Rabu, 7 Mac 2012

Masa silam yang gemilang, masa depan penuh harapan

Masa silam yang gemilang, masa depan penuh harapan

20 September 2011 - Hari ke-6 di China dan hari ke-3 di Chengdu.
Chengdu adalah sebuah bandar besar dengan lebih 5 juta penduduk, dan jumlah ini dijangka akan bertambah lagi kerana usaha-usaha giat dijalankan untuk memajukan Zon Teknologi Tinggi Chengdu.
Zon ekonomi yang dibangunkan sejak 1991 itu telah banyak merubah lanskap bandar ini dengan wujudnya dua kawasan yang dikhaskan untuk tujuan itu di bahagian selatan dan barat bandar dengan jumlah keluasan lebih 170 kilometer persegi.
Antara fokus utama zon tersebut ialah dalam bidang pembuatan litar bersepadu (IC), perisian dan penyumberan luar, paparan optik dan bio-farmaseutikal.
Mereka kata satu dari dua mikropemproses komputer (CPU) yang digunakan di dunia ini datangnya dari Chengdu.
Hari ini kami berpeluang melawat ke Tianfu Software Park yang merupakan salah satu taman teknologi yang mengkhusus dalam bidang pembangunan perisian dan penyumberan luar di dalam Zon Teknologi Tinggi Chengdu bahagian selatan.

Setibanya kami di tempat tersebut, kami terus dibawa menaiki buggy elektrik meninjau ke persekitaran yang kelihatannya seperti tenang dengan semua bangunan-bangunan pejabat teratur dengan baik dan tidak jauh antara satu sama lain.
Di persekitaran ini juga terdapat kemudahan asas yang lain seperti bank dan restoran-restoran.
Memang berbeza jika dibandingkan dengan Cyberjaya dan Taman Teknologi Malaysia (TPM) di Bukit Jalil, ataupun dengan Taman Teknologi Antarabangsa Bangalore. Susunan bangunan di sini lebih padat, tetapi tersusun.

Syarikat-syarikat antarabangsa dan juga tempatan banyak yang telah mengembangkan operasi di sini, termasuklah 11 daripada 20 syarikat perisian utama dunia.
Zon teknologi tinggi dan taman perisian ini pasti akan meletakkan Chengdu jauh maju ke hadapan.

Baca laporan berita saya mengenai Zon Teknologi Tinggi Chengdu dan visi masa depan bandar raya ini di Utusan Online (http://www.utusan.com.my/)

Di sebelah petang, kami dibawa melawat ke tapak arkeologi Jinsha yang merupakan satu penemuan terbaru tentang sejarah masa lampau Chengdu.

Penemuan itu terjadi secara tidak sengaja apabila pekerja-pekerja yang hendak membuat penyediaan tapak untuk projek pembangunan komersil telah menjumpai artifak-artifak lama di kawasan tersebut.

Ekskavasi di kawasan itu menemukan pelbagai artifak berbentuk kerja-kerja tembikar, kepingan-kepingan nipis emas, batu jade dan pelbagai alat ritual.
Ia juga menemui banyak tanda-tanda yang menunjukkan kawasan tersebut merupakan sebuah kota dan ujian pentarikhan karbon menunjukkan ia berusia lebih 3000 tahun.
Ia dipercayai merupakan sebuah kota bagi kerajaan Shu lama, bagaimanapun setakat ini tiada penemuan yang melibatkan makam raja.

Ada di antara artifak berkenaan yang menunjukkan kemajuan hasil kerja dan kebijaksanaan orang-orang di zaman itu.
Antara item menarik dan penuh misteri yang ditemui di sini termasuklah sebuah artifak emas berbentuk cakera daripada emas yang dinamakan "The Sun and Immortal Bird", topeng emas, pelbagai item jade dan sejumlah besar gading gajah.
Muzium Tapak Jinsha telah didirikan di atas tapak penemuan itu untuk melindungi dan mempamerkan artifak berkenaan manakala kawasan sekitarnya yang seluas 300,000 meter persegi di lindungi dan dijadikan taman. Ini menjadikan ia sebagai salah satu tapak arkeologi terbesar di China.
Banyak lagi artifak dipercayai berada di kawasan tersebut tetapi sengaja dibiarkan tersimpan di dalam tanah sehingga kaedah yang benar-benar berkesan dapat disediakan untuk memelihara artifak-artifak yang sensitif kepada pengoksidaan.
Salah satu item yang menarik perhatian saya secara peribadi ialah sebuah patung kecil yang dikatakan seolah-olah sedang memikul gading gajah dengan satu objek terselit di pinggangnya.

Adakah ia keris? Penunjuk arah muzium yang mengiringi kami memberitahu objek tersebut dipercayai bukan senjata tetapi hanyalah sesuatu yang berkaitan dengan upacara keagamaan.

Walaupun saya dulunya tidak minat subjek sejarah, tetapi lawatan ini sangat mengujakan saya lebih-lebih lagi kebelakangan ini saya semakin tertarik untuk menyelusuri sejarah tamadun Melayu yang sekian lama tersembunyi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan