Isnin, 30 Januari 2012

LGBT, agenda pinkwashing Israel

TIDAK pernah terfikir bahawa perjuangan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjalar ke Malaysia dan ironisnya telah ditakrifkan sebagai perjuangan hak kebebasan bersuara yang tidak sepatutnya disekat oleh kerajaan.

Sememangnya itu adalah fenomena global kerana di seluruh dunia kumpulan tersebut begitu lantang memperjuangkan hak mereka dan agak ironis sekali apabila ada antara mereka mengumpamakan kebangkitan LGBT selari dengan revolusi rakyat Arab yang cuba bebas daripada belenggu setelah ditindas oleh pemimpin diktator buat sekian lama.

Timbul kemusykilan mengapa dengan secara mendadak perjuangan LGBT mendapat simpati dan sokongan padu global bukan sahaja dalam kalangan individu atau pertubuhan malahan ada negara dengan secara rasminya menyokong dan memberi bantuan kepada aspirasi perjuangan LGBT.
Mungkin ada agenda tersirat atau pun sememangnya gerakan LGBT ini mempunyai matlamat yang sah, agak menarik untuk dibahaskan.

Tetapi satu perkara yang agak nyata adalah persepsi yang cuba digambarkan adalah bagi individu, pertubuhan atau negara yang menyokong perjuangan LGBT, mereka ini dianggap sebagai kumpulan yang menghormati proses demokrasi. Sebab itu dikaitkan perjuangan LGBT dengan hak asasi manusia dan revolusi rakyat Arab kerana kedua-duanya adalah sinonim dengan perjuangan demokrasi.

Paling membimbangkan adalah kayu ukuran yang digunakan untuk negara yang mempunyai undang-undang mesra LGBT dianggap sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem demokrasi yang matang.
Sebaliknya pula negara yang mengekang golongan LGBT dilabelkan sebagai pemerintahan ala diktator yang langsung tidak mempunyai sifat tolak ansur. Begitu mengaibkan sekali wujud pula masyarakat antarabangsa yang akur dengan persepsi songsang tersebut dan terperangkap dengan agenda yang lebih popular dikenali sebagai pinkwashing.

Rejim Israel umpamanya telah mengamalkan strategi pinkwashing ini dengan mempergunakan agenda LGBT untuk menggambarkan bahawa sistem demokrasi mereka adalah yang terbaik di rantau Asia Barat.
Tel Aviv dianggap sebagai antara bandar paling mesra LGBT dan rejim tersebut tanpa segan silu mempromosikan gambaran tersebut sebagai benar dan bukannya persepsi semata-mata. Tentera Israel daripada golongan LGBT tidak perlu menyembunyikan kecenderungan mereka kerana hak mereka diiktiraf. Malah Mahkamah Agung Israel turut mengiktiraf hak seperti pewarisan harta keluarga LGBT sama seperti keluarga lain.

Datuk Bandar Tel Aviv Ron Huldai dengan megah menyatakan bahawa Israel cuba membentuk model masyarakat yang mempunyai sifat toleransi, keterbukaan dan pluralisme dengan lebih memahami kehendak LGBT.

Jika kota London, Toronto atau New York dianggap sinonim dengan ungkapan bandar mesra LGBT, tidak keterlaluan jika diandaikan Tel Aviv telah berada jauh di hadapan di antara ketiga-tiga bandar raya tersebut.
Malah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika memberi ucapan di hadapan perwakilan Kongres Amerika Syarikat pada Mei tahun lepas dengan megah mengisytiharkan Israel adalah sebuah negara demokrasi contoh terbaik di Asia Barat berbanding negara lain yang merejam wanita, kumpulan gay dihukum gantung dan penganut agama Kristian dikekang aktiviti mereka.

Begitu jelas sekali strategi Israel yang mengamalkan pinkwashing bukan sahaja untuk menggambarkan demokrasi Israel adalah yang terbaik tetapi dengan sekali gus memburukkan negara Islam.
Rejim Israel sebenarnya mempergunakan isu LGBT sebagai alat perhubungan awam untuk mengaburi persepsi masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman yang telah diperlakukan terhadap rakyat Palestin terutama sekali di Tebing Barat dan Genting Gaza. Begitu pintarnya rejim tersebut mengamalkan pinkwashing walaupun undang-undang Yahudi itu sendiri tidak mengiktiraf hak kumpulan LGBT.

Strategi pinkwashing Israel telah diamalkan secara terancang sejak 2005 apabila rejim tersebut menilai isu LGBT boleh dipergunakan untuk menutup segala kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Kempen yang pada asalnya dinamakan Brand Israel disasarkan khas kepada mereka yang berumur di antara 18 hingga 34 tahun untuk menggambarkan Israel sebagai sebuah negara yang moden dan relevan.
Setiap tahun kempen Brand Israel dengan strategi pinkwashing dijalankan dengan begitu agresif kerana mempunyai pembiayaan kewangan yang kukuh dan menerima sokongan daripada kepimpinan tertinggi kabinet Israel. Malah pada tahun lepas Lembaga Pelancongan Israel membelanjakan hampir AS$90 juta secara khusus untuk menonjolkan Tel Aviv sebagai destinasi terbaik untuk percutian golongan gay.
Amat menyedihkan jika ada rakyat Malaysia yang terbawa-bawa dengan isu LGBT dengan mengaitkan dengan faktor hak asasi manusia dan menuduh sesiapa yang menentang hak LGBT adalah berlaku kejam. Rakyat Malaysia perlu berhati-hati dan menilai dengan teliti sama ada tuduhan tersebut berasas atau pun mempunyai agenda tersirat.

Amat mengaibkan pula jika ada masyarakat antarabangsa yang termakan dengan pinkwashing Israel yang cuba menutup kekejaman rejim tersebut terhadap rakyat Palestin yang bukan sahaja menahan atau membunuh rakyat Palestin tanpa usul periksa, malah merampas hak dan kedaulatan Palestin tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa.

Sokongan terhadap kebangkitan LGBT tidak boleh disandarkan semata-mata kepada hak kebebasan bersuara kerana kemungkinan tetap ada ia melanggar hukum agama, adat susila dan kehidupan yang lazim.
Bukan itu sahaja kerana ia mungkin dipergunakan oleh pihak tertentu untuk agenda global tersirat seperti pinkwashing Israel.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut
GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu
Majlis Profesor Negara

SUMBER...........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan