Jangan biar diri ditipu
Namun masih ada yang bertanya, seolah-olah tidak berpuas hati dan inginkan penjelasan lebih lanjut. Sekali lagi saya akan memperkatakan mengenai skim pelaburan Internet. Sebagai kesimpulan mudah untuk semua tulisan saya sebelum ini, skim pelaburan itu diharamkan kerana sebab berikut:
1. Jahalah (ketidaktahuan)
Ia bermaksud skim itu tidak diketahui dengan jelas identiti pengurus dana atau syarikat, di samping tiada lesen untuk membuktikan kewujudan mereka dan tanggungjawab mereka terhadap dana yang terkumpul. Mereka juga tidak dapat dihubungi, ditemui atau dilawati.
2. Gharar (ketidaktentuan)
Tidak diketahui tempoh kewujudan laman web pelaburan itu, juga tidak diketahui sama ada benar-benar si ‘pelabur’ boleh mendapat wang dijanjikan atau tidak pada tempoh disebutkan iaitu 100 hari. Ini kerana, jika wang dijanjikan tidak muncul, tiada sesiapa boleh dihubungi. Ini menjadikannya gharar. Kesannya, sekali lagi ia membatalkan akad.
3. Riba
Saya menerangkan secara panjang lebar dalam pelbagai artikel sebelum ini. Justeru, bagi pihak yang berdegil lalu cuba mendakwa ‘fixed deposit’ (deposit tetap) sebagai bukan riba, anda perlu tahu pelaburan ini tetap haram kerana sebab lain yang saya sebutkan di sini.
4. Penipuan
Mendakwa menggunakan wang yang terkumpul untuk pelaburan perniagaan minyak dan gas, hartanah, mata wang, komoditi dan lain-lain, sedangkan ia tidak wujud.
Ini kerana, menurut pakar pelaburan sebenar tiada satu syarikat pun yang jika benar melabur dalam industri itu, mampu menjamin pulangan 240 peratus sebagaimana ditawarkan syarikat pelaburan Internet terbabit.
Malah, bank konvensional terbesar dunia yang juga mengamalkan riba dan menggunakan kepakaran seluruh pekerja mahirnya dicampur pula dengan aset mencecah trilion ringgit, masih tidak berani dan tidak mampu memberi janji pulangan 240 peratus dalam produk riba mereka seperti deposit tetap.
Berikut pula maklumat baik untuk dikongsi daripada seorang pakar pelaburan berkenaan ciri penipuan dalam skim cepat kaya Internet. Ia seperti berikut:
Adakah masuk akal orang yang tidak pernah dikenali dapat memberi pulangan sebegitu tinggi? Seandainya benar, tentu semua media di dunia, termasuk CNN, Fortune dan Forbes akan memberi liputan menyeluruh kepada pengurus dana pelaburan Internet.
Namun, mengapa tidak ada? Tidak mungkin media dunia (yang tahu semua pelaburan lain) begitu buta dan tidak pernah mendengar pulangan sebegitu hebat.
Jika benar ‘pengurus’ dana melaburkan wang dalam ‘forex’, ‘hedge funds’ dan sebagainya, pelaburan itu tidak membayar hasilnya selepas satu atau dua bulan. Justeru, jika ‘pengurus’ tidak dapat hasil pulangan, macam mana dia hendak bayar orang lain? Daripada mana datangnya wang itu?
Situasi itu mungkin bertahan satu, dua atau tiga tahun, tetapi yang pasti ia akan berkubur apabila tiada ‘pelabur’ baru. Apabila ia berlaku, anda akan kehilangan semua wang anda.
Skim cepat kaya Internet biasanya menjanjikan 20 peratus pulangan dalam sebulan. Ini bersamaan dengan 240 peratus setahun. Justeru, ia memberi gambaran seolah-olah ‘skim pelaburan’ itu lebih hebat daripada seluruh sejarah pulangan terhebat di dunia.
Sebagai perbandingan, lihat catatan pulangan pelaburan yang diiktiraf terhebat di dunia dan bandingkan dengan skim cepat kaya yang masih menjadi kegilaan penduduk negara ini.
Dapat dilihat dengan jelas pengurus kewangan terhebat itu mampu menawarkan pulangan sekitar 14 hingga 34 peratus setahun. Tiba-tiba skim karut, menipu dan haram ini mendakwa memberi pulangan 240 peratus dalam 100 hari dengan perniagaan yang didakwanya. Jelas, ia satu penipuan.
5. Syubhah dan Money Game (permainan wang)
Inilah sebenarnya cara mereka mendapatkan wang daripada pelabur, iaitu setiap peserta yang dapat mencari ahli baru akan diberi komisen. Justeru, akad komisen atas kepala dan bukan atas barang yang dijual ini mengandungi syubhah kepada ‘money game’ yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Sedunia, termasuk Arab Saudi dan Indonesia.
Tidak syak lagi pelaburan itu diharamkan Islam. Segera bertaubat dan jauhinya. Ketika ini, web pelaburan haram itu masih wujud.
Hukum haram tetap haram, seperti kilang arak dan judi yang bersepah di sana
sini, walaupun ia wujud dan masih dibuka, ia tetap haram tanpa ‘khilaf’.
sumber.........
Tiada ulasan:
Catat Ulasan