Isnin, 10 Mei 2010

KHUTBAH KHAS SEMPENA HARI BOMBA

KHUTBAH KHAS SEMPENA HARI BOMBA

" TANGGUNGJAWAB MENJAGA KESELAMATAN DAN

PENCEGAHAN KEBAKARAN "


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً، وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْغَفُوْرُ. اَشْهَدُ اَنْ لآ ِالَـهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلـِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.



أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Setinggi-tinggi kesyukuran terhadap Allah s.w.t. yang telah mempertemukan kita semula pada minggu ini di rumah Allah dalam suasana yang tenang dan bahagia. Ini semua adalah nikmat Allah yang tidak ternilai yang dikurniakan kepada kita semua. Oleh itu, marilah kita terus mengabdikan diri kepada Allah dan bertakwa kepadanya. Mudah-mudahan hidup kita akan mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat yang kekal abadi.


HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Bersempena Hari Bomba yang disambut dalam bulan Mei setiap tahun, maka mimbar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan mengenai : " Tanggungjawab Menjaga Keselamatan Dan Pencegahan Kebakaran " .


SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Pepatah Melayu ada mengatakan " Api Ketika Kecil Menjadi Kawan Bila Besar Menjadi Lawan " sungguh benar apa yang dikatakan dalam perumpamaan tersebut dan ianya sering disebut serta diungkapkan dalam masyarakat kita. Berdasarkan pengamatan yang begitu teliti bahawa api ketika kecilnya kita boleh gunakan untuk kemudahan kita seperti untuk memasak, menerangi tempat-tempat yang gelap, memanaskan badan, membakar sampah sarap dan sebagainya. Tetapi ianya perlu dikawal dengan rapi, kerana jika ia tidak dikawal akan mengundang berlakunya kebakaran yang mengakibatkan kemusnahan dan kerugian terhadap harta benda bahkan boleh mengorbankan nyawa.


Kebakaran yang berlaku juga tidak pernah mengira dan mengenal siapa mangsa dan tempatnya, malahan tidak boleh dibendung oleh sempadan sesebuah negara. Contohnya, pembakaran hutan secara terbuka suatu ketika dahulu telah mengakibatkan negara kita mengalami masalah jerubu yang teruk sehingga beberapa kawasan telah diistiharkan sebagai kawasan darurat.


SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Mengikut data 2006 yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 18,913 panggilan kebakaran, punca utama kebakaran adalah disebabkan oleh faktor kelalaian manusia dengan taksiran kerugian sebanyak RM 760 juta, manakala taksiran harta benda yang dapat diselamatkan pula berjumlah RM 7.8 bilion. Ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya kebakaran dan pencegahan kebakaran masih kurang. Kita mungkin mengambil sikap sambil lewa atau pun jalan mudah dalam melaksanakan sesuatu kerja sehinggakan kita lupa kesan yang mungkin menimpa diri sendiri dan orang lain.


Justeru, dalam menentukan tahap keselamatan di rumah, ibu bapa perlulah memainkan peranan dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada anak-anak tentang bahaya kebakaran dan pencegahannya. Selain itu, penglibatan pentadbir-pentadbir diperingkat pejabat kerajaan dan swasta, para majikan, guru-guru dan sebagainya hendaklah turut memainkan peranan dengan menerapkan budaya keselamatan kebakaran, kerana ianya sangat berkesan dan mampu mengurangkan bilangan kebakaran, kerugian harta benda, kecederaan bahkan boleh menyelamatkan nyawa seseorang.


Kerana itu, usaha-usaha ke arah pencegahan kebakaran yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan perlulah dipandang serius. Masyarakat hendaklah memainkan peranan yang aktif dengan memberi sokongan serta menyertai setiap program yang dianjurkan seperti kempen mencegah kebakaran, ceramah mengenai kesedaran keselamatan dan juga latihan persediaan kebakaran yang dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.


Begitu juga, antara kerjasama lain yang perlu diberi perhatian ialah :


1. Menjaga dan melindungi pili-pili bomba dan alat pemadam kebakaran di persekitaran kita, serta melaporkan segera sekiranya terdapat kerosakan. Selain itu, tanggungjawab bersama dalam menjaga dan mengawasi kemudahan tersebut agar tidak disalahgunakan untuk tujuan lain atau diambil kesempatan oleh pencuri-pencuri besi buruk dengan merosakannya. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini dibenci oleh Allah sebagaimana firmannya dalam surah al-A'raf ayat 56 yang berbunyi :



Maksudnya : " Dan janganlah kamu berbuat kerosakan dibumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoa'lah kepadanya dengan perasaaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya ".

2. Memberi penerangan dan pendidikan kepada ahli keluarga agar mereka tidak menyalahgunakan talian 994, kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akan menyusahkan petugas-petugas di bilik kawalan, bahkan ia boleh menyebabkan kelewatan masa bertindak jika terdapat panggilan yang sebenar. Untuk makluman hadirin sidang Jumaat sekelian pada tahun 2006 sahaja sebanyak 613 panggilan palsu telah direkodkan.


3. Menempatkan bahan-bahan yang mudah terbakar seperti minyak petro, gas dan sebagainya ditempat yang selamat dan jauh dari tempat permainan kanak-kanak bagi mengelak kemungkinan terjadinya punca-punca kebakaran.


4. Memahami konsep menjaga nyawa dan mengawasi harta benda merupakan tuntutan Islam dan ianya merupakan sebahagian maslahah hidup manusia serta terkandung didalam Maqasid al-Syariah atau dikenali dengan nama al-Kulliyatul al-Khams" اَلْكُلِّيَّاتِ الْخَمْس".


HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG RAHMATI ALLAH,

Sehubungan dengan perkembangan pembangunan yang pesat di mana taman-taman perumahan dan bangunan-bangunan perniagaan yang tumbuh bagaikan cendawan di negara kita. Maka, masyarakat janganlah leka dan mengambil mudah soal keselamatan serta pencegahan kebakaran.

Begitu juga, pihak pemaju haruslah mematuhi undang-undang dan akta-akta yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi membina rumah-rumah dan bangunan-bangunan pencakar langit dengan mempastikan sistem pencegahan kebakaran dipasang dan berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kemusnahan harta benda dan yang lebih penting keselamatan nyawa orang ramai perlu diutamakan, janganlah semata-mata bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan sanggup menipu dan mengabaikan aspek keselamatan pengguna. Hal ini dinyatakan oleh ٍSabda Rasulullah s.a.w. :

عَنْ حَكِيْمِ بْنِ حِزَامٍ رضى الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وَسَلَّمَ قَالَ : اَلْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُوْرِكَ لَهُمَا فِىْ بَيْعِهِمَا وَإِنْ كَذَبَا وَكَتَمَا مُحِقَ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا.


Maksudnya : " Daripada Hakim bin Hazim r.a. daripada nabi s.a.w. baginda bersabda : Penjual dan pembeli diberi kesempatan membatalkan jual beli selagi mereka belum berpisah. Sekiranya mereka jujur serta membuat penjelasan mengenai barang yang dijual belikan, mereka akan mendapat keberkatan dalam jual beli mereka. Sekiranya mereka menipu dan merahsiakan mengenai apa-apa yang harus diterangkan tentang barang yang dijual belikan akan terhapus keberkatannya ".


( H.R. Bukhari dan Muslim )


Berdasarkan hadis tersebut keuntungan tidak bermakna jika kita tidak mendapat keberkatan dalam sesuatu yang diusahakan, begitu juga jaminan hak-hak pengguna khususnya keselamatan nyawa penghuni perlu diutamakan kerana jika terjadi sesuatu kejadian yang tidak diingini sudah tentu pemaju akan dipersalahkan dan lebih malang lagi mungkin akan didakwa di Mahkamah.


MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN,

Tugas dan tanggungjawab kita semua umat Islam untuk menjaga harta benda dan nyawa amat disuruh oleh agama kita. Lebih-lenih lagi pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang tugasnya amat mencabar dan bahaya, ianya memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan adakalanya jiwa mereka sendiri terkorban demi untuk menyelamatkan harta benda dan nyawa orang lain. Oleh kerana itu, kita sebagai masyarakat hendaklah menghargai pengorbanan dan jasa-jasa mereka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. yang sangat kasih kepada orang-orang yang sangggup berkorban untuk kesenangan orang lain. Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 124



Maksudnya : " Dan sesiapa yang mengerjakan amal solih dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka pula tidak akan dianaiya ( atau dikurangkan balasannya) sedikitpun ".


SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Akhir sekali mimbar ingin mengingatkan sekali lagi bahawa tanggungjawab pencegahan keselamatan kebakaran bukanlah tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia semata-mata. Malahan ianya merupakan tanggungjawab semua pihak. Sekiranya kita sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa, Insayallah kejadian yang tidak diingini akan dijauhi oleh Allah s.w.t.



Maksudnya : " Dan jika Allah mengenakan (menimpa) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapapun yang dapat menghapusnya melainkan Dia sendiri dan jika ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

P/S JIKA KHUTBAH INI ADA BERGAMBAR GAMBAR YANG DICADANGKAN IALAH INI:

Vandalisme yang merosakkan alatan bomba

Bukan sekadar memadam kebakaran tugas bomba pelbagai kes yang mencabar


Api bila kecil menjadi kawan bila besar menjadi lawan


Anggota bomba adalah mereka yang memberikan khidmat kepada semua manusia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan