Rabu, 30 Januari 2013

Menyantuni graduan Asia Barat

Menyantuni graduan Asia Barat


PENULIS bergambar dengan sebahagian Jawatankuasa dan delegasi PPMM selepas forum Islam dan Perlembagaan di Mafraq, Jordan, baru-baru ini.
SEBAGAI acara tahunan Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dari 9 hingga 18 November lalu sekali lagi telah mengadakan lawatan kerja ke Mesir dan Jordan. Di sana delegasi PPMM telah disambut oleh ahli-ahli Kelab Peguam Muda Mesir (KPMM) dan Kelab Peguam Muda Jordan (KPMJ) yang mana PPMM merupakan badan pencetus kepada penubuhan kelab-kelab tersebut yang berpaksikan kepada pengembangan kerjaya dan meningkatkan pemahaman undang-undang Malaysia.

Ahli-ahli kelab-kelab terdiri daripada kalangan mahasiswa Malaysia di negara berkenaan di bidang syariah. Di Mesir program ini dinamakan ESPRIM 2012 diketuai oleh pengarahnya, Ahmad Husni Mubaraka, manakala di Jordan ia dikenali sebagai LANCER 2012 dan diketuai oleh Muhammad Khairy Awang Jaafar.

Delegasi 17 orang dari PPMM telah berjaya memberi penerangan yang dikehendaki kepada mahasiswa di Mesir dan Jordan.

Sepanjang di kedua-dua negara tersebut, telah diadakan satu seminar yang menjurus kepada pencerahan kerjaya lulusan syariah. Kerjaya di bidang perbankan Islam, umpamanya menjadi topik perbualan popular sepanjang seminar diadakan.

Naib Presiden PPMM, Fakihah Azahari telah memberi ceramah tentang kerjaya di bidang perbankan Islam, manakala Siti Razasah Abdul Razak pula melontarkan pelbagai persoalan berkaitan peranan wanita dalam kerjaya peguam dan hakim syarie.

Selain itu, isu-isu semasa seperti hak asasi, LGBT dan perundangan lain turut disentuh oleh Abdul Rahim Sinwan yang merupakan Timbalan Presiden PPMM.

Forum-forum umum juga diadakan yang berkait rapat isu perundangan Islam seperti hudud, hak keistimewaan Islam dan mahkamah syariah mendapat sambutan baik di kalangan mahasiswa yang mana saya sendiri menjadi antara panelis forum.

Pelbagai persoalan dikemukakan bagi menjawab perkara-perkara yang menjadi kebimbangan mahasiswa.

PPMM berusaha menyantuni, mendekati mahasiswa Asia Barat dan merasai denyut nadi mereka di samping membuka ruang kerjaya kepada mereka. Bukan setakat ceramah sahaja, perbicaraan olok-olok (perbicaraan moot) juga turut diadakan di Mesir dan Jordan bagi melakar gambaran sebenar situasi perbicaraan di mahkamah.

Untuk itu, hakim-hakim sebenar iaitu Muhammad Taifor Ahmad Rusdi (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak) dan Wan Abdul Malik Wan Abd Razak (Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Terengganu) turut mengadili perbicaraan moot tersebut.

PPMM juga tidak ketinggalan mengadakan temuduga kepada mahasiswa terpilih untuk diberikan biasiswa melanjutkan pengajian dalam kursus diploma lepasan ijazah syariah bagi membolehkan mereka diterima masuk dan didaftar sebagai peguam syarie.

Mencungkil bakat dan memangkinkan anjakan minda mahasiswa Asia Barat bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan usaha gigih dan dana yang agak besar, namun, dengan sokongan mahasiswa itu sendiri, khususnya KPMJ dan KPMM usaha ini dapat direalisasikan oleh PPMM.
Bintang-bintang yang bergemerlapan di Asia Barat ini perlu terus digilap agar cahayanya tidak pudar ditelan zaman.

Potensi besar

Graduan Asia Barat adalah potensi yang amat baik bagi Malaysia kerana mereka berkemampuan membuat pelbagai kajian daripada sumber nas yang asal.
Bukan sahaja mereka boleh menjadi peguam syarie yang cemerlang tetapi juga mempunyai potensi besar di dalam pelbagai industri lain seperti kehakiman Islam, perbankan Islam dan pelbagai institusi agama yang lain.

Adalah amat rugi jika sumber manusia gilapan Asia Barat itu diabaikan begitu sahaja.
Sepanjang lawatan kerja PPMM tersebut, pelbagai persoalan telah dapat dirungkai dan semangat yang jitu telah disuntik ke dalam diri mahasiswa syariah Asia Barat. Yang lebih menakjubkan, program kali ini bukan sahaja dihadiri oleh mahasiswa syariah tetapi juga mahasiswa bahasa Arab, usuluddin, perubatan dan pergigian.

Mahasiswa perubatan antara yang turut memenuhi dewan di Iskandariah semasa forum Islam dan Perlembagaan diadakan dan soalan berkaitan dengan isu medico-legal turut mendapat tempat seperti etika perubatan, bagaimana mengelak doktor daripada disaman dan sebagainya.

Sambutan di luar jangkaan di kedua-dua negara ini menjadi pemangkin kepada PPMM untuk terus menyantuni mahasiswa Asia Barat. Mahasiswa adalah golongan yang perlu didekati dan difahami minda mereka. Mereka lebih terbuka di dalam menggarap sesuatu idea berdasarkan hujah. Hujah yang berkesan akan menjadikan mahasiswa lebih analitikal di dalam pemikiran mereka

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121206/ba_02/Menyantuni-graduan-Asia-Barat#ixzz2EbX4GR1W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan