Selasa, 3 Mei 2011

TEKS UCAPAN SULUNG KETUA PENGARAH JAKIM





HALATUJU JAKIM DI BAWAH PIMPINAN BARU

TEKS UCAPAN Y.BHG TUAN HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
PADA 25 APRIL 2011 JAM 9.30 PAGI BERTEMPAT
DI MASJID PUTRA, PUTRAJAYA



بسم الله الرحمن الرحيم
Bermaksud:“Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan ( pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
قال رسول:
ayat 2
Bermaksud:“Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”(Riwayat al-Bukhari)
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على امام المتقين وقائدالمجاهدين وعلي اله واصحابه واتباعه ومن دعا بدعوته الى يوم الدين

-          Yang dihormati Saudara Pengacara Majlis;

-          Y. Bhg Tan Sri Datuk Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad, Imam Besar Masjid Negara;

-          Yang Berusaha Tuan Faisal bin Ahmad Sabri, Penasihat Undang-Undang Jakim;

-          Yang Berusaha Tuan Haji Abd Halid bin Sintol, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) ;

-          Yang Berusaha Tuan Haji Razali bin Haji Shahbudin, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) ;

-          Yang Berusaha Encik Mohd Noor bin Abd Hamid, Pengarah Kanan (Pengurusan);

-          Y. Bhg Datuk Haji Che Mat bin Che Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI);

-          Yang Berusaha Pengarah-Pengarah Bahagian;

-          Seterusnya Y. Bhg Tan Sri/Y. Bhg Datuk/Dato’/Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Pegawai Jakim yang dikasihi dan dirahmati Allah sekelian.  


Y.Bhg Tan Sri/ Datuk/ Dato’/ Datin/ Tuan-Tuan/ Puan-puan yang dirahmati Allah SWT,

1.                Sebelum saya meneruskan ucapan, saya ingin tanya saudara saudari, dan saudara saudari jawablah dengan jujur. Pertanyaan saya sama ada saya layak memimpin saudara saudari, kalau saudara saudari menjawab tidak, jawatan KP Jakim ini saya akan serah kepada orang lain.
Sekarang saya tanya adakah layak saya memimpin saudara saudari…jawapan
adakah layak saya memimpin saudara saudari…jawapan
adakah layak saya memimpin saudara saudari…jawapan

Terima kasih atas pengakuan dan pengiktirafan saudara saudari.

Hari sabtu semalam iaitu hari pertama saya menjadi KP saya datang pejabat sekejap, lepas tu pergi DQ menyambut Sheikh Sudais, malam hadir perasmian seminar  Berpegang Kepada Al Quran dan As Sunnah di Hotel Royale Chulan. Jam 12 mlm  hantar sheikh ke KLIA jam 3 pagi baru sampai rumah. Itulah tugas hari pertama saya.

Sewaktu menyambut Sheikh Sudais di DQ, Dato’ Mahmud Abdul memaklumkan hari ni adalah hari pertama tugas saya sebagai KP, dia peluk saya sekali lagi, dan dia kata permulaan tugas saya yang baik kerana mula dengan al Quran iaitu DQ, saya kata permulaan yang yang baik juga kerana iringi hari pertama saya ialah Sheik Sudais. Dato’  Wan pun pernah sebut dia mengakhiri tugas dia dengan kedatangan Sheikh Sudais, siapa yang sangka peristiwa itu, itu merupakan rezeki yang kita tidak sangka-sangka, kerana jemputan Jakim kepada Sheikh Sudais bukan waktu ini.


2.           Terlebih dahulu, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan Taufik dan InayahNya dapat kita berkumpul dan berhimpun pada pagi yang indah dan permai ini, dalam usaha memanfaatkan waktu, ruang dan peluang ini untuk menyatakan penghargaan di atas segala sumbangan bakti yang telah ditaburkan disamping menggarap halatuju dan harapan baru masa depan bersama supaya lebih cemerlang dan gemilang.  Selawat dan salam seikhlasnya untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan seluruh sahabat Baginda yang telah banyak melakukan pengorbanan dan melestarikan perjuangan menegakkan Islam sebagai agama pilihan terbaik di maya pada ini. 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kesediaan YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,  Y.Bhg Tan Sri/Datuk/Dato’/Datin/Tuan-tuan/Puan-puan dan seluruh warga Jakim, hadir dan memeriahkan majlis ucapan sulung saya sebagai Ketua Pengarah Jakim yang baru dilantik. Majlis ini amat bermakna dan bersejarah bagi diri saya, Jakim dan kita semua untuk mendaulatkan Islam dan mensejahterakan ummah.

3.                Di atas keberkatan kalimah yang suci dan agung,  saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas kepercayaan dan persetujuan YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam pemilihan saya sebagai KP Jakim. Saya telah membuat kunjungan hormat kepada PM pada 22/4/11 hari jumaat lepas. Kepada YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri; saya telah membuat kunjungan hormat pada 21/4/11. Y. Bhg Tan Sri Mohd Sidek bin Hassan, Ketua Setiausaha Negara; saya telah membuat kunjungan hormat pada 21/4/11. Selain itu saya ingin rakamkan juga penghargaan kepada Y. Bhg Dato’ Sri Abu Bakar bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; Y. Bhg Dato’ Haji Wan Muhammad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Mantan Ketua Pengarah Jakim; dan lain-lain individu yang terlibat menguruskan perlantikan ini.

Tujuan perjumpaan

4.        Perjumpaan ini adalah perjumpaan pertama selepas saya memegang
Jawatan KP JAKIM.  Sebelum ini kita kerap berjumpa dengan pegawai-pegawai,  
baik secara informal atau pun formal di dalam mesyuarat-mesyuarat atau majlis-majlis rasmi JAKIM.
-           Bukan senang untuk berjumpa saudara/saudari dalam satu-satu masa terutama secara formal.
-           perjumpaan  ini,  saya difahamkan  dihadiri   oleh semua pegawai  Gred 41 ketua Unit ke atas, saya ingin mengambil peluang ini untuk  berkongsi  fikiran, pandangan dan harapan terutama dari segi hala tuju, pencapaian, serta masa depan  JAKIM.

Ucapan  perghargaan kepada bekas KP.

5.        Menjadi resam dunia dan tradisi setiap pemimpin akan pergi dan akan menyusul pula penggantinya.  Begitulah apa yang berlaku dalam Jakim dan Alhamdulillah, proses transisi KP Jakim telah berjalan dengan begitu lancar, sempurna dan teratur.  Saya amat gembira dan berterima kasih kerana pimpinan-pimpinan utama Jakim terdahulu telah berjaya meletakkan visi, misi, halatuju, landasan dan gerak kerja yang jelas dan tepat untuk diteruskan oleh saya dan pelapis kepimpinan di masa akan datang.Saya amat terhutang budi di atas sumbangan pemikiran, tenaga, bimbingan tunjuk ajar dan daya juang kepimpinan terdahulu yang telah berjaya melonjakkan kewibawaan (kreadibiliti) dan menjulang pelbagai kejayaan serta kecemerlangan sebagai agensi Pusat yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Hal Ehwal Islam di negara ini. Tiada bahasa yang paling indah untuk diucapkan selain doa dan harapan agar segala sumbangan dan jasa bakti tersebut dirahmati dan diberkati Ilahi serta tergolong sebagai amal khair yang mendapat ganjaran berganda dari Allah SWT.
 Ucapan Terima Kasih saya kepada bekas-bekas KP:
(sebut jasa-jasa yang lalu)
(i)                Tan Sri Abdul Hamid Othman
(ii)              Dato Zainal Abidin Kadir
(iii)            Allahyarham Dato Haji Mohd Shahir- al fatihah
(iv)            Dato Mustapa Ab. Rahman
(v)              Dato Haji Wan Mohammad

 Penghargaan kepada pegawai-pegawai.    

6.        Penghargaan kepada pegawai-pegawai JAKIM ( sebut kerja-kerja yang dibantu)
            Us Halid Sintol,
            En Mohd Nor;
            Tuan Haji Yusop
HJ Awang
-           Harapan supaya pegawai-pegawai terus memberikan sokongan yang sama dimasa depan.

7.     Sepertimana kita maklumi bahawa kepimpinan dalam Islam adalah satu amanah dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.  Tersalah bawaan kepimpinan akan menyebabkan kita menyesal dan menerima penghinaan di akhirat kelak.  Terdapat banyak ayat al-Quran dan al-Hadith yang membicarakan persoalan kepimpinan dan risiko kepimpinan ini.  Oleh itu, secara jujur dan ikhlas, saya  mengakui bahawa saya bukanlah yang terbaik di kalangan yang terbaik, sekadar ingin mencurahkan bakti sekadar yang terdaya dan termampu untuk mengangkat martabat umat Islam di negara ini.  Saya mahu sentiasa dan terus mengungkapkan kalimah keramat yang dilafazkan oleh Syaidina Abu Bakar As-Siddiq melalui kata-katanya: “Jika kamu melihat daku dalam kebenaran, maka bantulah daku, tetapi jika kamu melihat daku melakukan kebatilan, maka perbaiki dan luruskanlah daku.”  dan kata-kata sebandingan yang ditegaskan oleh Syaidina Umar Al-Khattab: “Sesiapa yang melihat daku melakukan suatu penyelewengan maka luruskanlah daku”.

8.     Model kepimpinan dan pengurusan terbaik sudah tentulah perlulah diteladani daripada konsep kepimpinan baginda Nabi SAW. Kepimpinan Nabi SAW penuh dengan nilai strategik, ledakan semangat sepasukan, prinsip kepimpinan melalui teladan dan sebagainya. Peristiwa Hijrah Rasul SAW adalah sebuah kisah yang amat signifikan kepada kejayaan kepimpinan Nabi. Nabi SAW telah berjaya memobilasi peranan sahabat-sahabat Baginda untuk menjayakan matlamat hijrah. Lihat saja bagaimana Saidina Abu Bakar, Saidina Ali, Asma’ bt. Abu Bakar dan sahabat-sahabat yang lain yang sangat setia menjalankan tugas masing-masing dengan penuh taat dan setia. Begitulah strategiknya kepimpinan Nabi SAW sehingga dapat meneroka sebuah Negara Madinah. Akhirnya Nabi SAW telah berjaya mencapai visi agungnya iaitulah membawa umat manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, saya amat berkeyakinan tinggi, sekiranya manhaj Rasul SAW ini dapat difahami, dihayati dan diaplikasi oleh kita semua di setiap peringkat, JAKIM akan mengorak langkah lebih jauh ke hadapan.


9.        Saya juga yakin bahawa kejayaan dan kecemerlangan Jakim selama ini bukan sahaja terletak kepada kewibawaan pimpinan yang menerajui Jakim tetapi juga hasil sokongan, dokongan dan sumbangan padu yang telah diberikan oleh semua peringkat di kalangan pegawai dan kakitangan Jakim. Oleh itu, pada kesempatan yang mulia ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan Jakim yang telah dan terus memberikan sokongan, dokongan, kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Jakim. Marilah kita bersama-sama mengekalkan komitmen dan partisipasi ini dalam rangka terus membina dan memantapkan kerjasama, sokongan, kepercayaan, kasih sayang, penghargaan, penghormatan dan pengorbanan di kalangan kita. Marilah kita renung dan ambil semangat seperti apa yang telah disebutkan oleh Ahmad Abd al-Mun’im al-Badri dalam bukunya yang bertajuk: “ TANZIM HARAKI DALAM ISLAM “ yang mensyaratkan kejayaan sesebuah organisasi terletak kepada dua perkara iaitu Pertama: Pemimpin (qiadah) yang berjaya dan memiliki dua belas (12) persyaratan utama meliputi antara lainnya aspek taklifi, akhlak, keilmuan, kerohanian, mental, pengurusan dan fizikal dan Kedua: Pengikut (Jundi) yang thiqah kepada pimpinannya, taat dengan penuh keredhaan dan ketenangan; kepercayaan yang mendalam terhadap kepimpinan dari segi kelayakan dan keikhlasannya; melahirkan kasih sayang, penghargaan dan penghormatan;serta melahirkan kesediaan penuh untuk melaksanakan arahan tanpa ragu-ragu dan bertangguh

Peringatan mengenai  hala tuju JAKIM.

10.      Tuan-tuan/puan-puan.  Tidak lama dahulu,  saya telah diberitahu oleh
seorang  kawan mengenai satu dialog yang menyentoh JAKIM yang berlaku di
sebuah institut latihan awam beberapa tahun sebelumnya . Institut latihan
tersebut telah menganjur satu kursus yang dihadiri oleh ramai penjawat-penjawat awam dari berbagai agensi Kerajaan. Semasa coffee break,   seorang penceramah   dan seorang peserta kursus telah bersama-sama kebilik air. Mereka kemudianya bersama-sama ke dewan minuman. Semasa berjalan, kedua-duanya bersalaman dan bertanya khabar.  Dialog yang berlaku antara penceramah dan peserta kursus adalah lebih kurang beginilah:

Pensyarah              :           “Assalamualaikum. Anta dari Jabatan mana? (Pensyarah itu perasan peserta kursus itu memakai songkok).
Peserta Seminar  :           “Dari JAKIM”  jawab peserta seminar itu.
Pesyarah                :           “Masyalaah. Anta dari JAKIM”.
Peserta Seminar  :           ‘Kenapa tuan?’
Pensyarah              :           “Ana kagum. Anta dari sebuah agensi pusat yang  bertanggungjawab mengenai hal ehwal  Islam di negara ini. Satu-satunya jabatan …..Hebat tu…ana rasa sepatutnya  BPR (sekarang SPRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan JPJ  diletakkan di bawah JAKIM…Baru aman kita (sambil ketawa).  


11.      Tuan-tuan/puan-puan.   Walaupun pensyarah tadi melawak, saya rasa ada beberapa kesimpulan yang boleh kita buat. Saya beranggapan bahawa walaupun sebahagian besar pegawai-pegawai awam tidak berapa jelas mengenai fungsi dan peranan sebenar JAKIM, mereka bagaimanapun meletakkan suatu nilai yang tinggi terhadap JAKIM.  Orang ramai melihat pegawai-pegawai JAKIM sebagai mempunyai ilmu agama yang tinggi dan berakhlak mulia. Bahkan ada yang beranggapan semua pegawai JAKIM adalah hafiz.   Ini adalah  sebahagian dari konotasi label  “ustaz” atau “ustazah” di JAKIM.   Persepsi ini bagaimanapun mempunyai risiko yang   besar. Umpamanya apabila sesuatu kejadian keruntuhan moral berlaku seperti pembuangan bayi di sana sini,   maka  orang ramai melihatnya sebagai kegagalan di pihak institusi agama dalam membendung kejadian tersebut daripada berlaku.

12.      Berpegang kepada imej ini, saya ingin mengingatkan tuan/puan bahawa
begitulah besarnya tanggungjawab kita menguruskan hal ehwal agama di negara ini dan dalam masa yang sama cabaran-cabaran yang kita hadapi   juga adalah besarnya.  

13.      Tuan-tuan/puan-puan. Salah satu cara orang ramai mengenali JAKIM dengan cepat adalah melalui laman web JAKIM. Melihatkan bilangan hits yang direkodkan di laman web JAKIM, saya rasa laman web kita  adalah agak popular dan dikunjungi oleh ramai orang setiap masa. Dengan yang demikian adalah perlu laman web JAKIM sentiasa dikemaskinikan baik dari persembahan atau pun maklumat. Laman web adalah gerbang maklumat yang penting dan dilayari orang ramai seperti pelajar-pelajar IPTA termasuk pelajar-pelajar di seberang laut, pegawai-pegawai perwakilan Malaysia, penyelidik-penyelidik asing dan sebagainya.

14.      Dengan yang demikian, saya ingin melihat  laman web kita ditingkatkan lagi maklumat yang mencukupi mengenai JAKIM dan Bahagian-bahagiannya. Sehubungan dengan ini, saya ingin meminta Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat  mengambil tindakan segera meningkatkan laman web JAKIM, dengan mengemaskinikan maklumat lain mengenai   peranan dan fungsi JAKIM serta fungsi Sektor dan Bahagian-bahagian.

15.      Kandungan dan paparannya pula tak perlulah terlalu fancy atau terlalu bergaya, tetapi mestilah menarik. Samalah seperti seorang perempuan, tak perlulah mekap tebal-tebal, cukuplah nipis-nipis sahaja sekadar sedap mata memandang.   Orang “mat salleh” kata asalkan presentable dah OK lah tu.  Sebab apa, ada setengah-setengah suami rimas tengok isterinya bermekap tebal.  Jadi saya harap semua Pengarah-pengarah Bahagian memberikan kerjasama sewajarnya kepada Bahagian Pengurusan Maklumat untuk meningkatkan laman web kita. 

16.   Selain dari pemerhatian ke atas laman Web Jakim, saya juga ingin menyentuh mengenai laman paparan mengenai Islam yang disediakan oleh Wikipedia  bertajuk Islam in Malaysia. Paparan Wikepedia ini ada di halaman yang menyenaraikan laman-laman web organisasi lain mengenai Islam di muka surat yang sama apabila kita memasuki alamat web JAKIM. Di web jakim sudah ada tapi saya hendak diperkasa lagi.
   
17.  Saya sebenarnya kurang  jelas mengenai identiti serta organisasi mereka, tetapi daripada maklumat yang saya perolehi, mereka ini menyediakan artikel artikel  di dalam web mereka di bawah berbagai tajuk yang  diterima daripada sumbangan orang ramai secara sukarela, selain mereka sendiri mengarang artikel-artikel tersebut. Mereka menganggap mereka sebagai “Free Encylopedia”.  Ertinya, artikel-artikel tersebut bukanlah artikel rasmi yang dikeluarkan oleh badan-badan rasmi Kerajaan atau bukan-Kerajaan. Dengan itu ketepatan kandungan artikel tersebut boleh dipertikaikan. Saya yakin ramai orang terkeliru  dengan organisasi mereka dan menganggap artikel-artikel yang disiarkan oleh Wikipedia adalah betul, tepat dan berotoriti.  Persepsi demikian adalah tidak tepat dan tidak boleh dipercayai sepenunhya.

18. Oleh itu kita jangan terpengaruh dengan mereka, sebabnya kita tidak tahu apakah agenda mereka sebenarnya, kadang-kadang yang tersirat itu lebih berbahaya dari yang tersurat.

19.  Sehubungan dengan ini saya ingin meminta Pengarah-Pengarah di   Sektor Dasar mengkaji kandungan di dalam artikel Islam in Malaysia itu dari segi ketepatan kandungannya serta melihat implikasi artikel tersebut kepada kita.  Sekiranya tidak berapa tepat, maka perlulah kita memberitahu mereka supaya membuat pembetulan sewajarnya. Kita bagaimanapun harus faham bahawa kita tidak boleh memaksa mereka membuat pembetulan seperti yang kita kehendaki, tetapi dengan pendekatan kemanusiaan yang betul, kita mungkin berjaya. 

20.     Berhubung dengan perkara ini juga, saya yakin tidak ada orang lain lagi yang akan mengambil tindakan memantau artikel-artikel yang diterbitkan oleh badan-badan seperti ini kecuali kita. Tugas ini  tidaklah termasuk di dalam senarai tugas kita, tetapi saya harap ini adalah suatu ibadah besar bagi kita semua, dan Insyaallah kita akan diberkati. 


21.      Tuan-tuan/puan-puan.  JAKIM adalah sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab  menguruskan hal ehwal agama di negara ini. Dalam konteks perkhidmatan awam di Malaysia,  agensi pusat bermakna agensi yang bertanggungjawab merancang dasar, memantau, menyelaras dan menilai pelaksanaan dasar berkenaan. Sementara agensi pelaksana pula adalah agensi yang melaksana dasar-dasar yang telah dibuat oleh agensi pusat tersebut.

22.      Walaupun  pemisahan kuasa antara agensi pusat dan agensi pelaksana adalah jelas, ada juga agensi-agensi pusat  bertindak melaksanakan dasar-dasar yang dibuatnya sendiri. Tetapi secara keseluruhannya, agensi-agensi berkenaan lebih banyak terlibat dalam membuat dasar berbanding melaksanakan dasar-dasar tersebut.

23.      Sehubungan dengan ini, saya harap tuan-tuan/puan-puan jelas mengenai perbezaan diantara  taraf,  bidang kuasa dan status agensi pusat dan agensi pelaksana tersebut. Pemahaman ini akan memudahkan kita melaksanakan tanggungjawab kita, dengan membezakan antara aktiviti utama kita dengan aktiviti sampingan. Kita mengakui bahawa melaksanakan aktiviti-aktiviti sampingan kadangkala mengambil masa yang lebih dan menjejaskan kualiti pelaksanaan aktiviti utama kita. Seboleh mungkin, kaji balik kenapa kita tidak terlibat dengan aktiviti pelaksanaan, tetapi menumpukan kepada aktiviti- aktiviti utama kita sebagai agensi pusat. Kita boleh serahkan aktiviti-aktiviti tertentu untuk dilaksanakan oleh kawan-kawan kita, sementara kita mengawasi dan memantau pelaksanaannya.

24.      Tuan-tuan/puan-puan. Sebagai sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab mengenai islam,  JAKIM membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan yang diperlukan serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran yang sedia ada dari masa ke semasa dalam usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah umat Islam di negara ini. Bagi menjalankan  misi ini, berbagai-bagai program sedang    dilaksanakan. Ini termasuklah  program-program yang dijalankan melalui hubungan kerjasama  di peringkat serantau dan antarabangsa.  Di samping itu, JAKIM juga bertindak sebagai  pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam  untuk digunakan oleh mereka yang berkenaan di seluruh dunia. Ini adalah fungsi-fungsi utama JAKIM dan saya yakin tuan-tuan/puan-puan sangat jelas mengenai fungsi dan peranan ini.


Memahami sejarah

Tuan-tuan/puan-puan

25.    Kita semua selaku pemain yang menggerakkan JAKIM perlu mengenal sejarah perjuangan JAKIM. Organisasi yang amat kita sanjung ini sebenarnya telah bermula pada tahun 1968 hasil resolusi Persidangan Majlis Raja-Raja Malaysia Kali ke-81 yang telah bersetuju memutuskan akan keperluan pengwujudan suatu badan bagi menyelaraskan urusan hal ehwal Islam di Malaysia. Selepas itu, tertubuhlah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 1 Julai 1969, dan serentak dengan itu, tertubuh juga sebua urus setia kepada MKI dan urus setia itu telah berkembang sebagai Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kemudian, Bahagian Ugama ini terus diperkasakan pada tahun 1985 dengan nama BAHEIS, JPM, dan akhirnya mulai 1997 BAHEIS terus dinaik taraf menjadi sebuah Jabatan iaitulah JAKIM.

25.    Sebagai urus setia kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), JAKIM memainkan fungsi besar dalam mentadbir dan membangunkan agama Islam dan hal ehwal umat Islam di Malaysia. Tugas ini adalah sudah tentu bagi mempertahankan agama Islam di Malaysia yang telah diiktiraf dalam Perlembagaan ersekutuan Perkara 3(1) yang telah jelas memperuntukkan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan.

26.    Oleh itu, mengapa perlu orang JAKIM mengenal sejarah JAKIM? Inilah kekuatan dan aspirasi kita dalam memacu transformasi. Sudah tentulah kita dapat menginsafi dan menghargai setiap titik peluh perjuangan yang kita taburkan pada hari ini adalah kerana Allah dan survival umat Islam di Malaysia. Walau sekecil mana tugas yang kita laksanakan, itulah jariah kita untuk agama Islam ini.


Peringatan mengenai pengharapan (expectation)  stakeholder dan pelanggan terhadap JAKIM

27.      Tuan-tuan/puan-puan. Saya mengambil kesempatan hari ini untuk mengingatkan diri saya serta tuan-tuan/puan-puan, bahawa harapan stakeholder  dan pelanggan kita terhadap JAKIM adalah sangat tinggi. Stakeholder kita adalah  DYMM SPB  Yang DiPertuan Agung, Majlis Raja-Raja, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri kita dan Ketua Setiausaha Negara. Sementara pelanggan kita pula adalah terdiri dari seluruh rakyat Malaysia serta seluruh sistem  Perkhidmatan Awam Malaysia termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, semua Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Jabatan serta seluruh penjawat-penjawat awam.

28.      Sebenarnya dengan stakeholder kita begitu besar dan begitu tinggi kita mempunyai satu peluang yang baik. Peluang yang amat bermakna untuk menyampaikan pandangan dan cadangan secara terus kepada stakeholder . Oleh itu saya mencadangkan sector Dasar menkaji satu mekanisme diwujudkan supaya  KSN dapat melihat jakim dan pengurusan Islam dengan lebih bermakna lagi. Pada dasarnya KSN telah bersetuju dengan cadangan ini semasa saya membuat kunjungan hormat kepada beliau pada 24/4/11 baru-baru ini.

29.     Tetapi saudara saudari harus ingat dengan  stakeholder yang terdiri dari entiti dan kedudukan yang begitu tinggi, dan bilangan pelanggan yang begitu besar, maka risikonya kepada kita juga adalah besar sekiranya kita gagal dalam peranan kita.  Kita diharap memainkan peranan yang besar dan memberikan sumbangan yang besar kepada negara ini dalam hal ehwal Islam. Sebarang kelemahan dalam peranan dan fungsi kita, tidak akan dapat diterima oleh stakeholder dan pelanggan. Apalagi sebarang salahlaku oleh pegawai-pegawai JAKIM baik salah laku  semasa menjalankan tugas rasmi atau salahlaku peribadi. Dengan ini saya minta tuan/puan sentiasa peka dengan sensiviti kedudukan kita ini, dan sentiasa cemerlang dalam menjalankan tugas dan  tanggungjawab kita ataupun dalam kehidupan peribadi kita.

Budaya menilai “prestasi KP JAKIM dalam tempoh 100 hari selepas mengambilalih tampok pimpinan” oleh pihak-pihak tertentu.

30.      Tuan-tuan/puan-puan.  Sistem budaya kita berhubung proses peralihan kepimpinan sesebuah organisasi adalah unik. Apabila berlaku sesuatu perubahan dalam kepimpinan sesebuah agensi Kerajaan umpamanya seperti pertukaran seorang Ketua Pengarah sesebuah Jabatan seperti saya sekarang, atau pertukaran seorang Ketua Setiausaha bagi sesebuah Kementerian, maka pertukaran kepimpinan tersebut seolah-olah  suatu peristiwa  yang besar dinegara ini. Kedatangan sesorang Ketua yang baru, walaupun dia itu dari agensi yang sama, dilihat  seperti membawa bersamanya agenda  besar untuk melakukan program transformasi menyeluruh di agensi berkenaan. Ketua Pengarah yang baru mengambilalih jawatanya  itu dilihat seolah-olah  datang ke sebuah jabatan yang baru ditubuhkan.

31.      Kemudian ada pula sesetengah pihak   memberi tempoh masa lazimnya
100 hari untuk melihat sama ada Ketua berkenaan “bagus” atau sebaliknya untuk melakukan sesuatu perubahan  dalam tempoh tersebut di Jabatan baru itu.  Saya rasa saya juga tidak terkecuali dari diperhatikan. Saya bagaimanapun  tidak tertekan dengan persepsi demikian. Saya berharap tuan-tuan/puan-puan juga tidak teruja berlebih-lebihan dengan fenomina ini, dan saya  menyeru tuan-tuan/puan-puan untuk terus menyumbang seperti biasa dengan cemerlang dalam tempoh ini. Kita perlu berganding bahu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita dengan serius dan komited, demi untuk kemajuan umat  Islam dan bangsa-bangsa lain di negara ini.


32.   Sebagaimana  Tuan-tuan/puan-puan maklum,   JAKIM beroperasi dalam suasana yang mencabar, penuh dengan cabaran-cabaran baru yang sentiasa meningkat selaras dengan perkembangan sosio-budaya dunia. Oleh yang demikian,  kita perlu bersedia dan berubah bagi menangani cabaran-cabaran tersebut dengan lebih berkesan. Dengan itu, kita sentiasa perlu meningkatkan keupayaan kita dari segi ilmu, kepakaran, serta pendekatan-pendekatan baru dengan lebih berkesan.

Pelan Strategik JAKIM 2009-2014.

33.      Seperti tuan-tuan/puan-puan sedia maklum, Pelan Strategik JAKIM  meliputi tahun 2009-2014 telah dilaksanakan pada tahun 2009 bagi merealisasikan hala tuju dan rangka kerja JAKIM untuk tempoh lima tahun. Pelaksanaannya akan berakhir pada tahun 2014.  Saya percaya ada diantara tuan-tuan/puan-puan terlibat dalam penyediaan pelan ini dan arif mengenai kandungannya. Sementara bagi yang lain pula, saya  percaya tuan-tuan/puan-puan  telah membaca Pelan Strategik JAKIM itu dan hafal kandungannya. Dengan itu saya tidak akan bercakap panjang mengenainya, sekadar menyebut intipatinya sahaja.

34.      Pelan Strategik ini memang banyak membantu kita  dalam menjalankan tugas-tugas kita dengan lebih sistematik dengan mengambil kira isu-isu dan cabaran  yang sedang dihadapi oleh umat Islam.  Sekarang  kita telah memasuki tahun kedua pelaksanaanya.

35.      Dari segi pelaksanaannya, saya berpendapat kita  berada di landasan yang betul. Semua program-program yang dirancangkan sedang dilaksanakan   dan berjalan lancar. Kita wajar berbangga dengan pencapaian yang kita telah peroleh pada hari ini.

36.      Akan tetapi tuan-puan, sahabat-sahabat sekalian, ingin saya menasihati diri saya dan seluruh hadirin agar situasi ini janganlah sampai kita nyenyak “lena diulit mimpi” yang menjadikan kita larut dalam budaya “complacent” sehingga berpeluk tubuh. Episod-episod kejayaan yang telah kita lakari, sewajarnya tidak membuatkan kita menjadi orang yang hanya gemar “bernostalgia” ritma-ritma kejayaan lalu, sebaliknya mestilah menjadi azimat kekuatan kepada kita untuk melukis lebih banyak kejayaan yang baru. Oleh yang demikian tuan puan sekalian, saya menggambarkan tahun 2011 ini merupakan suatu titik permulaan yang amat getir kepada kita semua untuk bergerak menuju visi dan misi kita. Dalam konteks pentadbiran negara, JAKIM perlu menzahirkan diri sebagai sebuah organisasi yang mengetuai agensi-agensi dalam bidang hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan Negeri seperti yang telah dihasratkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

37.   Selain itu, tahun ini juga, oleh kerana JAKIM merupakan salah satu komponen penting di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), JAKIM perlu mengukuhkan hubungan intim dengan JPM selaku organisasi induk JAKIM. Sudah tentulah JAKIM perlu melibatkan JPM dalam perkara-perkara teras Jabatan contohnya aspek pengurusan dasar dan kewangan. Sehubungan itu, tahun ini, JAKIM mesti melibatkan JPM dalam penganjuran program-program rasmi JAKIM berkaitan keagamaan dan hal ehwal Islam.

38.      Saudara sekalian, dalam dewan yang mulia ini, suka saya mengingatkan diri saya dan seluruh hadirin, di dalam “Pelan Strategik JAKIM Tahun 2009-2014” tersebut, sebanyak 10 agenda kritikal yang perlu diberikan tumpuan yang serius oleh JAKIM.
39.    Berpandukan kepada 10 agenda kritikal tersebut, saya percaya kita semua menggalas amanah yang sangat berat untuk memastikan keseluruhan agenda yang saya sebutkan tadi berjaya diurus tadbir dengan baik pada piawai kelas pertama. Oleh yang demikian, tahun ini, JAKIM akan bergerak dengan semangat “Bersama Menggerakkan Agenda Transformasi”.

40.    Pakar-pakar pengurusan moden banyak menyebut bahawa salah satu bentuk kepimpinan yang popular pada zaman ini ialah “Kepimpinan Tranformasi”. Saya kira beberapa orang Ketua Pengarah JAKIM yang terdahulu, telahpun memulakan usaha ini. Oleh itu, tugas saya adalah pada hari ini adalah untuk membuat penerusan gaya kepimpinan “Transformasi” yang telah digagaskan sebelum ini supaya JAKIM akan terus dilihat perkasa dan relevan dalam arus perdana hari ini.

41.    Saya amat menyakini, gagasan murni ini mesti diteruskan dan amat berkesinambungan dengan gagasan “Islam Penggerak Tranformasi” yang telah digagaskan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.   

42.      Plan Strategik JAKIM telah menggariskan elemen-elemen penting sebagai faktor penentu kejayaan bagi menguruskan program-program pembangunan dan operasional di JAKIM. Antaranya ialah Keperluan Meningkatkan Kapasiti Organisasi, Kepentingan Pengurusan Ilmu (Knowledge Management) dalam menyelesaikan masalah,  Pentingnya Membangun Modal Insan, Mengujud dan Meningkatkan Kerjasama dan Penyelarasan Dengan Agensi-ageni Agama Peringkat Persekutuan dan Negeri, Pendekatan Dakwah Bersepadu, dan banyak lagi. 

43.  Pengurusan Ilmu (Knowledge Management) sebagai kaedah menyelesaikan masalah adalah sangat penting, khususnya dalam amalan pengurusan terbaik atau best management practices. Seseorang yang berilmu ditambah dengan pengalamannya sudah pasti mempunyai kelebihan di dalam menguruskan program atau projek yang ditugaskan kepadanya, berbanding dengan pegawai-pegawai yang kurang berpengtahuan. Saya menggalakkan pegawai-pegawai/kakitangan JAKIM mengambil peluang untuk menambahkan ilmu dengan mengambil peluang  atas tawaran-tawaran untuk mengikuti kursus atau seminar, konvensyen termasuk  tawaran JPA  bagi mengikuti kursus-kursus lepasan ijazah, atau   kursus-kursus singkat di mana yang sesuai. Ini akan memastikan JAKIM mempunyai kumpulan pakar yang dapat membantu JAKIM mencapai objektif strategiknya.

44.      Hadiah latihan ini akan diberi keutamaan kepada pegawai-pegawai yang sudah lam berkhidmat di jakim, dan peluang ini akan diberi kepada mereka yang benar-benar akan membuat tranformasi kepada pembangunan jakim; tidak kerana boring bertugas atau boring dengan bos.

45.   Satu lagi aspek sistem pengurusan terbaik ialah keperluan menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam menghadapi masalah  penyelarasan umpamanya dengan agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan dan Negeri. Saya percaya tugas-tugas penyelarasan itu akan menjadi lebih mudah dengan wujudnya semangat silaturrahim, semangat saling bantu membantu dan wujudnya hubungan yang harmoni di antara pegawai-pegawai JAKIM dengan pegawai-pegawai agensi agama Negeri atau Persekutuan. Untuk itu, kita perlu kepada kaedah-kaedah di atas di dalam usaha mencari jalan untuk memantapkan program kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri.  Langkah ini perlu dilaksanakan dengan berhemah memandangkan hal ehwal Islam  berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

46. Tuan-tuan/puan-puan. Selepas dua tahun pelaksanaan Pelan Strategik JAKIM, saya fikir adalah wajar untuk kita melihat sejenak kemajuan perlaksanaannya tanpa menunggu sehingga tahun 2012 bagi membuat penilaiannya. Ini adalah   penting untuk kita melihat di mana kita berada.  Setelah mengtahui kedudukannya, maka bolehlah kita mengkaji semula keberkesanan strategi pelaksanaan seterusnya.

47. Sehubungan dengan ini, saya  cadang Pengarah-pengarah Bahagian   duduk bersama dan meneliti pelaksanaan Pelan Strategik ini sehingga sekarang. Saya tidak bercadang membuat penilian secara terperinci, sekadar ingin melihat secara kasar sejauhmana  pencapaiannya dan mengtahui masalah-masalah yang dihadapi sekiranya ada, serta aspek-aspek pelaksanaan yang lain yang berkaitan. Hasil dari perjumpaan ini nanti akan membolehkan kita menjangka pencapaian sebenar pelaksanaannya pada tahun 2014, selain mengenalpasti masalah-masalah yang timbul di dalam pelaksanaanya.  

RUJUKAN........... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan