Khamis, 21 Mac 2013

Wajib berjihad pertahan negara

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD dan JUANI MUNIR ABU BAKAR



SETELAH gagal menemui jalan damai melalui kaedah rundingan, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan anggota tentera menentang balas pihak musuh bertepatan dengan syariat Islam.

Ini berlandaskan firman Allah SWT yang bermaksud: Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (al-Hajj: 39)
Oleh itu, pasukan keselamatan yang berjuang dalam misi mempertahankan Lahad Datu daripada pencerobohan tentera Kesultanan Sulu disifatkan sebagai berjihad di jalan Allah SWT.

Bahkan Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia berpendirian bahawa anggota-anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan keselamatan rakyat dan negara di Lahad Datu dan Semporna, Sabah baru-baru ini tergolong sebagai syahid akhirat.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin berkata, kematian mereka dalam mempertahankan keselamatan rakyat dan negara adalah sangat mulia di sisi agama.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, pula berkata, terdapat lima jenis konteks jihad sebagaimana yang digariskan oleh ulama berlandaskan maqasid syariah (matlamat yang disyariatkan).

Beliau berkata, kategori jihad tersebut ialah mempertahankan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

Bagaimanapun katanya, dalam konsep Islam yang merupakan agama kesejahteraan juga mempunyai had yang membolehkan umat Islam untuk bertindak apabila tergugat.
"Islam adalah agama yang sejahtera. Bukan mengajar umatnya melakukan sebarang kekacauan atau keganasan. Walaubagaimanapun, terdapat had yang membolehkan kita bertindak apabila beberapa aspek ini telah diganggu gugat oleh pihak lain.

"Ini bertepatan dengan konsep jihad sebagaimana yang digariskan dalam maqasid syariah iaitu untuk mempertahankan agama Islam apabila ada yang cuba meruntuhkannya, mempertahankan nyawa apabila diancam, melindungi fikiran daripada sebarang unsur kotor, menjaga harta daripada dirampas dan mengekalkan keturunan daripada dipecahbelahkan.

"Sekiranya lima asas maqasid syariah ini digugat, maka Islam membenarkan umatnya mempertahankan diri selepas difikirkan tiada jalan penyelesaian lain," katanya.
Noh berkata, oleh itu, ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak perlu terlalu sedih dengan pemergian sanak saudara kerana gugurnya mereka sebagai jihad.

"Ahli keluarga dan sanak saudara yang reda dengan pemergian tersebut juga boleh dikategori sebagai jihad kerana merelakan keluarganya berjuang mempertahankan keamanan negara dan agama daripada diceroboh," jelasnya.

Nada sama turut dinyatakan oleh Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim dengan menyebut sepotong hadis yang bermaksud: "Barang siapa terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka ia mati syahid, sesiapa terbunuh kerana mempertahankan keluarganya maka ia mati syahid, barang siapa terbunuh mempertahankan agamanya maka ia mati syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan nyawanya maka ia mati syahid.

Jelas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak itu, menurut Kitab Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami' al-Tirmizi mati mempertahankan harta daripada dirampas secara zalim, mempertahankan maruah keluarga daripada dinodai, melindungi agamanya dan mempertahankan jiwanya dikira mendapat pahala syahid di akhirat.

"Dalam kitab Syarah Muslim, Imam Nawawi menjelaskan hadis Rasulullah SAW itu dengan menyatakan barang siapa yang mati mempertahankan hartanya dikira mendapat pahala mati syahid.
"Daripada hadis-hadis di atas jika anggota keselamatan Muslim berjuang kerana mempertahankan kedaulatan agama dan negara maka mereka mati dalam keadaan yang mulia dan mudah-mudahan mereka mendapat pahala syahid," jelas beliau.

Sehubungan itu, Zamri menjelaskan mengikut qias aulanya (lebih utama), agama dan negara adalah lebih utama untuk dipertahankan daripada harta kerana kedua-duanya aset sangat bernilai yang diamanahkan Allah kepada kita.

Ganjaran Allah

Malah Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, pihak yang mempertahankan negara tergolong dalam kumpulan memelihara agama. Sehubungan itu, gugurnya mereka di medan perang adalah suatu pengorbanan yang mulia dan bakal mendapat ganjaran.

Janji itu dijelaskan oleh sebuah hadis apabila Rasulullah SAW ditanya oleh seorang lelaki apakah ganjaran diterimanya sekiranya beliau gugur di medan perang, maka baginda menjawab: "Ke dalam syurga."

Fathul Bari berkata, terdapat banyak hadis lain menceritakan keistimewaan pengorbanan tersebut dengan menggambarkan pelbagai ganjaran termasuk habuan syurga yang bakal dianugerahkan terhadap mereka gugur untuk tujuan seumpama itu.

"Bagaimanapun gelaran syahid adalah hak Allah tetapi kita sebagai umat Islam sewajarnya mendoakan mereka supaya diletakkan bersama roh para syuhada di alam akhirat.
"Oleh demikian, kita seharusnya menghargai dengan mendoakan kebahagiaan mereka di akhirat. Tanpa mereka, siapa lagi yang hendak mempertahankan negara demi menjaga kesucian dan maruah agama Islam tercinta," kata beliau.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata ahli-ahli keluarga lapan perwira tersebut perlu reda dengan kejadian itu dan mereka patut berbangga terhadap pengorbanan yang dilakukan tersebut.
Menurut beliau, keluarga para sahabat Rasulullah terdahulu amat bangga sekiranya terdapat dalam kalangan mereka dikerah untuk ke medan perang kerana mengetahui ganjaran besar yang bakal diterima.

Doa dan sokongan terhadap para pasukan keselamatan yang sedang berjuang juga penting agar mereka bersemangat tinggi untuk mempertahankan tanah air daripada pencerobohan, sehubungan itu Fathul Bari mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan solat Hajat untuk memohon kepada Allah SWT agar para perajurit diberikan kekuatan.

"Jangan kita melakukan pelbagai tohmahan terhadap pasukan keselamatan, sesungguhnya tindakan itu bakal melemahkan semangat mereka.

"Adalah sangat biadap sekiranya kita menuduh macam-macam dakwaan sedangkan mereka mempertaruhkan nyawa, berbanding kita yang hidup bersenang-lenang.
"Bagi kata-kata semangat dan berdoa, insya-Allah dengan izin-Nya tanah air selamat daripada pencerobohan," jelas beliau.

Ajaran Islam

Fathul Bari berkata, tindakan kerajaan menangani isu pencerobohan pengganas dari Sulu bertepatan dengan syariat Islam.

Hal itu boleh dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 9 dan 10 yang bermaksud: Dan jika dua pihak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikan di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka perangi yang zalim itu sehingga kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikan di antara keduanya dengan adil menurut hukum Allah serta berlaku adil kamu, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Katanya, tempoh rundingan hampir tiga minggu yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia tidak diendahkan oleh pengganas Sulu kemudian mereka menyerang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyebabkan lapan terkorban telah memaksa negara melancarkan serangan Ops Daulat.

"Kerajaan telah beri masa untuk pengganas Sulu meletak senjata tetapi mereka enggan. Jadi tindakan gempur sebenarnya bertepatan dengan suruhan Allah menerusi surah al-Hujurat itu.
"Kalau pencuri Islam menceroboh masuk ke kediaman yang pemiliknya juga beragama Islam, ia dianggap penceroboh maka kita wajib cegah.

"Demikian juga seperti berlaku pengganas Sulu beragama Islam melakukan pencerobohan bersenjata ke atas negara Islam, sewajarnya kerajaan wajib melakukan tindakan segera," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan