TITAH DIRAJA
DULI YANG MAHA MULIA
PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA NAZRIN SHAH
DI KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI
SELURUH MALAYSIA.
TARIKH: 26 SEPTEMBER 2011 (ISNIN); MASA: 11.30 PAGI
TEMPAT: DEWAN MERDEKA
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR.
Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan Nya.1 Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk menyempurnakan satu tanggung jawab fardu
kifayah di pagi ini. Dengan segala kerendahan sifat – kelemahan kudrat, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua.
2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.
“ WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI
Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setiapada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undangundangdan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkandi masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnyamemeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman didalam negeri.”2
3. Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.
Status Ketua Utama Negara bukan sekadar simbol hiasan. Status Ketua Agama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggung jawab besar memenuhi amanah. Terkandung lima kata kunci dalam sumpah jawatan tersebut; ia itu: Undang-undang, Perlembagaan Negeri, Agama Islam, Adil dan Aman.
4. Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27 September ini, dianjurkan, menyusuli ketetapan yang telah diperkenankan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja. Menjunjung titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Patik merafak sembah junjungan kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku, memberikan pengiktirafan ke atas batang tubuh Patik, menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku, untukPatik menzahirkan Titah Diraja atas tema “MAJLIS AGAMA ISLAM PEMACU TRANSFORMASI UMMAH”.
5. Setiap yang tersurat dizahirkan dari yang tersirat. Ketetapan Majlis Raja-Raja memperkenankan kelangsungan Kongres ini, perlu direnung secara tajam, diamati secara halus dan diselami secara mendalam; betapa keprihatinan yang tersirat dalam ruang minda Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Melayu tentang senario semasa negara; senario semasa negara yang harus dirangkaikan dengan lima kata kunci yang terkandung dalam sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong; senario semasa negara berkaitan Islam, survival ummah dan perpaduan ummah, soal keluhuran
Perlembagaan, soal kedaulatan undang-undang, soal keadilan, soal keamanan; serta lebih utama keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia itu, sebagai pewaris kepada Tujuh Wasiat yang telah diperkenankan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu oleh sembilan Raja Melayu pada tarikh 5 Ogos 1957, lalu memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1 Al-Quran – Saba – 34:1
2 Sumpah Jawatan Yang Dipertuan Agong, Perkara 37, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perlembagaan Persekutuan.
(EDARAN: 26.9.2011 – 9.30 am)
2
6. Perlembagaan Persekutuan secara nyata menetapkan kewajipan penting Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, selaku Ketua Utama Negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa. Tanggung jawab penting tersebut didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di Negeri-negeri. Tanggung jawab penting tersebut telah sekian lama diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu telah menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan kesucian Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam dilindungi dari
penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan. Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Negeri menggubal undang-undang untuk mempertahankan agama Islam dan penganutnya dari dipengaruhi unsur-unsur agama lain.
7. Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara. Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka3. Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 14094, Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu5, dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)6 Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara7.
8. Risalah Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan rohani, begitu serasi - begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu. Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia. Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala8. Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat9. Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru10.
9. Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu. Ia telah mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan umat, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur11. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya12. Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan susila
serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan13.
10. Beberapa pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan identiti baru. Raja dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)”14. Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia15. Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
3 Mahayuddin Haji Yahya, Penyebaran Islam Di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah Dan
Implikasinya dalam Polemik Sejarah Malaysia – Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008) 31
4 Encyclopedia of Islam, 1218
5 Abdul Monir b. Yaacob, Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka Dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1. (Kuala
Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 319
6 Abu Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya, (Kuala Terengganu:
Pustaka Damai, 1986) 8.
7 Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam Di Malaysia”.
8 A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan I Malaysia, (Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003) 109.
9 Ibid 105.
10 Ibid.
11 Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 19.
12 Ibid 22
13 Ibid 20.
14 Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di Malaysia”, Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia,
(Jabatan Sejarah, Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994), 1.
15 Muhammad Yussoff b. Hashim, Kesultanan Melaka dan Budaya Politik dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur:
Arkib Negara Malaysia, 2008) 192.
(EDARAN: 26.9.2011 – 9.30 am)
3
melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala16.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan