Pasang surut budaya boikot
Tindakan boikot semakin popular sejak akhir-akhir ini di negara ini, terutamanya berikutan serangan tentera rejim Zionis Israel terhadap Palestin sehingga mengakibatkan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa terkorban.
Boikot bermaksud pemulauan atau tindakan untuk tidak menggunakan, membeli, berurusan dengan seseorang atau sesuatu organisasi sebagai tanda protes terhadap produk keluaran mereka.
Ia juga merupakan satu tindakan untuk menunjukkan rasa tidak berpuas hati atau bersetuju dengan perbuatan yang dilakukan oleh sesuatu pihak.
Namun malangnya, bagaikan fenomena di negara ini, budaya boikot dilihat seperti mempunyai pasang surut dan hanya diamalkan mengikut musim.
Sekiranya isu tersebut telah reda, masyarakat mula lupa akan isu boikot yang mereka sendiri sering bahaskan sebelum ini.
Firman Allah SWT bermaksud: Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara-perkara kebaikan dan takwa, janganlah kamu saling tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. (al-Maidah: 2).
Ayat tersebut menuntut kita supaya saling membantu dalam segala perkara yang bersangkut paut dengan kebaikan dan kemaslahatan umat Islam dalam apa jua bentuk mengikut kemampuan masing-masing.
Ditindas
Apatah lagi dalam situasi hari ini kita melihat saudara seIslam ditindas oleh musuh Islam, oleh itu menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk menghulurkan pertolongan, sama ada dari aspek sokongan moral, kewangan dan tenaga.
Dalam situasi hari ini, kita melihat negara umat Islam masih lagi kekurangan dalam aspek ketenteraan.
Walaupun tidak dinafikan terdapat sesetengah negara Islam yang memiliki kelengkapan senjata dan ketenteraan, namun itu bukan penyelesaian terbaik untuk mendamaikan perbalahan.
Umum sedia maklum, tuntutan jihad adalah mengikut kemampuan. Oleh itu boikot merupakan antara senjata paling ampuh yang mampu melumpuhkan pihak musuh.
Melalui usaha boikot juga dilihat berkesan sekurang-kurangnya dalam menzahirkan sokongan moral kepada umat Islam yang ditindas.
Malah, sejarah juga telah membuktikan bahawa boikot adalah senjata ampuh yang memberi kesan mendalam. Ia sekali gus dapat menyekat bantuan kewangan secara tidak langsung yang disalurkan kepada Israel yang berniat jahat untuk memusnahkan umat Islam di bumi Palestin.
Hasil daripada kesedaran kita dalam memboikot barangan buatan Yahudi secara konsisten pastinya mampu menyelamatkan jutaan nyawa yang tidak bersalah.
Bagaimanapun, kempen ini tidak mungkin terlaksana jika tidak mendapat kesatuan daripada seluruh masyarakat untuk bersama menyedarkan orang ramai agar turut memberi sokongan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan