BLOG INI DIBANGUNKAN UNTUK BERKONGSI MAKLUMAT DAN PENGALAMAN SERTA BERTUKAR PANDANGAN UNTUK MENAMBAHKAN KEIMANAN
KAMI MOHON RESTU MU YA ALLAH
Khamis, 22 Mac 2012
RINGKASAN UCAPAN PENGARAH JHEAIPP MAJLIS PERHIMPUNAN JABATAN PADA 19 MAC 2012 DI DEWAN SYARAHAN, MASJID NEGERI PULAU PINANG
[1] Menjadi pekerja yang bernilai.
Dalam Islam sebaik-baik manusia itu ialah yang dapat memberi manfaat kepada orang
lain. Oleh itu, sebagai penjawat awam wajib memberi perkhidmatan yang terbaik
kepada pelanggan dan boleh memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Untuk menjadi seorang yang bernilai, perlu memiliki ilmu, kemahiran,
bertanggungjawab, rajin, amanah, suka menolong, sikap yang betul dan lain-lain nilai
murni. Tony Fernandez, Pegawai Eksekutif Air Asia yang berjaya membuat keuntungan
kepada syarikat penerbangan tambang murah telah mengatakan bahawa kejayaan
sesebuah organisasi tidak terlalu bergantung kepada undang-undang dan peraturan
yang ditetapkan tetapi adalah nilai-nilai murni yang dimiliki oleh warga organisasi
tersebut. Lawan kepada pekerja yang bernilai adalah pekerja yang tidak dikehendaki,
tidak berguna atau dikatakan pegawai yang tidak laku. Kita semua perlulah
mengelakkan daripada tergolong dalam kumpulan pegawai yang tidak bernilai ini.
Dalam mana-mana jabatan termasuk JHEAIPP terdapat 2 kumpulan iaitu pegawai
cemerlang dan pegawai bermasalah. Panel penilai akan menentukan samada tuantuan
termasuk dalam pegawai cemerlang yang akan diberikan Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang atau pegawai bermasalah yang perlu diberikan bimbingan atau diambil
tindakan tatateretib sekiranya tidak dapat dibimbing lagi. Oleh itu, pilihan untuk
menjadi pegawai yang bernilai atau yang bermasalah adalah terletak di tangan
masing-masing.
[2] Menjadi orang yang berfikir.
Sebagai seorang penjawat awam, perlu sentiasa berfikir dalam membuat keputusan
atau tindakan kerana ianya akan memberi kesan kepada orang lain samada pelanggan
atau rakan sejawat. Berfikir diperlukan dalam semua aspek kerja termasuk menulis
surat, memberi markah LNPT, sistem bekerja dan lain-lain yang akhirnya akan
meningkatkan prestasi bahagian dan jabatan. Kalau kita melihat syarikat teknologi
maklumat yang berlumba-lumba untuk memikat pelanggan dengan model yang
terbaru, sudah tentu memerlukan orang-orang yang bekerja di syarikat berkenaan
sentiasa berfikir. Contohnya bagaimana Model iPad dan Samsung berlumba untuk
mencipta model terkini bagi memikat pelanggan masing-masing yang boleh memberi
keuntungan. Kita perlulah juga berfikir sedemikian supaya prestasi jabatan bertambah
baik. Di jabatan kita boleh memikirkan sistem yang perlu diperkenalkan dan
mewujudkan Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK).
[3] Mencipta kecemerlangan.
Sekiranya Jabatan Agama ini ingin setanding atau melebihi jabatan-jabatan lain, kita
perlu mencipta kecemerlangan secara berpasukan. Dalam hal ini, jabatan sedang
berusaha untuk mendapatkan pensijilan ISO (ISO 9001:2008 & MS 1900:2005)
yang mematuhi syariah yang belum diperolehi oleh mana-mana jabatan di Pulau
Pinang. Jabatan juga sedang berusaha untuk mengekalkan Indeks Akauntabiliti pada
markah tidak kurang 85% dan berusaha untuk mendapatkan pada tahap 90% ke atas
yakni 4 bintang dan laman web jabatan pada taraf 5 bintang. Di samping itu juga,
beberapa sistem ICT telahpun diwujudkan seperti eMunakahat, eTauliah, eUkhuwwah
dan lain-lain sistem akan diperkenalkan untuk meningkatkan prestasi jabatan. Semua
usaha-usaha ini memerlukan kerjasama semua warga jabatan. Semasa kita mencipta
kecemerlangan janganlah ada warga jabatan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh
menjatuhkan imej jabatan seperti terlibat dalam jenayah sivil, syariah atau rasuah.
Sebagai sebuah agensi yang dipercayai dan dihormati, kegiatan yang disebutkan
tersebut tidak boleh diterima oleh pihak luar.
[4] Kepimpinan yang dihormati.
Saya dan Ketua-Ketua Bahagian termasuk PTA dan Ketua Unit merupakan pemimpin
yang mempunyai pengikut yang perlu diselia. Seorang pemimpin itu perlu dihormati
bukan ditakuti. Untuk menjadi seorang pemimpin terbaik, perlu bertindak atas apa
yang diucapkan atau kepimpinan melalui tauladan. Kita perlu mengambil contoh
kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W. di mana Baginda selalu memberikan contoh
kepimpinan yang terbaik dengan membuat sendiri atas apa yang Baginda suruh.
Seorang pemimpin juga perlu turun padang iaitu melihat sendiri tugas-tugas
kakitangan bawahan seperti Khalifah Saidina Umar yang membuat pemantauan pada
waktu malam.
[5] Menjadi seorang yang bertakwa.
Takwa merupakan peringatan yang wajib disebut atau rukun dalam khutbah Jumaat
menunjukkan pentingnya kita mempunyai sifat takwa. Mengambil intisari Surah Al-
Imran, ayat 134-135, ciri-ciri orang yang bertakwa adalah seperti berikut :
[i] Membelanjakan hartanya untuk derma kebajikan atau zakat (wajib)
[ii] Menahan marah
[iii] Bersedia memaafkan
[iv] Mencintai kebaikan
[v] Sentiasa bertaubat
Oleh itu, ucapan disimpulkan dengan harapan dan pesanan supaya warga jabatan
mempunyai sifat takwa kerana dengannya boleh melahirkan pekerja yang bernilai
kepada manusia dan Allah s.w.t.
Sekian.
sumber............
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan