Taubat tahun baharu
HARI ini kita telah memasuki tahun 2013. Tentunya pelbagai rancangan telah dibuat untuk menjadikan tahun ini lebih baik daripada sebelumnya. Awal tahun memang saat yang tepat menetapkan azam dan matlamat agar tercapai kehidupan yang lebih sempurna.Sebagai seorang Muslim, langkah pertama mempertingkatkan kualiti diri dimulai dengan taubat. Sesuai dengan makna literalnya, taubat bermakna kembali.
Seseorang yang bertaubat ertinya kembali kepada Allah Yang Maha Sempurna dengan menginsafi kekurangan diri dan berusaha menutupinya.
Konsep taubat mengisyaratkan bahawa kesempurnaan hidup ditentukan oleh kedekatan diri kita dengan Allah SWT. Sebab Allah adalah sumber kebahagiaan. Siapa yang menjauh diri daripada Allah SWT, ia tidak akan merasai kebahagiaan di dalam hidupnya.
Mengapa taubat?
Sebahagian daripada kita mungkin bertanya mengapa kita perlu bertaubat? Jawapannya, sebab dosa adalah penghalang terbesar dalam kita meraih kejayaan.
Dosa bukan hanya memberatkan proses hisab kita di akhirat, namun juga memberatkan langkah kita di dunia. Orang yang berlumuran dosa selalunya dibenci dalam masyarakat.
Ibnu Abbas berkata: "Maksiat melahirkan kegelapan di hati, kekeruhan di wajah, kesakitan di badan, kesempitan di rezeki dan kebencian di hati semua makhluk."
Lantaran itu, matlamat taubat adalah menghakis semua dosa yang selama ini mengeruhkan hidup kita. Menurut Imam Al-Nawawi, taubat mesti melalui tiga tahapan. Pertama, meninggalkan perbuatan dosa itu. Kedua, menyesal atas perbuatan tersebut. Dan ketiga, berazam untuk tidak mengulanginya kembali di masa akan datang.
Al-Nawawi menambahkan: "Jika dosa itu berkaitan dengan hak manusia, maka syarat yang keempat adalah melepaskan hak tersebut kepada pemiliknya. Jika hak itu berbentuk harta, maka ia mesti dikembalikan. Jika berbentuk hukum had seperti tuduhan palsu atau lain-lain, maka ia mesti tunduk kepada hukuman atau meminta maaf. Dan jika berbentuk ghibah (umpatan), maka ia mesti minta agar dihalalkan."
Jika semua langkah ini sempurna dilakukan, insya-Allah akan berlaku perubahan besar dalam hidup kita. Fikiran kita menjadi ringan, pintu rezeki dan kebahagiaan akan terbuka luas di hadapan.
Allah berjanji menerusi lisan Nabi Nuh: Mohonlah ampun kepada tuhanmu sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu. (Nuh: 10-12)
Pintu taubat terbuka
Allah SWT sangat sayang kepada hamba-Nya yang bertaubat. Sebanyak dan sebesar apa pun dosa yang pernah dilakukan, Allah SWT akan menyambutnya dengan tangan terbuka. Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT lebih bergembira menerima taubat hamba-Nya daripada salah seorang kamu yang menemui kembali kenderaan dan bekalannya setelah keduanya hilang di padang pasir. (Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, bersegeralah bertaubat dan jangan ditunda-tunda. Mulakanlah tahun baharu yang menjelang ini dengan istighfar, permintaan maaf dan keinsafan diri. Boleh jadi tahun ini merupakan tahun terakhir kita berada di atas muka bumi.
Lantaran itu, manfaat peluang yang masih ada untuk bertaubat kepada Allah dan jadilah manusia yang berjaya di dunia juga selamat di akhirat. Wallahu a'lam.
l UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh juga diajukan di www.facebook.com/UmarMuhammadNoor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan