Khamis, 26 Januari 2012

Persiapan laksana hudud

SUMBER.........
Suatu ketika dahulu terdapat banyak halangan dan kritikan dalam melaksanakan perbankan Islam tetapi akhirnya ia diterima juga. Begitu juga dengan pelaksanaan undang-undang hudud, ia tidak mustahil - Gambar hiasan


ISU undang-undang hudud dan pelaksanaannya di Malaysia seringkali menjadi perbahasan di kalangan masyarakat. Kadangkala ia menjadi topik yang begitu kontroversi kerana disulami dengan pelbagai elemen lain seperti emosi politik dan juga realiti sebenar di Malaysia. Kebanyakan umat Islam mahu undang-undang hudud dilaksanakan di Malaysia. Namun pendekatan yang diambil berbeza antara satu sama lain.
Menukar undang-undang yang sedia ada kepada undang-undang hudud bukanlah semudah memetik jari.
Ruangan kali ini bukan bertujuan menongkah arus ataupun menambahkan lagi kontroversi yang sedia ada. Tetapi berbincang tentang pelaksanaan hudud dalam konteks sistem perundangan negara.
Perbincangan di ruangan ini juga hanya berkisar dari sudut perundangan negara dan tidak menyentuh perkara-perkara lain seperti politik pendidikan dan juga aspek dakwah.

Para ulama memberikan definisi hudud sebagai kesalahan yang mana hukumannya telah ditentukan (jumlah bilangan dan kaedah perlaksanaan) di sisi syarak dilaksanakan terhadap sesuatu maksiat yang dilakukan, yang melibatkan hak Allah Kesalahan hudud merangkumi kesalahan berzina, qazaf, meminum arak, mencuri, merompak dan juga murtad.

Perbincangan tentang hudud biasanya hanya berkisar tentang hukuman itu sendiri yang sering digambarkan sebagai zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Amat jarang masyarakat membincangkan hudud secara ilmiah yang berkait dengan falsafah hukuman beban dan tahap pembuktian kes-kes hudud.
Undang-undang hudud sebenarnya merupakan benteng pencegahan kesalahan-kesalahan lain dalam masyarakat. Hukuman yang tegas berfungsi sebagai penghalang kesalahan-kesalahan hudud dan juga kesalahan-kesalahan yang lain.

Pembuktian dalam hukuman hudud pula amat tinggi iaitu melampaui sebarang keraguan. Berbeza dengan tahap pembuktian kes-kes sivil sekarang ini yang hanya setakat melampaui keraguan munasabah. Ini bermakna hudud tidak boleh disabitkan jika terdapat walaupun sedikit keraguan di sisi hakim.
Itu sebabnya kebanyakan kes-kes hudud disabitkan melalui pengakuan pesalah itu sendiri. Jika pesalah tidak mengakui pertuduhan yang dibawa kepadanya beban membuktikan kesalahan itu amat sukar kerana ia melibatkan hukuman yang amat berat.

Namun ini tidaklah bermakna pesalah akan dilepaskan begitu sahaja memandangkan tahap pembuktian yang tinggi tersebut. Seseorang yang dilepaskan atas tuduhan hudud bukan dibebaskan begitu sahaja, tetapi masih boleh dihukum atas kesalahan bersifat taazir yang memerlukan kadar pembuktian yang lebih rendah.
Penulis tidak berhasrat membincangkan satu persatu tentang tahap pembuktian kes-kes hudud di dalam ruangan ini kerana perbahasan mengenainya agak panjang dan kompleks. Cukuplah sekadar mengatakan bahawa kadar pembuktian ini adalah amat tinggi bagi mempastikan orang yang tidak bersalah tidak akan dalam mana-mana keadaan dihukum melalui hukuman hudud. Inilah jaminan yang diberikan Allah bagi menzahirkan kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya yang tidak melakukan kesalahan.
Berbalik kepada sistem perundangan negara yang mengamalkan dwisistem perundangan. Kita akan dapati Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan membahagikan penggubalan undang-undang kepada tiga kategori berdasarkan pembuat undang-undang iaitu Parlimen dan dewan-dewan negeri. Terdapat tiga senarai yang disebut dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Parlimen boleh membuat undang-undang yang perinciannya termaktub dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama. Manakala dewan-dewan negeri pula berkuasa membuat undang-undang yang terjatuh dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Meneliti senarai-senarai tersebut, kita akan dapati jenayah disebut di dalam Senarai Persekutuan manakala pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu terletak di bawah Senarai Negeri. Berdasarkan Jadual Kesembilan tersebut penulis mendapati kesalahan hudud seperti mencuri dan merompak berada di bawah Senarai Persekutuan dan jenayah hudud lain seperti zina, qazaf, meminum arak dan murtad pula terletak di bawah kuasa negeri.
Dalam hal yang demikian penulis berpandangan bahawa kesalahan-kesalahan hudud ini tidak boleh dilaksanakan secara pakej dalam satu undang-undang disebabkan kesalahan tersebut terjatuh dalam kuasa dua badan perundangan yang berbeza.

Oleh itu penulis berpandangan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kelantan) 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Terengganu) 2003 tidak boleh dilaksanakan kerana sebahagian kesalahannya tidak berada di bawah kuasa Dewan Negeri.

Namun demikian, apa pun kedudukannya ia tidaklah memberikan suatu tiket kepada umat Islam untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam. Segala usaha perlu digarap dan dimantapkan bagi mencari ruang bagaimana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di Malaysia. Penulis juga berpandangan bahawa tidak semestinya sesuatu perkara tersebut mesti dinamakan atas nama agama bagi melaksanakannya. Ia boleh juga dilaksanakan walaupun tanpa menamakannya sebagai undang-undang Islam.

Oleh itu penulis berpandangan dalam kesalahan-kesalahan yang terjatuh di bawah kuasa Parlimen, kesalahan tersebut hendaklah dibiarkan kekal di bawah kuasa Parlimen kerana jika sekiranya kita ingin meminda Perlembagaan sudah pasti akan menghadapi jalan berliku.
Perkara yang perlu dititikberatkan ialah membawa undang-undang berkaitan agar lebih dekat kepada Islam dalam erti kata selaras dengan undang-undang dan falsafah undang-undang.
Dalam konteks ini Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan hendaklah dipinda bagi memasukkan beberapa peruntukan yang berkaitan dengan tahap serta cara pembuktian dan cara pelaksanaan hukuman diperincikan di dalam undang-undang tersebut.

Peruntukan juga mestilah dibuat bagi memberi ruang kepada para hakim mengenakan hukuman bersifat takzir sekiranya hudud gagal dibuktikan.

Seiring dengan hasrat melaksanakan undang-undang hudud, penulis berkeyakinan sekiranya undang-undang di atas dipinda maka kesalahan mencuri dan merompak akan dapat dilaksanakan secara hudud.
Manakala bagi kesalahan hudud lain seperti berzina, qazaf, meminum arak dan murtad pula badan perundangan negeri memang mempunyai kuasa penuh untuk mengadakan kesalahan-kesalahan demikian selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Sulaiman bin Takrib melawan Kerajaan Negeri Trengganu yang memutuskan bahawa tafsiran precepts of Islam dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan itu bukan sekadar dewan negeri mempunyai kuasa mengadakan kesalahan berkaitan perlanggaran rukun Islam yang lima itu tetapi lebih luas iaitu mewujudkan kesalahan yang melanggar apa-apa perintah agama Islam. Oleh itu empat kesalahan di atas boleh menjadi kesalahan yang bersifat hudud.
Walau bagaimanapun hukuman kesalahan tersebut disekat oleh Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang memperuntukkan Dewan Negeri boleh mengwujudkan mana-mana kesalahan jenayah syariah dan hukumannya hendaklah tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan. Penulis berpandangan sekiranya akta ini dimansuhkan empat jenis kesalahan hudud yang terletak di bawah bidangkuasa negeri boleh dilaksanakan.

Umat Islam yang mempertikai atau memperlekehkan mana-mana undang-undang Islam boleh dipertikaikan juga syahadahnya. Umat Islam seharusnya mencari jalan bagaimana hendak melaksanakan undang-undang Islam.

Walaupun mungkin terdapat halangan-halangan tertentu usaha yang mantap perlulah dibuat bagi mengubah atau membuang halangan tersebut demi melaksanakan undang-undang Islam ini.
Penulis sering tertanya-tanya jika suatu ketika dahulu apabila pihak kerajaan berhasrat untuk melaksanakan perbankan Islam terdapat begitu banyak halangan dan kritikan yang diterima daripada masyarakat Islam dan bukan Islam. Namun bermula dengan tingkap-tingkap perbankan tanpa faedah, kemudiannya dinamakan perbankan Islam kini sistem perbankan Islam bukan sahaja menjadi pilihan umat Islam tetapi juga orang bukan Islam kerana keadilan sistem itu sendiri. Tidak mustahil sekiranya undang-undang hudud ini dilaksanakan lama-kelamaan orang akan faham kecantikan undang-undang ini bagi menjaga lima maqasid al syariah iaitu menjaga agama, aqal, diri, keturunan dan harta.

Adalah menjadi tugas setiap umat Islam untuk berusaha melaksanakan Islam dengan sewajarnya. Dari sudut perundangan jalannya sudah ada, terpulanglah kepada ahli siasah untuk melaksanakannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan