Khamis, 5 Januari 2012

Fakta Sains di Dalam al-Quran-Bahagian 1


Fakta Sains di Dalam al-Quran
17 June 2005
Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

ASAL-USUL ALAM DARIPADA ASAP?

Di dalam surah Fussilat 41: 11, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Kemudian Dia menuju ke langit dan langit ketika itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi: ´Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa.´ Keduanya menjawab: ´Kami datang dengan tunduk.´”

Di dalam kitab Al-Asas fit Tafsir, jilid 9, halaman 5010, Said Hawa menyatakan: “Sesungguhnya di sana memang sudah ada suatu keyakinan bahawa sebelum terjadinya bintang-bintang, keadaan adalah di dalam bentuk gas nebula seperti asap. Dan pandangan yang seperti ini boleh dianggap sahih kerana ia begitu hampir dengan hakikat kalimat ´dukhan´ di dalam al-Quran.´

PENCIPTAAN ALAM SEMESTA

Penciptaan alam semesta diterangkan oleh ahli astro-fizik (fizik angkasa) sebagai satu fenomena yang diterima ramai dan dikenali sebagai ´Big Bang.´ Ia disokong oleh data yang diperoleh daripada pemerhatian dan eksperimen oleh ahli astronomi dan ahli astro-fizik sejak berdekad-dekad lamanya. Menurut ´Big Bang´, seluruh alam semesta pada asalnya ialah satu jisim yang besar (Nebula Asas).

Kemudian terjadi ´Big Bang´ (Pemisahan Kedua) yang menghasilkan galaksi-galaksi. Ia kemudiannya berpecah-pecah lagi untuk menjadi bintang, planet, matahari, bulan, dan lain-lain. Asal penciptaan alam semesta ini memang unik dan kemungkinan untuk ia terjadi secara tidak sengaja adalah sifar.

Al-Quran mengandungi ayat berikut, berkenaan asal kejadian alam semesta: “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya?” (surah Al-Anbiyaa´: 30)

Persamaan di antara ayat Al-Quran dengan teori Big Bang tidak dapat dinafikan lagi. Bagaimana sebuah kitab yang muncul di padang pasir Arab 1400 tahun lalu, mengandungi fakta sains begini?

WUJUD JISIM GAS SEBELUM PENCIPTAAN GALAKSI
Ahli sains berkata, sebelum galaksi-galaksi di alam semesta ini dibentuk, yang ada pada mulanya ialah bahan-bahan gas. Dengan kata lain, bahan-bahan atau awan gas yang besar wujud sebelum pembentukan galaksi-galaksi. Untuk menerangkan perkara ini, perkataan ´asap´ adalah lebih sesuai berbanding gas.

Ayat Al-Quran berikut merujuk kepada keadaan alam semesta oleh perkataan ´dhukhan´ yang bermaksud asap: “Kemudian Dia menujukan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: ´Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau paksa!´ Keduanya menjawab: ´Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela.´” (Surah Fussilat: 11)

Lagi sekali, fakta ini juga tidak diketahui oleh orang Arab pada zaman Nabi Muhammad s.wa.w. Justeru, dari mana pula sumber ilmu ini?

BENTUK BUMI BULAT

Pada zaman lampau, manusia percaya bumi ini rata. Sejak berkurun-kurun lamanya, manusia takut untuk belayar terlalu jauh kerana risau mereka akan jatuh di tebing bumi. Sir Francis Drake ialah orang pertama yang membuktikan bumi ini bulat apabila beliau belayar mengelilingi bumi pada tahun 1907.

Lihat maksud petikan ayat al-Quran ini yang membincangkan mengenai pertukaran siang dan malam: “Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah SWT memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti).” (Surah Luqman: 29)

Memasukkan di sini bermakna malam bertukar menjadi siang secara perlahan-lahan dan bertahap-tahap dan begitulah sebaliknya. Kejadian begini hanya boleh berlaku jika bumi ini bulat. Jika ia rata, sudah tentu perubahan malam dan siang berlaku secara mendadak dan bukan perlahan-lahan.

Berikut ialah maksud petikan ayat al-Quran yang juga membayangkan bumi ini bulat: “Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan guna yang sebenar; Dia juga menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya).” (Surah Az-Zumar: 5)

Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah ´kawwara´ bermakna ´untuk menindihkan´ atau ´melingkari´ - seperti serban yang dilingkarkan mengelilingi kepala. Penindihan dan pelingkaran malam dan siang hanya boleh berlaku jika bumi ini bulat. Bumi ini bukanlah bulat seperti bola, tetapi berbentuk geo-spherical (geo-bulat), iaitu leper di hujung.

Ayat berikut mengandungi keterangan mengenai bentuk bumi: “Dan bumi sesudahkan itu dijadikan berbentuk telur.” (surah An-Naazi´aat: 30)*

(*Perkataan Arab dahaha diterjemahkan oleh Mufti Haji Muhammad Noor Haji Ibrahim sebagai ´dihamparkannya´, yang juga betul. Perkataan dahaha juga bermakna telur burung unta. Lihat ayat ini yang berkaitan dengan sifat cahaya matahari dan bulan: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya....´ (Surah Yunus: 5))

Perkataan Arab untuk telur di sini ialah ´dahaha´ yang bermaksud telur burung unta. Bentuk telur buurng unta menyerupai bentuk bumi yang geo-bulat (geo-spherical). Justeru, Al-Quran menerangkan bentuk bumi dengan tepat, walaupun anggapan umum pada masa Al-Quran diturunkan ialah bumi ini rata.

CAHAYA BULAN ADALAH CAHAYA PANTULAN

Peradaban-peradaban awal manusia percaya bulan menghasilkan cahayanya sendiri. Sains kini memberitahu kita bahawa cahaya bulan ialah cahaya yang dipantulkan. Walau bagaimanapun, fakta ini telah disebut di dalam al-Quran 1400 tahun dahulu di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya lampu dan bulan yang menerangi.” (Surah Al-Furqan: 61)

Perkataan Arab untuk matahari di dalam Al-Quran ialah ´syams´. Ia merujuk kepada ´siraaj´, yang bermaksud api pelita (torch) atau ´wanhaaj ´yang bermakud ´lampu yang menyala´ atau ´diya´ yang bermaksud ´kemegahan yang menyinari.´ Ketiga-tiga keterangan itu memang sesuai untuk matahari memandangkan ia mengeluarkan haba dan cahaya oleh sebab kebakaran dalamannya.

Perkataan Arab untuk bulan pula ialah ´qamar´ dan ia diterangkan di dalam al-Quran sebagai ´muneer´, iaitu sesuatu yang mengeluarkan nur, iaitu cahaya. Sekali lagi, keterangan al-Quran menyamai sifat semula jadi bulan yang tidak menghasilkan cahayanya sendiri dan merupakan benda yang tidak aktif yang hanya memantulkan cahaya matahari. Tidak pernah sekalipun di dalam al-Quran, bulan disebut sebagai ´siraaj´, ´wanhaaj´, atau ´diya´ atau matahari sebagai nur atau ´muneer´.
Ini menunjukkan Al-Quran menyedari perbezaan di antara cahaya matahari dan cahaya bulan.

Lihatlah maksud ayat-ayat firman-Nya ini yang berkaitan dengan cahaya matahari dan bulan:

1. “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya.” (Surah Yunus: 5)

2. “Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat. Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang benderang).” (Surah Nuh: 15-16)



MATAHARI TIDAK BERPUTAR

Sejak sedemikian lama ahli falsafah dan ahli sains Eropah percaya bumi ini berkedudukan tetap di tengah-tengah pusat alam semesta dan semua benda lain beredar mengelilinginya. Di Barat, konsep alam semesta berpusatkan bumi (geocentric) ini berleluasa dari zaman Ptolemy pada kurun kedua Sebelum Masihi lagi.

Pada tahun 1512, Nicholas Copernicus membentangkan teorinya yang dipanggil Heliocentric Theory of Planetary Motion (Teori Heliocentric Mengenai Pergerakan Planet), yang mendakwa matahari itu yang berkedudukan tetap di pusat sistem matahari dengan planet-planet lain beredar mengelilinginya.

Pada tahun 1609, ahli sains Jerman Yohannus Keppler menerbitkan Astronomia Nova. Di dalamnya dia menyimpulkan bahawa planet-planet bukan hanya beredar dalam orbit bujur (elliptical) mengelilingi matahari, mereka juga berputar di paksinya pada kelajuan yang tidak menentu. Dengan pengetahuan ini, ahli-ahli sains Eropah mampu menerangkan secara tepat beberapa corak perjalanan sistem matahari termasuklah kejadian malam dan siang.

Selepas penemuan-penemuan ini, matahari dianggap sebagai berkedudukan tetap dan tidak berputar di paksinya seperti bumi. Penulis masih ingat ketika belajar kesilapan ini dari buku Geografi pada zaman persekolahan penulis. Lihatlah maksud ayat-ayat al-Quran ini:

“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar *terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Surah Al-Anbiyaa: 33)
(*Mufti Haji Muhaamd Noor Haji Ibrahim menterjemahkan beredar terapung-apung). Sila lihat keterangan ini:

Perkataan Arab yang digunakan di atas ialah ´yasbahun´. Perkataan ´yasbahun´ diambil dari perkataan ´sabaha´. Ia membawa makna pergerakan dari benda-benda yang bergerak. Jika anda menggunakan perkataan itu untuk manusia, ia tidak bermakna orang itu bergolek tetapi ia bermakna orang itu berjalan atau berlari. Jika anda menggunakan perkataan itu untuk manusia di dalam air, ia tidak bermakna orang itu sedang terapung-apung, tetapi bermakna dia sedang berenang.

Begitu juga, jika anda gunakan perkataan ´yasbah´ untuk benda-benda di angkasa raya seperti matahari ia tidak bermakna ia terbang melalui angkasa tetapi ia bermakna berputar sambil bergerak melalui angkasa. Kebanyakan buku teks telah memasukkan hakikat matahari berputar di atas paksinya.

Putaran matahari di paksinya boleh dibuktikan dengan bantuan peralatan yang boleh mengimbas imej matahari ke atas meja supaya seseorang itu boleh mengkaji imej matahari tanpa menjadi buta. Kita boleh perhatikan matahari menyempurnakan putarannya setiap 25 hari, yakni matahari mengambil masa 25 hari untuk berputar di paksinya.

Sebenarnya, matahari bergerak melalui angkasa pada kelajuan lebih kurang 150 batu sesaat, dan mengambil masa 200 juta tahun untuk menyempurnakan satu pusingan mengelilingi pusat galaksi kita iaitu Galaksi Bima Sakti.

“Dengan ketentuan yang demikian, matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.” (Surah Yaa Siin: 40)

Ayat ini memberitahu fakta penting yang ditemui oleh astronomi moden, iaitu wujudnya orbit tersendiri untuk matahari dan bulan, dan mereka beredar melalui angkasa dengan pergerakannya sendiri. ´Tempat tetap´, di mana matahari bergerak menuju ke arahnya dan membawa bersamanya sistem matahari telah dikenal pasti tempatnya oleh astronomi moden. Ia digelar Solar Apex. Sistem matahari sesungguhnya bergerak di angkasa ke arah satu tempat di ´constellation of Hercules ´(alpha layer) yang telah dikenalpasti dengan sahih di mana letaknya.

Bulan berputar di paksinya dalam tempoh yang sama diambilnya untuk mengelilingi bumi. Ia mengambil masa 29 1/2 hari untuk menyempurnakan satu pusingan. Seseorang itu tentunya terkejut dengan ketepatan saintifik yang ditunjukkan dalam ayat-ayat al-Quran. Justeru, tidak perlukah kita fikirkan: Apakah sumber ilmu-ilmu yang terkandung di dalam al-Quran ini?´RUJUKAN...............


Tiada ulasan:

Catat Ulasan