal hanya anak perempuan baginda.
Anak-anak adalah pendamai dan penghibur kita di saat kita keletihan. Keletahnya membuatkan kita lupa akan masalah dunia. Anak adalah penyambung generasi dan kesinambungan warisan. Itulah yang diinginkan oleh manusia. 



3.HARTA BENDA DARIPADA EMAS DAN PERAK 

Kecintaan manusia memang tahap gaban bila menyebut 3 perkara di atas. sanggup ketepikan halal dan haram demi mendapatkannya. Sanggup bersengkang mata 24 jam sehari dan 30 hari sebulan hanya untuk menggenggam duit tidak sampai 1 jam. Manusia sanggup menipu dan ada yang membunuh jiwa lain demi harta. Taraf manusia di ukur dengan sikit dan banyak wangnya. Mulia dan hina manusia dikira dengan hartanya yang berkoyan. Kerana 3 benda ini di nampakkan dan dihiaskan pada pandangan mata manusia akan kenikmatan apabila mendapatkannya.


4.KUDA
Kuda adalah sejenis kenderaan. Dahulu siapa yang mempunyai kuda akan dikira hebat, kaya dan mempunyai pengaruh dalam masyarakat. Makin banyak kuda yang dikumpul maka orang itu akan dihormati. Hari ini kaedahnya sama juga. Ada orang yang sudah mempunyai sebuah kereta...lalu di tambah lagi...lagi dan lagi... Tidak hairan jika sebuah rumah mempunyai hingga 5-10 bijik kereta. Baik dari jenis GMC-Ford-Toyota-Honda-kereta nasional dan lain-lain. Kerana itulah sifat keinginan manusia.



5.BINATANG TERNAK
Kambing, lembu, kerbau, unta, biri-biri @ kibash dan lain-lain. Manusia menginginkan binatang ini dipelihara dan menjadi milik mereka. Sama ada untuk kegunaan  sendiri atau bisnes, binatang ternakan adalah sumber kebanggaan apabila memilikinya. Walaupun sebanyak 2 ekor kambing !Kisah Tha'labah pun akibat binatang ternakan ini. Nabi Musa a.s membantu ternakan nabi Syuaib a.s.Nabi kita pun menggembala kambing ternakan tika baginda  di bumi Makkah al Mukarramah


6.SAWAH LADANG

"Tanya kawan-kawan siapa yang nak jual kebun atau bendang?Ladang pun boleh. Saya nak belilah".Pernah dak anda mendengar ayat ini? atau anda sendirilah penanya itu sendiri. Apa reaksi ada apabila ada orang cakap macam itu? Sesungguhnya untuk memiliki aset harta dari skop hartanah ini adalah naluri keinginan yang Allah sediakan untuk manusia. Pernah tengok 3 Abdul? Cuba lihat filem itu. Ada moral yang nak diselitkan kepada kita.

Kesimpulannya 6 perkara di atas adalah Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini. Itulah kesenangan hidup di dunia. Ada isteri, ada anak, ada harta, ada kereta, ada rumah. Apa lagi yang manusia mahukan jika semua ini sudah menjadi miliknya? Tapi manusia sering lupa bahawa harta pemilikan ini akan di ambil balik oleh Tuan langit dan bumi. Pemilikan yang bersifat sementara tetapi itulah yang dipegang oleh manusia seolah-olah tidak akan berpisah dengan semua ini. Lupa akan manusia itu bahawa keenam-enam benda ini adalah kesenangan yang bersifat sementara di dunia yang fana ini. Lupa akan nikmat yang 6 perkara itu jika diperolehi di akhirat adalah lebih baik kerana akhirat itu adalah kekal abadi. JIika manusia berfikir bahawa kesenangan di dunia ini adalah maksimum...maka tekaan itu meleset. Kerana tempat kembali yang terbaik adalah di sisi Allah SWT iaitu memasuki syurgaNya. Cinta dan keinginan...Ya Allah ya Tuhan ku kurniakanlah aku kecintaan kepada Mu dan Rasul Mu. Dan anugerahkanlah keinginan untuk melihat Mu di dalam syurga al Firdaus nanti.Amin ya Rab!Itulah kenginan dan kecintaan yang terlebih besar dariku Ya Rab! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan