Sumpah dengan al-`Aadiyat di dalam surah ini yang diikuti empat ayat seterusnya dan yang menyatakan ketangkasannya sebagai kuda-kuda perang menarik dua isu penting:
Pertama, Peperangan merupakan satu keperluan manusia yang ingin hidup bebas dan cintakan keamanan kerana perang satu-satunya jalan untuk menegakkan keadilan, terutama apabila manusia sombong dan tidak menghormati kewujudan orang lain. Islam membenarkan perang terhadap siapa jua yang zalim dengan tujuan mengembalikan kedudukan masing-masing pada tempatnya yang sebenar mengikut ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuda-kuda perang yang tangkas menyerang musuh mendapat pujian Allah kerana berada pada kedudukan ini.
Kedua, kuda mempunyai nilainya tersendiri berbanding haiwan-haiwan lain, bukan sahaja dalam agama, bahkan juga dalam kesusasteraan Arab. Kebanyakan Qasidah Arab yang masyhur, kuda menjadi pilihan untuk mencipta ungkapan apabila membuat sesuatu kiasan, analogi atau tamsilan. Mungkin Abu al-Tayyib al-Mutanabbi seorang penya`ir agung Arab termasuk dalam kumpulan ini, antara Qasidah beliau:
وَما الخَيلُ إلاَّ كالصَديقِ قَلِيلـةٌ
وإن كَثُرَت في عَيْنِ مَن لا يُجرِّبُ
إذا لم تُشاهِدْ غَيرَ حُسنِ شِياتِهَا
وَأعْضَائِهَا فالحُسْنُ عَنكَ مُغَيَّبُ
Terjemahan:
Kuda bagaikan teman, bilangannya kecil sekali,
Anda melihatnya besar, itu pandangn tanpa pengalaman,
kecantikan kuda jika tapong dan anggota anda maksudkan,
Keindahan sebenar masih tersembunyi pada anda[764].
Al-Mutanabbi menjelaskan lagi gambaran ringkas kedudukan kuda dalam budaya Arab menerusi qasidahnya:
أَعَزُّ مَكَانٍ فِيْ الْدُّنَا سَرْجُ سَابِحٍ
وَخَيْرُ جَلِيْسٍ فِيْ الْأَنَامِ كِتَابُ
Terjemahan:
Pelana kuda yang tangkas berlari, itulah sebaik-baik tempat di dunia..
Bertemankan buku yang dibaca lebih baik dari bertemankan manusia.
Kata Sayyid Qutb: Persumpahan Allah swt dengan kuda-kuda perang dalam bentuk itu membayangkan betapa kasihnya Allah kepada gerakan dan kegiatan kuda-kuda perang dan betapa tingginya nilai kegiatan jihad di sisi Allah[765]. Bagaimanapun kuda-kuda hanyalah alat, kelebihannya bergantung pada tujuan ia dipergunakan. Kuda boleh dipergunakan untuk lumba kuda, boleh digunakan untuk meronda dan mengejar penceroboh lain-lain. Justeru itu, kuda di dalam ayat di atas di sebut bersama peranannya yang tangkas di medan jihad.
Kemahiran Berkuda Dalam Islam
Islam dibangkit ketika umat Arab terkenal sebagai bangsa yang mempunyai kemahiran berkuda, mereka berbangga dengan kuda-kuda mewah kepunyaan mereka dan dengan kepakaran mereka dalam bidang perkudaan. Islam mengiktiraf bidang ini sebagai bidang yang banyak membawa manfaatnya kepada manusia serta merangsang umat Arab meneruskannya kerana Islam menjadikan jihad sebagai kewajipan yang berterusan ke atas umat Islam hingga Qiyamat. Perkudaan merupakan saluran jihad pada ketika itu kerana menerusi saluran ini kekuatan para mujahidin teruji.
Allah memerintah para mu`minin supaya melengkapkan diri mereka dengan kelengkapan perang dan dengan senjata untuk menghadapi tentangan musuh, firman Allah:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ [766]
Terjemahan: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala apa sahaja kekuatan yang mampu disediakan kamu dan dari kuda-kuda tambatan perang untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.
Kuda tambatan perang meliputi perkakas dan keperluan makan minumnya, sehingga memungkinkannya dibawa keluar ke medan perang dan menjalani tugasnya dengan sempurna. Imam al-Bukhari meriwayatkan:
مَنْ احْتَبَسَ فَرَسًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِيمَانًا بِاللَّهِ وَتَصْدِيقًا بِوَعْدِهِ فَإِنَّ شِبَعَهُ وَرِيَّهُ وَرَوْثَهُ وَبَوْلَهُ فِي مِيزَانِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ [767]
Terjemahan: Sesiapa menambat kuda di jalan Allah kerana iman kepada Allah dan percayakan janji-Nya, maka sesungguhnya kekenyangan dan kepuasan dahaganya, najisnya dan kencingnya berada dalam neraca kebajikan pada hari Qiyamat.
Islam mendidik manusia di bidang perkudaan dengan membetulkan arah tuju dan matlamat perkudaan supaya bidang ini merupakan satu kemudahan yang di guna untuk memberi khidmat kepada agama serta membersihkan kegitan perkudaan ini dari dicemari isu perkauman dan taksub dan supaya seluruh kegitan perkudaan yang berbagai-bagai ini menjadi jihad di jalan Allah.
Umat Islam Arab telah mendapat latihan berkuda dengan sebaiknya kerana bidang ini diowarisi mereka sejak jahiliah lagi. Peluang mendapat kepakaran bertambah luas lagi apabila Islam membuka ruang khas mengizinkan mereka berlumba kuda tertakluk kepada kaedah dan prinsip-prnsip yang digariskan oleh syarak[768].
Walaupun Umat Islam teruma bangsa Arab menerajui bidang ini pada suatu ketika dahulu, namun kedudukan mereka tercabar dengan kelahiran kenderaan bermotor dan senjata moden dalam peperangan, meskipun khidmat kuda tetap diperlukan sehingga Qiyamat sebagaimana telah dinyatakan dalam sabda.
Al-Shaykh al-Imam Muhammad Abduh melahirkan rasa kesalnya terhadap sikap sesetengah umat Islam yang diakui sebaik-baik umat dan sebagai umat yang berpedomankan kitab suci al-Qur`an kerana mengabaikan peranan kuda dan kemahiran berkuda, malah antara mereka ada yang mengejek-ejek penunggang kuda.
Tidakkah eneh kerana ada orang yang berpegang kepada kitab al-Qur`an dan salah seorang bekas pelajar agama sangat takut menunggang kuda, keadaannya bagaikan orang kehilangan sifat-sifat kepahlawanan, sehingga salah seorang professor yang terkenal, apabila dinasihatkannya supaya menghidupkan semula pengajian sebahagian ilmu-ilmu agama. Dia menjawab: kalau semua perkara yang berfaedah itu harus kita ajarnya kepada pelajar-pelajar kita, maka seharusnya kita juga prlu belajar menunggang kuda. Dia seolah-olah memberi reaksi yang negatif kepada cadangan saya menghidup semula sebahagian pengajian silam yang ditinggalkan, kunonnya sama dengan mengajar mereka pelajaran berkuda yang menurutnya tidak sesuai lagi dengan ulama yang menjadi pewaris nabi-nabi[769].
Abd al-Karim al-Khatib menyatakan pendapatnya tentang bidang perkudaan katanya: Ketangkasan kuda yang disebutkan di dalam ayat-ayat ini satu isyarat jelas kepada taktik peperangan dan kepada penyusunan yang sepatutnya dilakukan dalam pentadbiran tentera Muslimin tatkala berhadapan tentera musuh. Ini adalah satu pelajaran yang sangat penting dalam peperangan, disampaikan secara tidak langsung supaya kesannya lebih mendalam berbanding pengajaran secara langsung.
Pelajaran yang disampaikan di sini mengenai kuda, penunggang-penunggang kuda, gerak laku mereka dalam peperangan. Ayat-ayatnya diturunkan ketika umat Islam dikepong di Makkah oleh tentera Musyrikin, seharusnya pelajaran ini mesih segar dalam ingatan umat Islam. Kemungkinan pada suatu hari nanti mereka akan menjadi tentera berkuda dalam tentera Allah yang akan membuat serangan tangkas dalam jihad untuk menegakkan agama Allah di bumi ini dan seterusnya mendirikan Negara Islam[770].
Pengajaran dan Saranan:
1: Menyanjung tinggi amalan jihad dan persediaan para mujahidin yang sedia berjihad kerana menyahut seruan Allah dan menegakkan agama-Nya.
2: Kelebihan kuda berbanding haiwan-hiwan lain kerana besar sumbangannya ketika berjihad di jalan Allah.
3: Kelebihan jihad dan memelihara kuda tambatan pertang, termasuk memelihara, melatih memberi makan dan melengkapkan persiapan perang adalah antara amalan jihad di dalam Islam.
4: Tingginya nilai kuda di sisi Allah. Lariannya yang tangkas dan pergerakan yang berani hendaklah dijadikan pengajaran dan iktibar.
[754] Musnad Ahmad, hadith (4563). Isnadnya muttasil mengikut syarat Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah ibn Umar.
[756] Ibid. Kedua-dua qaul ini dikemukan al-Taberi dalm tafsirnya. Pada akhirnya beliau mentarjihkan pendapat pertama. Tafsir al-Tabari, 30/271-273.
[764] Qasidah ini diungkap al-Mutanabbi tatakala hubungan baiknya dengan Saif al-Dawlah terjejas akibat fitnah pihak ketiga yang buruk hati terhadapnya (penulis)
[767] Al-Bukhari, al-Jihad wa al-Siyar, Man Ihtabas Faras.., hadith (2698) daripada Abu Hurayrah ra.
[768] Bicara tentang kuda, aktiviti kesokanan dan perlumbaan, syarat-syarat dan panduannya in Sya Allah akan dilanjutkan lagi apabila tiba pada mentafsirkan surah al-Anfal: ayat 60 nanti.
Dihantar Oleh Dr Abdul Hayei Abdul Sukor pada 8/22/2010 04:36:00 AM
Label: TAFSIR SURAH AL-`ADIYAT (100) AYAT 1-5RUJUKAN.............
Tiada ulasan:
Catat Ulasan