Isnin, 5 Mac 2012

MAJLIS MUZAKARAH GURU-GURU AGAMA DI MASJID / SURAU PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG















Penyampai














:


DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk: MAJLIS MUZAKARAH GURU-GURU AGAMA DI MASJID / SURAU PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
Lokasi: PENANG GOLF RESORT, BERTAM
Tarikh: 04-09-1999
 
Pertamanya, marilah kita merakamkan setinggi- tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. yang telah mengizinkan kita dapat berkumpul dalam Majlis Muzakarah guru-guru agama masjid dan surau peringkat negeri Pulau Pinang pada hari ini.



2. Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa program yang telah sudi menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua kata seterusnya merasmikan Majlis Muzakarah ini.



3. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang telah mengadakan majlis ini bagi menyatukan semua guru- guru agama yang berkhidmat di masjid dan surau seluruh negeri Pulau Pinang.



Tuan-tuan dan puan-puan 


4. Kita sedia maklum bahawa masjid mempunyai peranan yang penting dalam usaha membangunkan ummah. Hal ini adalah tidak dapat dinafikan memandangkan Rasulullah s.a.w telah membina masjid Quba', iaitu masjid yang pertama dalam sejarah Islam apabila baginda tiba di kota Madinah Al-Munawarah. Sememangnya, akan timbul persoalan tentang mengapa baginda Rasulullah s.a.w. membina masjid terlebih dahulu dan bukannya kubu pertahanan, mahligai atau gedung-gedung perniagaan.



5. Pada hakikatnya, tindakan Rasulullah itu adalah unik memandangkan masjid bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadat semata-mata, malah ianya beroperasi dalam pelbagai hal-ehwal manusia antaranya:-



- Institusi pengajian yang mengeluarkan cerdik pandai Islam dalam setiap bidang penghidupan.



- Tempat menyemai dan menyuburkan iman yang menjadi benteng pertahanan manusia yang paling ampuh.



- Menjadi mahkamah yang menyelesaikan segala pertikaian manusia.



- Menjadi pusat perbendaharaan negara; dan menjadi tempat perbicaraan urusan perang dan damai.



6. Semua ini memperlihatkan keupayaan masjid berperanan dalam segenap lapangan hidup umat Islam walaupun bentuk binaannya dalam keadaan begitu ringkas pada zaman awal perkembangan Islam. Ini merupakan suatu cabaran kepada kita untuk mencontohi, menggarap dan seterusnya melaksanakan apa yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Sememangnya kita pada zaman moden ini dilimpahkan oleh Allah s.w.t. dengan segala bentuk kesenangan dan kemewahan. Namun di sebalik segala nikmat ini, nasib umat Islam masih tidak banyak berubah. Umat Islam masih menjadi juara dalam banyak perkara-perkara negatif seperti gejala sosial, dadah, keruntuhan rumahtangga dan sebagainya.



7. Di peringkat antarabangsa pula, umat Islam masih dihina, dijajah dan menjadi bahan caturan kuasa-kuasa besar dunia yang bukan Islam. Negara-negara Islam dikurniakan oleh Allah s.w.t. dengan kekayaan hasil bumi seperti minyak, gas, kelapa sawit dan sebagainya, namum masih belum berupaya merampas kembali Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis yang ditawan oleh Israel sejak tahun 1967.



8. Sejarah umat Islam pernah membuktikan bahawa daripada masjidlah lahirnya para pejuang Islam yang kental imannya di mana mereka sanggup berkorban harta bahkan nyawa sekalipun untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Hasilnya, mereka berjaya mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kesesatan, daripada perhambaan sesama manusia kepada pengabdian yang sejati kepada Allah s.w.t..



9. Berdasarkan hakikat sejarah, jelaslah kepada kita bahawa pembangunan mental dan kerohanian amat penting dan perlu diseimbangkan dengan pembangunan kebendaan. Amatlah memalukan jika kita yang dilimpahkan dengan serba kesenangan tidak mampu melaksanakan apa yang telah dibuat oleh Rasulullah dan para sahabatnya walaupun mereka dalam serba kekurangan.



Tuan-tuan dan puan-puan,



10. Guru-guru takmir, guru-guru agama jabatan dan guru- guru agama sukarela merupakan antar golongan yang terlibat secara langsung dalam program pengimarahan masjid. Sejajar dengan perkembangan masa, sudah tentulah tanggungjawab sebagai pengajar dan pendidik masyarakat Islam pada masa kini adalah lebih mencabar lebih-lebih lagi di saat masyarakat kita dilanda keruntuhan nilai-nilai keagamaan dan adat ketimuran.



11. Arus kemodenan yang tidak seimbang turut mewujudkan jurang perbezaan yang luas antara golongan tua / veteran dengan golongan muda. Secara umumnya, kebanyakan golongan muda lebih cenderung kepada hiburan semata-mata, mudah melatah, tidak berfikiran serius dan mudah terikut-terikut dengan gaya hidup semasa. Sebaliknya, kebanyakan golongan tua / veteran masih berpegang teguh kepada cara hidup tradisi, dan lebih matang dalam membuat keputusan. Perbezaan ini walaupun tidak dinafikan kewujudannya, namun sedikit sebanyak, ianya turut mempengaruhi perjalanan atau corak institusi masjid pada zaman moden ini. Hal yang paling jelas kita lihat ialah sebahagian besar yang menghadiri kuliah agama di masjid atau surau ialah golongan tua / veteran. Kemungkinan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan golongan muda kurang berminat terhadap kuliah-kuliah agama di masjid atau surau.



12. Antaranya ialah kurikulum pengajaran agama yang lebih tertumpu kepada ibadat-ibadat khusus seperti sembahyang, zakat, puasa dan haji semata-mata. Kurikulum yang seida ada sering diulang-ulang tanpa sebarang pembaharuan atau perkembangan baru.



13. Selain daripada itu, pendekatan yang digunakan oleh kebanyakan pengajar adalah bercorak lama dan kurang sesuai dengan peredaran zaman. Apa yang menjadi masalah ialah banyak di antara kita yang lebih senang dengan pendekatan lama tanpa berusaha untuk mempelajari atau menyesuaikan diri dengan pendekatan-pendekatan baru. Dengan kata lain, kebanyakan daripada kita merasa bahawa pendekatan yang kita gunakan selama ini amat sesuai sepanjang masa.



14. Justeru itu, golongan pengajar perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pendekatan terkini selain daripada memperkembangkan serta membuat pembaharuan terhadap kurikulum pengajaran agama. Ini akan membolehkan ajaran agama yang kita amalkan sejak zaman berzaman akan terus mekar dan diwarisi oleh generasi-generasi yang akan datang.



Tuan-tuan dan puan-puan,



15. Selain daripada soal pendekatan yang sesuai, penyelarasan pendekatan dalam pengajaran agama juga amat penting dan turut mempengaruhi hasil kefahaman yang sebenarnya. Kerapkali, penyampaian ilmu agama agak kurang berkesan akibat ketiadaan penyelarasan dari segi methodologi penyampaian. Persoalan ini mungkin boleh diterima pada zaman dahulu di mana para pengajar berada dalam kelompok masyarakat yang terpencil dan kurangnya alat perhubungan yang cekap dan pantas. Namun, persoalan ini sebenarnya tidak lagi relevan dalam era teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan. Kita tidak boleh lagi membawa haluan masing-masing walaupun berbekalkan ilmu yang penuh. Para pengajar agama perlu menyedari bahawa mereka juga menjadi cermin panduan kepada masyarakat. Jika sekiranya para pengajar agama tidak seia-sekata dalam aspek penyampaian ilmu agama, akibatnya masyarakat akan terkeliru. Tidak mustahil akan berlaku percakaran dan perbalahan di antara sesama masyarakat Islam yang saling mempertahankan pendapat tok guru masing- masing.



16. Penyelarasan dari segi methodologi penyampaian bukan bermakna menutup pintu pemikiran yang lebih luas sebaliknya ia cuma bertujuan untuk memastikan ilmu yang disampaikan oleh semua guru agama bersepadu dan saling bantu membantu ke arah mencapai matlamat yang diharapkan.







17. Sebenarnya, memang menjadi hasrat kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis / Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk mewujudkan penyelarasan di semua peringkat sama ada dalam hal ehwal undang-undang, pendidikan, dakwah dan sebagainya. Negara kita telah dijajah sejak 500 tahun yang lalu, di mana penjajah telah berjaya memecahbelahkan kita dan menjadikan kita semua saling taksub kepada kelompok- kelompok tertentu. Sesungguhnya segala bentuk perpecahan masyarakat Islam tidak boleh dibiarkan lagi di saat kita sedang berada di ambang alaf baru.



Tuan-tuan dan puan-puan, 18. Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat bermuzakarah kepada semua guru yang hadir dalam majlis yang diadakan pada hari ini. Semoga Majlis Muzakarah ini akan mencapai matlamat yang telah diharapkan.



Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan