Sabtu, 30 Oktober 2010

Elaun guru takmir naik kepada RM100 pada 2011

Oleh Shamsul Kamal Amarudin


edisimingguan@bharian.com.my

2010/10/30

KUALA KANGSAR: Kerajaan akan menaikkan elaun guru takmir di seluruh negara daripada RM40 kepada RM100 berkuat kuasa tahun depan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Abdul Halid Sintol.

Katanya, Kementerian Kewangan bersetuju meluluskan kenaikan itu bagi menyelaraskan elaun yang diterima imam dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) seperti diumumkan dalam Bajet 2011, baru-baru ini. "Setiap guru takmir biasanya mengajar maksimum lapan kali sebulan bermakna mereka juga akan menerima elaun seperti guru KAFA. Pekeliling yang diterima JAKIM memaklumkan pelaksanaannya bermula Januari 2011," katanya berucap pada majlis Ijtimak Sanawi Guru Takmir Peringkat Perak di Auditorium Kolej Islam Darul Ridzuan, di sini kelmarin.




Abdul Halid berkata, persetujuan menaikkan elaun guru takmir yang juga tenaga pengajar diiktiraf JAKIM dan Jabatan Agama Islam negeri mengajar agama di masjid dan surau, menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam menegakkan syiar Islam.



Beliau berharap berita gembira itu akan disusuli usaha bersungguh-sungguh guru takmir untuk membantu memperkembang dan memperkasakan akidah serta ketinggian akhlak masyarakat seterusnya melahirkan kekuatan komuniti Islam di negara ini.


Terdahulu, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Mohd Yusop Husin, memohon JAKIM menambah guru takmir di negeri ini kerana jumlah sedia ada tidak mampu menampung keperluan di masjid sedia ada, iaitu hanya 299 orang berbanding 615 masjid, tidak termasuk surau.

“Kami berharap dapat mencapai nisbah dua guru takmir untuk sebuah masjid bagi memudahkan urusan pengajaran,” katanya
 
Gambar hiasan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan