Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“SERUAN AL- BARZAKH”
(16 MAC 2012 / 23RABIULAKHIR 1433H)
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “SERUAN AL-BARZAKH”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadith, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun tetapi puratanya mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun . Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para Nabi, Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:
Yang bermaksud: “ Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat”.
Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia kerana jasadnya menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari badan manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (مختار الصحاح) oleh Abu Bakr al-Razi, Barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda. Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia di hukum segala amalannya di dunia. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras).” (Riwayat al-Tirmizi). Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.” Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya .”
Ketika khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Tentu jawab Umar. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya.aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya. Khalifah Umar menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh tuhanku.
Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut nyawanya. Saididna Ali RA pernah berkata, “ bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak”.
Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Sebagai contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagihan dadah, arak, pengamal seks bebas sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan. Perbuatan ini seolah-olah mengali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian. Justeru mimbar menyeru kepada jemaah sekalian insaflah dan sedarlah tentang kehidupan yang sebenarnya dan jangan kita lalai dari mengingati kematian kerana ianya akan menambah lagi ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian” (Riwayat Muslim)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru insaflah dan sedarlah bahawa kematian merupakan perjalanan hidup yang tidak akan kembali lagi ke dunia yang fana ini. Kita sering bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah kembali menyahut seruan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah kematian rakan-rakan kita itu telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan yang mencukupi menghadapi kematian yang pasti itu. Ingatlah dan sedarlah bahawa alam barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita dan sentiasa membuka pintunya untuk kita. Tidak kira di mana kita berada atau bila masanya kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita, cuma persoalannya adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini. Sebagai renungan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:
Maksudnya : “Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya). ”
sumber...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan