BLOG INI DIBANGUNKAN UNTUK BERKONGSI MAKLUMAT DAN PENGALAMAN SERTA BERTUKAR PANDANGAN UNTUK MENAMBAHKAN KEIMANAN
KAMI MOHON RESTU MU YA ALLAH
Selasa, 24 Januari 2023
Rabu, 2 Mac 2022
Beliau merupakan antara murid terawal Tuan Guru Hj. Abdul Latiff atau lebih dikenali Pak Teh Kroh.
Ahad, 9 Januari 2022
INFO FATWA NEGERI PERAK: FATWA MENGENAI PENGHARAMAN UPACARA PERBOMOHAN IBRAHIM BIN MAT ZIN Masyarakat dinasihatkan ag
INFO FATWA NEGERI PERAK: FATWA MENGENAI PENGHARAMAN UPACARA PERBOMOHAN IBRAHIM BIN MAT ZIN
SELAMAT TINGGAL 2021 SELAMAT DATANG 2022
Khamis, 15 Julai 2021
Sarapan bersama Emak di Medan Dato Sagor Ipoh-Ya Allah Rahmati Ibuku
Sabtu, 1 Mei 2021
Doa Khatam Al-Quran (Terjemahan Bahasa Melayu) Sempena Nuzul Al-Quran
Rabu, 14 April 2021
Ramadhan menjelma lagi - Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Ya Ramadhan
Jumaat, 12 Mac 2021
ANUGERAH MASJID MALAYSIA TAHUN 2020
Dari negeri-negeri seluruh Malaysia, sebanyak 28 buah masjid telah dicalonkan untuk penilaian Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2020.
Kini, detik kemuncak sudah tiba. Anugerah Masjid Malaysia (AMM) Tahun 2020 yang akan disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara siaran langsung pada 12 Mac 2021, Jumaat di TV AlHijrah, jam 8 pagi - bakal menobatkan masjid-masjid yang memenuhi kriteria SPMM.
Saksikan, masjid manakah yang terpilih, dari kaca TV masing-masing.
Rabu, 10 Mac 2021
DOA MEMOHON KEAMPUNAN DAN PERLINDUNGAN AMALAN ULAMAK-ULAMAK
Ketika usai kami solat Asar berjemaah di Kotaraja Ipoh itu dengan Sheikh Ali Muhyiddin al-Qarah Daghi-hafizahullah, aku mendengar beliau titipkan doa-doa ini:
Ahad, 7 Mac 2021
Rabu, 29 Mei 2013
Alangkah indahnya kehidupan orang kaya. Cakap sahaja apa yang dimahukan, hampir semuanya boleh dapat. Malah, kalau pegi ke mana-mana, ada sahaja yang hendak memberikan layanan ala first class. Jadi kalau ditanya kepada sesiapa – mahukah menjadi papa ataupun muflis? Jawapannya sudah tentu tidak!
Namun, dalam pada ramai yang cuba mengelak daripada menjadi muflis di dunia, ada antaranya pula terlupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak bankrap di akhirat. Sebab itulah ada yang ghairah mengaut kekayaan dengan bermacam-macam cara sama ada 'halal' ataupun 'haram'. Tetapi di celah-celah itu juga masih ada terselit segelintir orang yang begitu ghairah membuat persiapan untuk kaya di akhirat. Cuma sayangnya, mereka papa pula di dunia.
Menurut Prof Madya Hj Mohd Nor Mamat, pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, seorang Muslim bukan hanya perlu mengejar kemewahan duniawi, tetapi juga kekayaan akhirat. Ini bersandarkan kepada sepotong ayat yang terdapat dalam kitab al-Quran.
Tegas beliau lanjut, penilaian kepada muflis di dunia adalah bersandarkan kepada harta, sementara akhirat pula adalah pahala. Justeru itu, untuk menjadi individu kaya di 'hari kemudian' kelak, kekayaan harta dunia itu perlu ditransformasi atau ditukarkan kepada bentuk pahala.
Selasa, 9 April 2013
Persidangan Meja Bulat Penubuhan Kolej Universiti Darul Quran
Persidangan Meja Bulat Penubuhan Kolej Universiti Darul Quran
1. Pihak kerajaan perlu memberikan status KUDQ sebagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Perkara ini akan dikaji dan dimaklumkan semula kepada Perdana Menteri dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) akan datang.
2. Kertas Jemaah Menteri perlu disediakan dalam waktu terdekat selepas mendapat keputusan dan pandangan semula dalam mesyuarat MKI.
3. Satu Pasukan Nukleus akan ditubuhkan di JAKIM, dianggotai oleh beberapa tokoh akademik dan ahli-ahli dalam bidang pengurusan, untuk menyusun dan membuat persiapan awal dari segi:
i. Perundangan
ii. Kewangan dan Pembangunan Prasarana dan Sumber Manusia
iii. Program Akademik
Turut hadir dalam persidangan kali ini ialah Y.Bhg. Datuk Borhan bin Dolah, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan JPM, Y.Bhg. Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abd Shukor bin Haji Husin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI, Y.Bhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM, Y.Bhg. Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Y.Bhg. Sahibul Samahah Dato’ Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan serta Y.Bhg. Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Pengarah Darul Quran.
Fotografi: Muktasyaf Ibrahim AnNamir
sumber......
Isnin, 8 April 2013
Tafsir mimpi
Tafsir mimpi
TEMAN saya menceritakan mimpinya kepada saya, lalu meminta saya mentafsirkan mimpi tersebut. Saya tidak memiliki apa-apa kemahiran dalam mentafsirkan mimpi. Apa hukumnya jika saya sengaja pandai-pandai mentafsirkan mimpi itu?
Jawapan:
Perbincangan tentang tafsir mimpi terdapat dalam setiap tamadun manusia. Sejak dulu lagi, mimpi dilihat sebagai isyarat ghaib yang hanya dapat difahami dan ditafsirkan oleh orang tertentu. Para pentafsir mimpi ini biasanya adalah para pakar rujuk keagamaan dalam tiap-tiap masyarakat tersebut.
Islam mengakui bahawa mimpi lebih daripada sekadar bunga tidur. Kadangkala ia mengandungi makna tertentu sebagai satu peringatan daripada Allah SWT. Namun begitu, tidak semua mimpi mengandungi makna yang boleh ditafsirkan.
Rasulullah SAW bersabda: "Mimpi (terbahagi) tiga. Mimpi yang merupakan gangguan daripada syaitan untuk membuat sedih anak Adam. (Mimpi yang asalnya) sesuatu yang difikirkan oleh manusia pada saat terjaga, lalu terbawa hingga ke tidur. Dan (mimpi) yang merupakan satu daripada 46 bahagian kenabian." (riwayat Ibn Hibban).
Mimpi kebanyakan manusia seperti kita berkisar antara bentuk pertama dan kedua, yakni hanya mainan syaitan dan ciptaan imaginasi belaka. Mimpi seperti ini tidak perlu diendahkan apalagi dipaksakan untuk dicari makna di sebaliknya.
Adapun mimpi dalam bentuk ketiga, yakni mimpi bermakna yang disebut sebagai satu bahagian daripada kenabian, maka pemiliknya bukan sembarang orang. Mereka adalah orang soleh yang selalu menjaga diri daripada dosa dan maksiat.
Berkata Imam Al-Qurtubi: "Muslim yang jujur dan saleh menyerupai keadaan para nabi. Oleh itu mereka dianugerahi sebahagian daripada apa yang diberikan kepada para nabi, iaitu melihat ke alam ghaib melalui mimpi."
Meski begitu, tidak dinafikan kadang kala mimpi yang bermakna ini mendatangi orang-orang biasa, bahkan orang yang suka bermaksiat, jika dikehendaki oleh Allah SWT. Sebagaimana yang terjadi pada Firaun yang bermimpi tentang Nabi Musa yang akan menggulingkan kerajaannya. Namun kes pengecualian ini sangat jarang terjadi.
Sembarang mentafsir
Berkenaan dengan takwil mimpi pula, kita mesti menyedari bahawa kemahiran ini sebuah ilham daripada Allah, bukan satu cabang ilmu yang boleh dipelajari. Ia kelebihan yang Allah berikan kepada hamba-hamba tertentu yang memiliki hati yang bersih daripada dosa dan maksiat.
Oleh itu, jangan tertipu oleh pelbagai buku tafsir mimpi yang terdapat di pasaran pada saat ini. Setakat membaca buku-buku seperti ini tidak melayakkan kita untuk mentafsirkan mimpi. Sebab bentuk mimpi yang sama boleh jadi mengandungi tafsiran yang berbeza mengikut perbezaan orang yang bermimpi, sifat-sifat dirinya dan masa mimpi itu didapatkan. Demikian yang dijelaskan oleh Al-Hafiz Al-Suyuti dalam kitab Al-Hawi li Al-Fatawi.
Para ulama menetapkan, siapa yang tidak memiliki keahlian dalam tafsir mimpi, maka haram baginya mentafsirkan mimpi tanpa ilmu.
Imam Malik pernah ditanya: "Bolehkah sembarang orang mentafsirkan mimpi?" Beliau menjawab: "Apakah ia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi adalah satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian." Demikian diriwayatkan oleh Ibn Abdil Bar dalam kitab Al-Tamhid. Wallahu a'lam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121031/ba_04/Tafsir-mimpi#ixzz2BQe1Ed5v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Khamis, 4 April 2013
Cabaran membangun organisasi dakwah
Cabaran membangun organisasi dakwah
DALAM konteks organisasi, kesan keselesaan yang terlalu lama menyebabkan organisasi dan budayanya tidak dapat memenuhi keperluan semasa. Bahkan dalam situasi sukar itulah keadaan sebaliknya berlaku, orang yang mengetuainya adakalanya terpaksa menggaru di tempat yang tidak gatal sebelum bermula ke bahagian yang gatal.Itulah yang dihadapi oleh Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir semasa dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 1 April 2010.
Antara sebabnya, budaya organisasi itu dilihat terlalu banyak lemaknya, akibat sudah begitu selesa dengan kaedah kerja dan budaya berseminar, berceramah sedangkan perubahan persekitaran semakin menyempitkan ruang dan peluang untuk mengulanginya.
Ubah pendekatan
Atas kesedaran itu, Dr. Aziz memulakan perubahan perspektif menyampaikan dakwah, daripada kelaziman menjemput para peserta untuk hadir dan kemudiannya mereka diberikan ceramah kepada turun ke bawah menemui khalayaknya dalam program yang lebih santai dan sentuhan psikologi.
Sebagai contoh, kelemahan dakwah kepada Orang Asli sebelum ini banyak diperkatakan kerana pendekatan secara touch n go, program susulan yang terlalu lambat dan kaedah penyampaian yang bersifat sepihak, menyebabkan khalayaknya semakin sukar didekati. Sebaliknya, pihak-pihak yang lain daripada kumpulan mubaligh lebih ke hadapan.
Semasa memulakan tugas sebagai YDP, Dr. Aziz menegaskan: "Kebelakangan ini banyak perkara yang menimbulkan keresahan umat Islam tentang kedudukan umat Islam dan orang Islam di Malaysia dan inilah hakikatnya bahawa kita sedang mengharungi lautan bergelora, merentasi kawasan berbukit bukau, melalui hutan belantara yang penuh dengan binatang buas.
"Kita bukan sahaja harus tabah tetapi harus berhati-hati dan bijaksana mengatur langkah dalam berdakwah. Inilah antara penekanan yang saya ingin terapkan dalam pelaksanaan program-program Yadim". (1 April 2010).
Bagi menterjemahkan aspirasi itu, beliau berusaha menyemai dan memecah tembok selesa dengan menyuntik membina: (1) strategi dan menilai perubahan persekitaran; (2) membina rangkaian penyebaran dan perkongsian maklumat; dan, (3) menetapkan penanda aras sebagai saranan penilaian dan pencapaian matlamat aktiviti.
Penerbitan
Tugas pertama adalah menghidupkan semula penerbitan majalah Dakwah setelah terhenti hampir 10 tahun atas politicking dalaman dan keluaran pertama edisi baharu berjaya menemui khalayak pada Mei 2010.
Majalah tersebut dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 13 Mei 2010 di Putrajaya.
Meskipun Dakwah diterbitkan setiap dua bulan berbanding sebelumnya setiap bulan, penerbitan edisi baharu ini menjadi lebih menarik kerana ia membawa hasrat menggerakkan semula kelesuan bahan-bahan bacaan berkala dalam masyarakat Islam di Malaysia.
Ia benar-benar menyemarakkan penerbitan lebih banyak majalah-majalah berunsurkan Islam diterbitkan selepas Yadim melakukannya.
Apa yang lebih menarik, dalam keluaran September/Oktober 2010 (jilid ke-3) memberikan fokus mengenai konsep wasatiyyah (kesederhanaan).
Konsep itu kemudiannya membuka inisiatif kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diadaptasi ke dalam pendekatan pentadbirannya selaras dengan gagasan 1Malaysia:Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Konsep itu kemudiannya diperdebatkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan UMNO pada bulan November 2010 dan kemudiannya diterima sebagai pendekatan terbaik budaya berorganisasi dan bermasyarakat.
Pada tahun lalu, konsep wasatiyyah itu kemudiannya berkembang dengan lebih realistik apabila tertubuhnya Kerusi Wasatiyyah di salah sebuah universiti awam, dizahirkan dengan cadangan penubuhan Institut Wasatiyyah dan seterusnya, tertubuhnya Global Movement of Moderates, Perdana Global Peace Foundation dan sebagainya. Ini membawa erti, sedikit sebanyak bahan keilmuan yang dijadikan fokus dalam majalah Dakwah mempunyai kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat dan cetusan pemikiran yang lebih luas.
Melalui tulisan
Berkelulusan Deoband, India sebelum memperoleh ijazah sarjana dari Universiti al-Azhar, Dr. Aziz juga berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan kehakiman, kemudiannya menjadi rakyat Malaysia pertama yang lulus ijazah doktor falsafah dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kassim, Pekan Baru, Indonesia.
Hasil penyelidikannya mengenai pemikiran politik Hasan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin dianggap begitu tepat dengan apa yang berlaku di Mesir. Tanpa diduga, penyelidikannya sejak tahun 2010 dan kemudiannya diterima sebagai sebuah tesis yang memberikan tahap kelulusan cumlaude pada pertengahan 2012, menampakkan betapa meluasnya pengaruh pemikiran politik yang dimulai oleh Hasan al-Banna.
Kemudian beliau menerbitkan hasil penyelidikannya dengan tajuk, Hakikat Pemikiran Politik Hasan al-Banna: Meluruskan Salah Faham Terhadap Peranan dan Aktiviti Hasan al-Banna (2012).
Sejumlah 94 rencana yang disiarkan dalam tempoh dua tahun (2010-2011) dibukukan dalam Membumikan Erti Kasih Sayang dan dilancarkan semasa Perhimpunan Agung Tahunan UMNO 2011 oleh bonda Perdana Menteri, Toh Puan Rahah Tan Sri Mohd. Noah pada 2 Disember 2011.
Menariknya buku ini ialah ia cuba menjelaskan bahawa kasih sayang perlu diaplikasikan secara sederhana dan berkesan kerana sikap berlebihan akan membawa kemusnahan, konflik dan permusuhan. Sikap ini juga menjadikan kita keterlaluan dalam tindakan, tamak, prejudis dan berfikiran jumud; tidak melihat kasih sayang orang lain sebagai baik, hanya menilai kasih sayang kita sahaja yang terbaik.
lPENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan YADIM
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130124/ba_04/Cabaran-membangun-organisasi-dakwah#ixzz2Jys4t0nm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Selasa, 2 April 2013
Pelindung dari Yakjuj dan Makjuj
NAMA Yakjuj dan Makjuj disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat 96. Dalam surah al-Kahfi, diterangkan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti oleh suatu kaum yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain datang ke tempat itu, kaum tersebut memohon kepadanya agar dibuatkan tembok penghalang daripada serangan mereka.
Manakala dalam surah al-Anbiya, disebutkan bahawa Yakjuj dan Makjuj akan segera turun dengan cepat dari tempat yang tinggi ketika tembok penghalang mereka terbuka sebagai tanda telah dekatnya kedatangan janji Allah SWT.
Al-Quran tidak menerangkan siapa sebenarnya Yakjuj dan Makjuj, daripada bangsa dan keturunan mana mereka itu. Al-Quran hanya menjelaskan sifat-sifat mereka, iaitu kaum pembuat kerosakan di bumi, kalau tembok penghalang dibuka, mereka akan turun mengalir seperti mengalirnya air bah, dan apabila tembok penghalang kukuh, mereka tidak masuk dan tidak dapat membuat kerosakan.
Oleh kerana itu timbullah beberapa tafsiran Ahmad Mustafa al-Maragi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa Yakjuj adalah berbangsa Tartar, dan Makjuj adalah berbangsa Mongol. Mereka berasal daripada satu bapa yang bernama Turk, tempat tinggal mereka di bahagian utara Asia.
Daerah mereka memanjang dari Tibet dan China sampai ke Laut Baku Utara, di barat sampai Turkestan.
Dalam pelbagai zaman, bangsa-bangsa ini sering menyerang, membuat kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa-bangsa lain.
Di antara mereka terdapat bangsa-bangsa yang kejam, turun dari bukit-bukit di Asia Tengah dan pergi ke Eropah pada masa dahulu, seperti bangsa Semith, Simeria dan Hun. Mereka banyak menyerang negeri-negeri China dan Asia Barat.
Dengan munculnya Temujin yang dikenal dengan nama Genghis Khan (di dalam bahasa Mongol bermaksud Raja Alam- 1167-1227), pada awal abad ke-7 Hijrah / 12 Masihi, berikutan tenteranya yang perkasa keluar jauh ke Asia Tengah.
Ia menundukkan China Utara kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, lalu menundukkan Sultan Qutbuddin bin Armilan, salah seorang raja Seljuk yang menganut aliran Khawarij. Genghis Khan melakukan kekejaman yang belum pernah berlaku sebelumnya di negeri tersebut.
Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali), seperti dikutip Ibnu Kasir menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Nuh memiliki tiga orang anak, iaitu Sam, nenek moyang orang Arab; Ham, nenek moyang orang Sudan, dan Yafis, nenek moyang orang Turk."
Menurut sebahagian ulama, Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Yafis, putera Nuh itu. Demikian juga pendapat Nasafi, seorang ahli fekah, usul fekah dan tafsir yang bermazhab Hanafi yang menyatakan bahawa Yakjuj berasal daripada suku Turk, manakala Makjuj pula berasal daripada suku Jail serta Dailam keturunan Yafis yang membuat kerosakan di muka bumi. Mereka tidak mati dan masing-masing memiliki 1,000 keturunan yang dilengkapi dengan senjata.
Hamka pula memberi tafsiran bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah segala gerakan yang telah dan akan merosakkan dunia ini.
Oleh hal yang demikian, baik diri, keluarga, mahupun negara serta bangsa wajib mendirikan tirai besi sebagai benteng agar Yakjuj dan Makjuj tidak dapat masuk.
Mungkin juga Yakjuj dan Makjuj dapat ditafsirkan sebagai berfikiran jahat, bermaksud buruk dan ideologi yang menyesatkan yang dianuti sebahagian manusia.
Manusia yang menganuti menjadi licik dan jahatserta mempergunakan manusia sesamanya sebagai alat untuk merosakkan bumi ini.
Oleh itu, fikiran yang baik, cita-cita yang mulia, dan ideologi yang sihat harus ditanam dengan teguh pada setiap diri, keluarga, bangsa dan negara untuk membentengi Yakjuj dan Makjuj.
Yakjuj dan Makjuj laksana air, sentiasa mencari tempat untuk masuk walaupun hanya sebesar lubang jarum.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130312/ba_02/Pelindung-dari-Yakjuj-dan-Makjuj#ixzz2O2cjd58b
© Utusan Melayu (M) Bhd
Isnin, 1 April 2013
Himpunan para huffaz
Majlis perasmian telah disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran Multaqa Huffaz Peringkat Kebangsaan Kali ke-3 ini amat penting kerana ia sebahagian daripada usaha untuk memasyarakatkan al-Quran di samping mengiktiraf golongan yang menghafal al-Quran.
Antara pengisian majlis tersebut adalah Forum Huffaz yang telah mengupas tajuk, 'Peranan Huffaz Dalam Menangani Cabaran Masa Kini.' Forum ini telah menampilkan Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Kedah, Kadri Abd. Hamid dan Penolong Pengarah Dakwah Kepimpinan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Rosli Osman, manakala Shahrulkarnain Mohd. Nazir bertindak sebagai moderator.
Dalam Multaqa Huffaz ini juga diadakan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jakim dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Razali Shahabuddin, Pengarah Darul Quran, Paimuzi Yahya, Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibul Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KITAB, Datuk Dr. Harun Hassan.
Majlis ini juga meraikan seramai 51 orang penerima Sijil Tahfiz Malaysia. Setiap penerima Sijil Tahfiz Malaysia telah diberikan wang saguhati sebanyak RM1,000 seorang. (Sumber-Jakim)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130319/ba_01/Himpunan-para-huffaz#ixzz2O2c5JVKr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Rabu, 27 Mac 2013
Misteri di sebalik azan
Misteri di sebalik azan
l PENULIS ialah Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kota Bharu, Kelantan.
Di sebalik kemerduan azan, ada misteri dan keistimewaannya yang tersendiri, sehingga bagi muazin (orang yang menyerukan azan), Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala kepadanya.
Kalimah penyeru (muazin) yang mengandungi kehebatan lagi menakjubkan telah tertanam dalam jiwa setiap Muslim, sehinggakan seusai laungan azan, seluruh tubuh serta pancaindera kita bergerak untuk menunaikan ibadat solat.
Menurut fakta, kebanyakan bukan Muslim menerima hidayah Ilahi setelah mendengar azan. Biarpun tidak memahami maksudnya, namun mendengarkannya sahaja telah menggetarkan hati, sekali gus menyentuh jauh di sudut hati nurani. Seakan fitrah Islam dalam diri mereka dibangkitkan melalui alunan suara azan tersebut.
Kementerian Urusan Agama Turki pernah menyatakan sekurang-kurangnya 634 orang telah memeluk Islam pada 2011, termasuk 407 wanita, yang rata-rata mereka berusia antara 30 hingga 35 tahun.
Malah mereka berasal daripada pelbagai bangsa Jerman, Maldive, Belanda, Perancis, China, Brazil, Amerika Syarikat, Rumania, Estonia dan lain-lain dan merupakan pelancong yang sedang melancong ke Turki.
Di Turki sendiri, sekurang-kurangnya 14 orang memeluk agama Islam pada empat tahun terakhir, termasuk 10 wanita.
Mufti kota Kayseri, Syeikh Ali Marasyalijil berkata, umumnya mereka masuk Islam setelah tersentuh mendengar alunan azan.
Chauncey L. Hawakins dari Amerika Syarikat mengakui pengislamannya bertitik-tolak selepas mendengar azan ketika berkunjung ke Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu.
Hakikatnya, penghijrahan akidah asbab daripada alunan azan memang berlaku.
Melalui mimpi
Pada awalnya Rasulullah SAW tidak tahu satu cara untuk mengingatkan umat Islam apabila tibanya waktu solat. Ada sahabat yang menyampaikan usul untuk mengibarkan bendera, meniup trompet, membunyikan loceng dan sebagainya. Namun, semua saranan itu dianggap kurang sesuai.
Sehingga datanglah Abdullah bin Zaid yang bercerita bahawa beliau bermimpi bertemu dengan seseorang yang memberitahunya untuk mengumandangkan azan dengan menyerukan lafaz-lafaz sebagaimana yang dibuat kini.
Lalu dikhabarkan perihal mimpi itu kepada baginda. Umar bin Khattab sebaik mendengar hal tersebut, spontan mengakui beliau juga bermimpi yang sama.
"Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, ya Rasulullah, aku benar-benar melihat seperti yang dia lihat (di dalam mimpi)."
Lalu Rasulullah bersabda: "Segala puji bagimu." Rasulullah menyetujui untuk menggunakan lafaz-lafaz azan itu sebagai tanda waktu solat tiba.
Selain digunakan untuk menandakan masuknya waktu solat, azan juga dikumandangkan pada peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah.
Misalnya ketika kelahiran bayi dan ketika pasukan Rasulullah menguasai Mekah dan berhala-berhala di sekitar Kaabah dihancurkan.
Pada waktu itu Bilal bin Rabbah mengalunkan azan dari atas Kaabah.
Peristiwa kejatuhan Constantinopel yang sekali gus mengakhiri kekuasaan empayar Rom Timur juga disambut dengan laungan azan sebagai tanda kemenangan Islam ketika itu.
Di muka bumi ini, laungannya azan berlaku hampir setiap minit dan saat. Disebabkan Bumi berbentuk bulat, maka berlaku perbezaan waktu solat antara satu tempat dengan tempat yang lain.
Sebab it, ketika azan telah selesai berkumandang di satu daerah, tempat atau negara, ia akan diikuti oleh azan di tempat lain sehingga seterusnya tanpa henti.
Satu jam setelah azan selesai di Sulawesi, maka azan segera bergema di Jakarta, disusuli pula Sumatera. Sebelum azan berakhir di Indonesia, ia sudah dimulai di Malaysia.
Selepas itu azana kan berkumandang di Myanmar diikuti Dhaka, Bangladesh; seterusnya Kolkata ke Srinagar, terus ke Bombay dan seluruh India.
Seterusnya laungan azan singgah di Mekah dan Madinah, Yaman, Emeriah Arab Bersatu, Kuwait dan Iraq hinggalah ke Eropah dan Amerika.
Begitulah seterusnya azan terus berkumandang di bumi dan tidak pernah berhenti hingga kiamat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130312/ba_01/Misteri-di-sebalik-azan#ixzz2O2ccxQt3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Selasa, 26 Mac 2013
Tugas imam kian mencabar
Oleh ABD. RAZAK OSMAN
Selain perlu pandai menyesuaikan diri dan disenangi oleh anak-anak kariah, golongan imam juga perlu mempunyai perancangan ke arah memastikan masjid dan surau dimakmurkan oleh masyarakat Islam bagi melahirkan insan yang bertakwa dan beramal soleh.
Imam-imam juga perlu sentiasa berusaha mewujudkan suasana harmoni dan mengelak daripada menyinggung perasaan anak-anak kariah dalam ceramah termasuk ketika menyampaikan khutbah Jumaat.
Bagi memastikan hal-hal itu diberi perhatian serius, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah (JHEIK) menganjurkan Persidangan Imam Besar Peringkat Kebangsaan di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Seramai 110 peserta, terdiri daripada imam masjid negeri dan daerah seluruh negeri menyertai persidangan itu sempena Majlis Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2013.
Ketua Bahagian Pengurusan Masjid JHEIK, Sheikh Suhaimi Ahmad berkata, pihaknya gembira kerana Kedah dipilih menjadi tuan rumah menjayakan persidangan itu.
"Bila imam-imam masjid berkumpul di tempat seperti ini, berbagai perkara baharu dapat dibincangkan dari hati ke hati," katanya.
Menurutnya, langkah Jakim mengadakan persidangan itu dapat menyelesai banyak masalah yang timbul selain membaiki pengurusan institusi masjid di negara ini.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, ceramah disampaikan oleh pelbagai pihak boleh dijadikan panduan bagi memperelokkan lagi mutu pentadbiran masjid di seluruh negara.
"Bila semua imam mendapat ilmu berkaitan, mereka tentu lebih bertanggungjawab bagi menggerakkan institusi masjid negeri dan daerah secara lebih berhemah," katanya.
Menurutnya, program itu berjaya memupuk semangat silaturahim dan ukhuwah Islamiah dalam usaha mempertingkatkan hal-hal berkaitan pengimarahan masjid dan pembangunan ummah.
"Saya puas hati kepada semua peserta memberi komitmen 100 peratus semasa mengikuti persidangan itu," katanya lagi.
Datuk Mohamad Hashim, 47, selaku Imam Masjid Al-Azim Negeri Melaka berkata, program itu membolehkannya mendapat maklumat terkini dan berjaya memberi bimbingan kepada golongan imam untuk merancang dan menyelesaikan permasalahan yang timbul membabitkan anak kariah.
Imam Masjid Negeri Sultan Abu Bakar Johor Bahru, Khalid Sono, 43, pula berkata, institusi masjid pasti menjadi lebih ceria jika pihak pengurusannya terus dibekal dengan maklumat berguna.
"Saranan penceramah di persidangan itu agar imam tidak menyinggung mana-mana pihak semasa menyampaikan khutbah Jumaat perlulah diambil perhatian serius," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika berucap merasmikan persidangan itu berkata, fungsi masjid menjadi lebih berkesan jika setiap masalah berbangkit diselesaikan secara perbincangan.
"Kita mahu masyarakat tempatan menyayangi masjid dan semua imam dilantik dijadikan tempat rujukan ke arah penyelesaian melibatkan perbalahan umat Islam," katanya.
Beliau memberitahu, dalam usaha memakmurkan masjid dan pendidikan Islam di seluruh negara, Kerajaan Pusat menyediakan peruntukkan lebih RM500 juta pada tahun ini manakala sebanyak RM128 juta disalurkan untuk imbuhan kepada 14,254 imam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130315/ba_03/Tugas-imam-kian-mencabar#ixzz2O2cD2F1Z
© Utusan Melayu (M) Bhd
Isnin, 25 Mac 2013
Islam menentang keganasan
Islam menentang keganasan
KEGANASAN dan kezaliman adalah antara wabak liar yang dipengaruhi oleh anasir yang tidak bertamadun dan akhirnya menyerapkan kerosakan di muka bumi. Keindahan dan kedamaian di bumi tidak seharusnya dirosakkan dengan ancaman keganasan. Beberapa negara telah hancur dan porak-peranda akibat keganasan yang melampau dipengaruhi oleh anasir luar.Keindahan bumi kian malap lantaran tangan yang rakus dan ganas merosakkan kedamaian dan kesejahteraan. Jika dikaji dari segi sejarah, keganasan menyebabkan pembunuhan dan merosakkan harta benda disertai dengan peperangan dan penindasan dan berakhir dengan kesengsaraan hidup manusia.
Islam menentang segala bentuk keganasan. Konsep keamanan Islam merangkumi segenap lapisan penduduk dunia tanpa mengira bangsa dan agama. Kesabaran dan kematangan fikiran penganutnya membuktikan kekuatan iman, kerendahan hati dan diri yang memancarkan kemuliaan.
Sebagai bangsa Melayu yang dididik dengan akal budi dan budaya luhur berteraskan Islam, kita seharusnya dapat menepis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap Islam dan seterusnya memperjuangkan kebenaran serta kesejahteraan sejagat umatnya.
Pada masa kini, Islam sering didakwa dan dikaitkan dengan keganasan. Dakwaan dan tohmahan ini timbul kerana perilaku segelintir individu Muslim yang kononnya melakukan atau terlibat dalam keganasan. Manakala bagi negara Islam yang tidak tunduk kepada kuasa Barat dilabelkan sebagai paksi atau penaja keganasan.
Semua dakwaan ini dicipta oleh musuh Islam untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia terhadap Islam. Apakah benar Islam itu ganas dan menggalakkan umatnya berlaku ganas terhadap orang lain? Dua persoalan yang perlu dijawab yang perlukan penelitian dan kajian mendalam.
Kajian membuktikan sejak dahulu lagi kesejahteraan Islam bererti kesejahteraan ummah iaitu setiap umat Islam wajib memastikan bahawa dirinya mahupun orang lain dalam keadaan sejahtera.
Dia tidak boleh hidup dengan meminggirkan hak-hak orang lain. Islam itu sendiri bererti tunduk dan menyerah iaitu wajib tunduk dan patuh serta menyerah kepada Allah dalam erti mematuhi semua perintah dan menjauhi semua larangan-Nya.
Tunduk dan menyerah diri sepenuhnya, secara mutlak sama ada zahir mahupun batin hanya kepada Allah semata-mata dan tidak mensyirikkan-Nya dengan yang lain. Asas ketundukan dan penyerahan diri itu adalah pengakuan yang tulus dari lubuk hati, bahawa seluruh kejadian adalah ciptaan-Nya dan memahami serta menyedari Allah SWT membenci sifat orang yang ganas dan zalim.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Maka sesungguhnya hak Allah terhadap para hamba-Nya adalah agar menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya akan sesuatu. Sedangkan hak para hamba daripada Allah ialah Dia tidak akan menyeksanya terhadap mereka yang tidak menyekutukannya akan sesuatu. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang Islam dididik dan diajar supaya mempunyai sifat penyantun, pemaaf dan suka menolong untuk mengatasi kesusahan orang lain. Ciri-ciri kemuliaan Islam itu sangat jelas iaitu tiada paksaan dalam beragama iaitu yang menjurus kepada kesejahteraan, kedamaian dan ketenangan. Islam tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk memeluk dan menganut agamanya. Islam berkembang dengan dakwah secara lemah-lembut dan berhikmah.
Islam menegaskan bahawa setiap individu Muslim berkewajipan untuk mempertahankan maruah dan hak masing-masing dalam kehidupan mereka iaitu termasuk mempertahankan harta, maruah, agama dan keluarganya.
Oleh itu, Nabi SAW bersabda: "Orang-orang yang bersifat kasihan. Dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka yang di bumi, nescaya yang di langit akan mengasihani kamu." (riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi).
Lantaran itu, Islam menggalakkan umatnya berakhlak dalam segala keadaan yang merupakan sikap murni dan akhlak mulia dalam keadaan biasa dan aman. Islam juga melindungi hak semua golongan walaupun dalam peperangan.
Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah adalah mulia. Ia menyukai kemuliaan. Ia juga menyukai akhlak yang tinggi dan membenci akhlak yang rendah." (riwayat al-Hakim dan al-Tabrani)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130313/ba_02/Islam-menentang-keganasan#ixzz2O2cMX0sS
© Utusan Melayu (M) Bhd




