Khamis, 5 Mei 2011

PUM kutuk pengurusan jenazah ala Amerika


PUM kutuk pengurusan jenazah ala AmerikaDatuk Syeikh Abdul Halim Abd Kadir




Mei 5, 11

12:04amPersatuan Ulama Malaysia (PUM) melihat bahawa kaedah pengurusan jenazah yang dibuat oleh Amerika Syarikat ke atas jenazah Osama bin Laden adalah sesuatu yang memalukan dan bercanggah dengan prinsip menghormati agama.



Mengurus jenazah tersebut dan mencampakkannya ke Laut Arab merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan yang ditunjukkan oleh mereka.



Apalagi yang mereka mahu setelah umat Islam diperlakukan mengikut citarasa mereka?



Mereka menyerang Libya dengan menggunakan NATO walaupun presiden Muamar Gaddafi telah bersetuju untuk berunding. Tiada langsung sifat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh mereka ke atas perlakuan jijik sebegini.



Walaupun Osama dikelaskan sebagai pengganas dan merupakan orang yang paling dikehendaki oleh FBI, namun jenazah beliau masih perlu dihormati dan diuruskan pengkebumian dengan sempurna. Bukan dengan cara mencampakkan ke dalam laut tersebut.



Kami berpandangan sepertimana Al-Azhar dan umat-umat Islam yang prihatin di seluruh dunia di dalam hal ini.



Cara pengurusan jenazah ala Amerika ini dikhuatiri akan menambahkan kemarahan umat Islam dengan tindakan yang sengaja membuat provokasi tidak sihat.



Kita bersetuju menentang sebarang bentuk keganasan dan keganasan tiada tempat di dalam Islam. Namun kaedah menanganinya janganlah menampakkan bahawa seakan sudah ada satu keputusan pihak Barat untuk menghukum Islam dan menjadikan umat Islam sebagai mangsa.



Kematian Osama tidak bermakna keganasan akan hilang atau dunia akan jadi aman secara tiba-tiba.



Apa yang penting ialah usaha untuk menghapuskan terlebih dahulu ajaran atau fahaman ekstrem yang dikuasai sesetengah kumpulan, samada kumpulan-kumpulan bukan Islam atau sesama Islam.



Masyarakat perlu dididik untuk menerima kepelbagaian sebagai salah satu keunikan yang Allah SWT jadikan. Kepelbagaian tersebut bukan untuk digunakan bagi menindas orang lain.



PUM berharap Amerika Syarikat perlu berhati-hati dan melakukan hubungan baik dengan masyarakat Islam. Jangan cemarkan hubungan antara agama dengan perkara-perkara yang tidak perlu dan boleh mengundang kepada situasi tidak aman pula.



Sekian, wassalam.


Penulis adalah Yang Dipertua, Persatuan Ulama Malaysia
 
RUJUKAN..............

Tiada ulasan:

Catat Ulasan