Kalilah wa Dimnah kompilasi cerita pengajaran
ADA sebuah hikayat dalam versi Arab yang terkenal di dunia Islam. Hikayat itu berjudul Kalilah wa Dimnah dan merupakan kumpulan cerita berangkai yang memberikan ajaran moral dan pendidikan.
Watak cerita dalam hikayat ini ialah haiwan yang mengisahkan sebuah cerita yang bersambung-sambung. Oleh sebab itu, kumpulan cerita ini disebut cerita berangkai.
Hikayat Kalilah wa Dimnah merupakan salah satu cerita berangkai yang turut popular dalam sastera Melayu. Semua kisah dalam Kalilah wa Dimnah mempunyai pengajaran tentang akhlak. Walaupun cerita itu berlaku dalam dunia haiwan, seperti singa, serigala, ikan dan burung, namun sasaran utama pengajarannya ialah manusia.
Dengan kata lain, manusia mendapat pengajaran tentang akhlak daripada setiap kisah dalam kumpulan cerita ini. Pancatantra Kalilah wa Dimnah pada mulanya merupakan kumpulan cerita rakyat dalam sastera India yang dikenali dengan nama Pancatantra (lima cerita haiwan). Kisah ini dikumpul sekitar abad ke-3 SM.
Sebelum kedatangan Islam, karya dalam bahasa Sanskrit ini telah tersebar luas dan diterjemahkan ke bahasa Parsi kuno dengan judul Karataka danDamanaka.
Pada pertengahan abad ke-2 Hijrah, Ibnu al-Muqaffa, penyair Arab-Parsi, menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab dengan judul Kalilah wa Dimnah.Pengaruh Karya terjemahan Kalilah wa Dimnah yang dibuat Ibnu al-Muqaffa berpengaruh besar dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Islam. Sejak itu, telah berkembang gaya penulisan prosa yang menggunakan dialog dan kehidupan haiwan sebagai latar belakangnya.
Melalui prosa ini disampaikan pesan yang bertujuan untuk memperbaiki akhlak dan tingkah laku manusia.
Tersebar ke Eropah Sebelum diterjemahkan oleh Ibnu al-Muqaffa, Pancatantra atau Karataka dan Damanaka hanya terkenal dalam masyarakat India dan Parsi. Namun sesudah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, kisah itu tersebar luas hingga ke Eropah dan bahagian dunia yang lain.
Penterjemahan Kalilah wa Dimnah versi Arab ke dalam bahasa Latin, Jerman, Yunani dan Ibrani dilakukan pada abad ke-10. Versi bahasa Sepanyol, Itali dan Perancis adalah terjemahan daripada versi Latin.
Watak cerita Kalilah dan Dimnah ialah nama dua ekor serigala yang menjadi watak utama dalam cerita pertama. Dalam cerita itu, Kalilah dan Dimnah menjadi penjaga singa, raja di hutan. Sewaktu Dimnah bertanya kepada Kalilah tentang perilaku singa, Kalilah mengingatkan Dimnah agar pertanyaannya jangan sampai diketahui raja di hutan itu kerana hal itu akan menyebabkan berlakunya kisah kera dan tukang kayu.
Dari sini, Kalilah mula menceritakan kisah Kera dan Tukang Kayu, yang berlanjutan kepada cerita-cerita seterusnya.
Kisah tiga ekor ikan
Dalam Kalilah wa Dimnah terdapat cerita berjudul "Tiga Ekor Ikan". Yang pertama pintar, kedua cerdik dan ketiga bodoh.
Dua orang nelayan datang menghampiri kolam dan cuba menangkap ikan-ikan itu. Ikan yang pintar segera berenang ke dasar kolam hingga tidak dapat dilihat.
Ikan yang cerdik dapat ditangkap tetapi pura-pura mati. Sewaktu nelayan meletakkannya di tanah kerana menyangka ikan itu sudah tidak bergerak, tiba-tiba ikan yang cerdik itu melompat kembali ke dalam kolam dan melarikan diri.
Ikan yang bodoh pula tidak dapat berbuat apa-apa, lalu ditangkap oleh nelayan.
SUMBER..........
Tiada ulasan:
Catat Ulasan