Selasa, 26 Mac 2013

Tugas imam kian mencabar

Oleh ABD. RAZAK OSMAN


Sebahagian imam dari seluruh negara yang menyertai persidangan peringkat kebangsaan di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
TANGGUNGJAWAB imam masjid di seluruh negara ketika ini begitu mencabar kerana mereka bukan hanya setakat perlu mengimamkan solat berjemaah di masjid tetapi juga perlu mempunyai perancangan teliti tentang hala tuju pentadbiran masjid yang lebih berkesan.

Selain perlu pandai menyesuaikan diri dan disenangi oleh anak-anak kariah, golongan imam juga perlu mempunyai perancangan ke arah memastikan masjid dan surau dimakmurkan oleh masyarakat Islam bagi melahirkan insan yang bertakwa dan beramal soleh.

Imam-imam juga perlu sentiasa berusaha mewujudkan suasana harmoni dan mengelak daripada menyinggung perasaan anak-anak kariah dalam ceramah termasuk ketika menyampaikan khutbah Jumaat.

Bagi memastikan hal-hal itu diberi perhatian serius, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah (JHEIK) menganjurkan Persidangan Imam Besar Peringkat Kebangsaan di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Seramai 110 peserta, terdiri daripada imam masjid negeri dan daerah seluruh negeri menyertai persidangan itu sempena Majlis Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2013.

Ketua Bahagian Pengurusan Masjid JHEIK, Sheikh Suhaimi Ahmad berkata, pihaknya gembira kerana Kedah dipilih menjadi tuan rumah menjayakan persidangan itu.

"Bila imam-imam masjid berkumpul di tempat seperti ini, berbagai perkara baharu dapat dibincangkan dari hati ke hati," katanya.

Menurutnya, langkah Jakim mengadakan persidangan itu dapat menyelesai banyak masalah yang timbul selain membaiki pengurusan institusi masjid di negara ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, ceramah disampaikan oleh pelbagai pihak boleh dijadikan panduan bagi memperelokkan lagi mutu pentadbiran masjid di seluruh negara.
"Bila semua imam mendapat ilmu berkaitan, mereka tentu lebih bertanggungjawab bagi menggerakkan institusi masjid negeri dan daerah secara lebih berhemah," katanya.

Menurutnya, program itu berjaya memupuk semangat silaturahim dan ukhuwah Islamiah dalam usaha mempertingkatkan hal-hal berkaitan pengimarahan masjid dan pembangunan ummah.
"Saya puas hati kepada semua peserta memberi komitmen 100 peratus semasa mengikuti persidangan itu," katanya lagi.

Datuk Mohamad Hashim, 47, selaku Imam Masjid Al-Azim Negeri Melaka berkata, program itu membolehkannya mendapat maklumat terkini dan berjaya memberi bimbingan kepada golongan imam untuk merancang dan menyelesaikan permasalahan yang timbul membabitkan anak kariah.
Imam Masjid Negeri Sultan Abu Bakar Johor Bahru, Khalid Sono, 43, pula berkata, institusi masjid pasti menjadi lebih ceria jika pihak pengurusannya terus dibekal dengan maklumat berguna.
"Saranan penceramah di persidangan itu agar imam tidak menyinggung mana-mana pihak semasa menyampaikan khutbah Jumaat perlulah diambil perhatian serius," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika berucap merasmikan persidangan itu berkata, fungsi masjid menjadi lebih berkesan jika setiap masalah berbangkit diselesaikan secara perbincangan.

"Kita mahu masyarakat tempatan menyayangi masjid dan semua imam dilantik dijadikan tempat rujukan ke arah penyelesaian melibatkan perbalahan umat Islam," katanya.

Beliau memberitahu, dalam usaha memakmurkan masjid dan pendidikan Islam di seluruh negara, Kerajaan Pusat menyediakan peruntukkan lebih RM500 juta pada tahun ini manakala sebanyak RM128 juta disalurkan untuk imbuhan kepada 14,254 imam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan