Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN ”
(13 Mei 2011 / 9 Jamadilakhir 1432H)
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN.”
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.
Statistik pada masa ini menunjukkan bahawa bilangan guru ialah seramai 380,000 manakala bilangan anak-anak kita yang berada di alam persekolahan ialah seramai 5.4 juta orang. Lihat betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik anak-anak kita ini. Kerana itu, setiap tahun tanggal 16 Mei telah dipilih sebagai hari bersejarah untuk kita semua memperingati dan menghargai sumbangan para guru terutamanya dalam mendidik dan menjana tranformasi pendidikan bagi membina negara bangsa.
Sesungguhnya seorang guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA :
Maksudnya:"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".
Sejarah ketamadunan Islam telah mencatatkan bahawa guru atau para ulama adalah golongan yang amat dihormati oleh masyarakat dan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu dan duduk bersama dengan mereka. Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas pernah menolak tawaran untuk mengajar di Istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan: Ilmu itu didatangi bukan mendatangi. Kisah Imam Malik yang merupakan contoh sebagai seorang murid yang menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada gurunya terlebih dahulu. Beliau pernah berkata: “Aku tidak mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran”. Lihatlah bertapa sikap merendah diri dan rasa hormat seorang Imam dan ulama terbilang seperti Imam Malik.
Begitu juga yang berlaku kepada Imam Shafie yang amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata: “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini. Saidina Ali RA juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.Demikian tinggi dan mulianya kedudukan guru serta dihormati sehingga Allah SWT berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diminta memberi lapang dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.”
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah
Dalam menjana tranformasi pendidikan tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga berperanan sebagai murabi untuk membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat.Mereka berada di saf hadapan untuk membangun bangsa yang cemerlang yang akan menentukan sebuah negara yang maju, aman dan dihormati. Maka, dalam merialisasikan harapan yang tinggi ini, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian dan maklumat agar selari dengan kehendak yang diperlukan oleh masyarakat bagi tujuan mencapai aspirasi negara.
Walaubagaimana pun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu kearah kecemerlangan pendidikan. Bagi mencapai hasrat tersebut, tuntutan kepada ilmu pengetahuan yang berbentuk fardhu ain dan fardhu kifayah adalah amat diperlukan. Ianya hendaklah disepadukan agar kemajuan yang hendak dicapai itu dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amalan memisahkan antara pendidikan yang bercorak fardhu ain dan fardhu kifayah akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang sekaligus menggagalkan usaha membentuk modal Insan yang gemilang. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 18:
Maksudnya: “Allah menerangkan ( kepada sekelian makhluknya dengan dalil dan bukti ) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu ( mengakui dan menegaskan juga yang demikian ) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Anak bangsa yang berkualiti ianya haruslah bermula daripada orang yang mendidik mereka. Keupayaan ini mestilah di dokong bersama antara guru dan masyarakat terutama ibubapa. Jika tidak nescaya harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama yang berjiwa “Ulul Albab” akan sia-sia, seperti kata pepatah “berat sama dipikul ringan sama dijinjing ”. Firman Allah SWT dalam surah al- Maidah ayat 2:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya)”.
Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam memacu pendidikan dengan menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Disamping ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibu bapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak. Mimbar percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Persatuan ibu bapa dan guru-guru seharusnya memainkan peranan dalam membina pendidikan anak-anak. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Mimbar menyeru semua pihak, selari dengan ajaran Islam dan sifat orang beriman yang bersyukur, marilah kita bersama-sama bertanggungjawab untuk membentuk tranformasi pendidikan dengan menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran, serta membentuk akhlak dan jati diri bagi melahirkan anak bangsa yang cemerlang . Ingatlah bahawa tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai. Sebaliknya ia semakin mencabar selaras dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini.
Bersempena dengan Sambutan Hari Guru pada tahun ini, marilah kita memanjatkan doa kehadrat Allah SWT agar matlamat kita untuk melihat generasi akan datang yang memahami tanggungjawab dalam membina negara bangsa terlaksana dengan sempurna melalui pendidikan berkualiti yang disampaikan oleh para guru sebagai pemacu tranformasi pendidikan. Marilah sama-sama kita mendokong usaha yang murni ini, mudah-mudahan segala usaha kita akan diberkati oleh Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 9:
Maksudnya: “Apakah orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan